Tuti Noor: The Return Of The Malaysian Supermodel

Tuti Noor: The Return Of The Malaysian Supermodel

GLAM meraikan tahun baru bersama TUTI NOOR, satu nama yang cukup hangat dalam mendominasi dunia peragawati tanah air. Kini, Eropah sasaran Tuti untuk 2017!

 

Kehangatan Tuti Noor sepertikan tidak surut-surut walaupun tahun lepas dia dinobatkan sebagai salah seorang wanita Most GLAM 2016. Kelibat wanita tinggi lampai ini sentiasa menjadi perhatian di majlis-majlis fesyen ibu kota. Wajahnya bukan typical pretty woman, suntikan edgy pada raut wajah yang diseragamkan dengan karakternya membuatkan dia begitu unik.

 
 

Saya mengenali Tuti, 25, bukan setelah dia diulit cahaya lensa penuh glamor. Tuti yang saya kenal dulu gadis muda yang berwajah manis dengan rambut trademark kerinting panjang mengurai. Pun begitu, Tuti dulu dan Tuti sekarang masih sama. Penuh santun dan merendah diri walau dirinya diselubungi kemasyhuran. Well done Tuti!

 

MODELLING IS JUST ME Imej maskulin yang dibawanya di atas ‘runaway’ memberi kelainan pada dirinya berbanding peragawati yang lain. Hentakan ‘catwalk’ mengikut rentak muzik memberi energi agresif pada hadirin. Penangan Tuti terpilih antara 14 finalis program realiti popular dunia pencarian model, Asia’s Next Top Model musim keempat pada tahun lepas ternyata mendapat perhatian ramai pihak.

 

Heboh juga Malaysia apabila peragawati ini tersingkir dari rancangan realiti itu pada episod kesembilan. Hal ini kerana Tuti sentiasa cemerlang mendapat antara markah yang tertinggi untuk segala tugasan yang diberi pada minggu-minggu sebelumnya. Perang netizen juga menggila kala wanita Melayu pertama ini menyertai rancangan popular ini. Habis segala kata cacian dilemparkan pada Tuti. Meski terluka dengan kata-kata kejam netizen, namun wanita ini terus cekal dengan karier pilihannya dan terus mengejar cita-citanya. “Pembabitan saya dalam dunia peragawati ini sama sekali tidak akan menggoyahkan siapa diri saya, usahlah kalian khuatir mengenai itu,” ujarnya pendek berkaitan hal itu.

 

Pengalaman bekerja dengan nama besar seperti Cindy Bishop, Kelly Tandiono, dan Yu Tsai sepanjang program realiti banyak mengajarnya untuk mengenali kebolehan dirinya. Tuti membuat pengakuan emosinya bagaikan gelora ombak sewaktu pertandingan itu. Tertekan berjauhan dengan keluarga dan teman-teman dan saban hari dia fokus untuk shooting dan memberi prestasi terbaik. “Cabaran saya sepanjang program di sana ialah susah untuk mempercayai sesiapa pun. Jadi kawalan mental harus kuat. Saya baik dengan peserta dari Indonesia dan Thailand sahaja. Daripada program itu barulah saya tahu sebenarnya saya macam ni, macam tu, dan saya ambil kelemahan saya itu dengan cuba berubah. Tuti yang dulu terlalu banyak berfikir, terlalu banyak isu dalam diri ini, sekarang saya lebih terbuka!”

See also
Retorik: Trend Hijab yang Mengelirukan

 

Selepas daripada program realiti Asia Next Top Model Cycle 4, Tuti akui itu salah satu batu loncatannya dalam memperkukuhkan lagi kedudukannya dalam dunia modelling. Dia menerima banyak peluang keemasan dari ramai pihak di dalam industri fesyen tempatan.  “Jujurnya selepas saya keluar dari program realiti itu, people start to take me seriously in this industry. Kalau dulu mungkin ada yang pandang tak pandang saya.”

 

Bermula untuk saja-saja menolong memperagakan baju Afiq M yang juga pelajar waktu itu untuk projek tahun akhirnya, Tuti selepas itu tidak lagi menoleh ke belakang dengan menjadikan kerja modelling sebagai kerja sampingan sewaktu dalam pengajian Pengurusan Maklumat di UITM, Segamat. Projek besar pertama yang menyambar Tuti apabila dia terpilih untuk memperagakan koleksi busana Lebaran Zakuan Anuar pada 2012. Daripada pertunjukan fesyen itu, nama Tuti lebih dikenali di lapangan fesyen. “Saya tak pernah masuk sekolah modelling, jadi Youtube sajalah yang menjadi bahan rujukan saya. Bagaimana mahu berjalan catwalk, cara posing bahkan sampai hari ini pun saya rajin ke laman web model untuk perhatikan pose-pose yang menarik untuk dipelajari. Ya, Youtube guru saya! Idola saya untuk Ratu catwalk haruslah Naomi Campbell dan Tyra Banks. Mereka berjalan dengan penuh karakter dan drama!”

 

Pesona fesyen wanita ini bermula apabila Bibo Aswan (jurugambar) yang juga temannya menyarankan dia untuk memotong rambut pendek. Setelah potong rambut, Bibo mengambil gambar saya. Dan gambar itu menjadi viral di kalangan rakan-rakan kami. Dari situlah Tuti menemui keyakinan dirinya yang baru. “Look rambut pendek saya memberi karakter berlainan pada diri saya, vibe dia lain. Susah saya nak terangkan. Hahaha!”

