Sejenak - Trik Padanan Warna Kediaman - Glam Malaysia

Sejenak – Trik Padanan Warna Kediaman

Memilih gabungan warna untuk ruang kediaman sememangnya antara cabaran dalam melengkapi dekorasi. Bergantung kepada gaya yang ingin dicipta, setiap satu warna memberi impak berbeza pada ruang.

Pilihan warna terang buat unit kondo bersaiz lebih dari 1,500 kaki persegi ini bijak bermain warna dalam satu ruang yang luas. Padanan warna terang tampil ceria saat disertakan pancaran cahaya semula jadi yang mendominasi ruang kediaman.

Tip

  1. Pilih warna dari persekitaran di ruang yang sedia ada. Jika anda menggunakan kemasan lembut bercetak atau bercorak, pilih warna berdasarkan corak yang terdapat pada kemasan lembut tersebut. Ambil warna yang kelihatan paling dominan sebagai warna asas permulaan.
  2. Mulakan dengan ruang yang lebih formal khususnya ruang tamu, ruang makan juga ruang laluan sejurus memasuki ke kediaman. Ini kerana ia merupakan ruang yang anda gunakan untuk menerima kehadiran tetamu. Sesudah menetapkan skema warna di sini, ambil satu warna dari ruang sebegini dan bawakan ke ruang lain.
  3. Untuk yang buntu dalam menentukan bagaimana anda mahu memilih warna untuk kediaman, antara teknik yang boleh anda cuba adalah dengan melihat kembali koleksi warna yang anda gunakan untuk pakaian seharian. Secara amnya, pakaian merupakan warna yang anda selesa untuk lihat dengan kerap. Jika anda merasakan pilihan itu kelihatan terlalu janggal, mungkin rona ini boleh dihadirkan dengan pemilihan perabot ataupun aksesori besar lain.
  4. Formula 60-30-10 adalah langkah mudah untuk anda bermain dengan warna. Angka 60 merujuk kepada warna dominan yakni warna pada dinding ruang, 30 pula adalah warna kedua yang sesuai untuk aplikasi kemasan lembut dan 10 adalah aksesori penegasan bagi rasa lebih peribadi pada ruang.
  5. Jika anda mempunyai ruang yang sedikit terhad, cuba gunakan warna yang mencuri pandangan untuk memastikan ia kelihatan menyerlah berbanding diseragamkan bersama ruang besar dan utama yang lain.
See also
Lifestyle Guru: Linda Uzir