 

Imbas kembali awal kerjayanya Tuti menyifatkan dia amat naif tentang apa sahaja yang berkaitan fesyen. Dirinya tidak pernah impikan yang dia akan menghirup udara kemasyhuran sebagai seorang model. “Percayalah, before I started modelling, I was having some confidence issues regarding my height. Tetapi hari ini ketinggian inilah yang membuka pintu rezeki saya! Kalau cakap tentang fesyen, ampun! Saya memang tak tahu apa-apa pun. Siapa sangka hari ini saya bisa menyarungkan helaian daripada pereka terkemuka tempatan dan antarabangsa untuk diperagakan? Macam mimpikan!”

See also
Detik Belakang Pentas Victoria's Secret Fashion Show 2017

 

Tuti tidak menafikan pada awal pembabitannya, model-model senior banyak memberi tunjuk ajar kepadanya dalam meniti rencah kehidupan seorang pergawati. Ada model junior tidak suka sekiranya model senior memberi teguran, tetapi bagi saya, teguran itulah yang banyak mengembangkan karier saya pada hari ini.

 

Sewaktu pertama kali disunting GLAM untuk menghiasi halaman fesyen, Tuti sepertikan diserang darah gemuruh apabila pertama kali membuat sesi fotografi bersama GLAM. “People tell me, once you’ve been featured in GLAM, you are on a whole other level and you become the IT girl in town! Siapa tidak gembira? Setiap kali saya keluar di majalah GLAM pasti saya akan borong majalah dan beri pada keluarga. Itu hasil kerja saya, dan saya bangga! Dan apabila saya terpilih untuk menjadi salah seorang cover girl GLAM pada isu Mac 2013, my checklist keeps on growing! Dan hari saya menjadi wajah GLAM secara solo untuk membuka tirai 2017! Checked!”

 

Lima tahun berkecimpung dalam dunia peragaan secara serius tenyata saban tahun membawa peningkatan. Azam Tuti buat 2017 untuk menapak kerjaya peragaannya di Eropah mengikut jejak teman baiknya Atiqah Karim. “Walau apa pun terjadi, saya akan pastikan saya mesti melakar kerjaya di sana pada tahun ini! Doakan ya,” ujar anak kelahiran Perak ini penuh yakin. Saya percaya dengan portfolio yang sudah dicatatnya, Eropahlah selayaknya tempat Tuti dalam merealisasikan impiannya. Mungkin dia bakal menjadi supermodel terkenal dunia?

 

TUTI DI LUAR LENSA KAMERA Di sebalik kesibukannya dalam meredah kerjaya saban hari, Tuti tidak pernah melupakan tanggungjawabnya kepada orang tuanya. Menurut anak tunggal ini, dia bersyukur kerana keluarganya banyak memberi sokongan kepada kerjayanya. “Jujurnya pada awal pembabitan saya, keluarga tidak bersetuju dengan pilihan saya. Setelah saya membuktikan pencapaian saya dalam arena ini, kedua ibu bapa sayalah pendukung semangat diri ini untuk tidak menyerah. Kata-kata ayah setiap kali berjumpa membuatkan saya sebak dan tidak mahu menghampakannya. “Tuti anak ayah, make us proud okay?” Akan saya ingat kata-kata itu sampai bila-bila. I’m always a daddy’s girl, tetapi saya selalu team mak saya! Berat hati ini sebenarnya mahu meninggalkan kedua ibu bapa saya. Sekarang ini jika ada masa terluang pasti saya akan menjenguk ayah (bekas tentera) dan mak (bekas guru). Kalau dulu mereka bertungkus lumus membesarkan saya, hari ini mereka adalah tanggungjawab saya. Tak rugikan berbakti pada orang tua sendiri? Itu kewajiban kita sebagai anak,” ujarnya penuh perasaan.

See also
Emilia Clarke Tampil Chic Walau Bertongkat

 

Ditanya bagaimana dia menjaga pemakanan untuk kekal langsing dia hanya tergelak besar. “Maaf, saya tidaklah diet seperti sesetengah model. Saya makan seperti biasa. Saya orang Melayu, nasi tak boleh tinggal lagi-lagi ada lauk ulam-ulaman, jering, petai, tempoyak, bertambahlah nasi saya jawabnya. Ya, I know I’m lucky in that sense,” jawabnya sambil tergelak lagi membuatkan saya iri pada wanita ini. Namun kata Tuti setiap pagi dia akan mengamalkan minum teh hijau.

 

Perihal kecantikan pula, Tuti mengalami masalah kulit sensitif, jadi pelembab wajah adalah nadi untuk regim kecantikannya. Kulitnya cocok dengan produk Sulwhasoo. Dan setiap hari dia akan makan pil suplemen primrose oil yang dibelikan ibunya sejak dulu lagi. “Paling penting, saya tidak pernah tidur dengan mekap bertepek pada wajah! Tak kiralah balik jam dua pagi atau tiga pagi, saya mesti bersihkan muka sebelum tidur” ujarnya lagi yang juga sesekali memanjakan diri mengunjungi spa-spa kecantikan.

 

Wanita ini selesa dengan rona-rona baju suram dan putih. Obsesinya kini pada over-the-knee boots. Mungkin terpengaruh dengan produk sample yang diperagakan. “Saya orangnya ringkas sahaja. Jangan tanya apa item guilty pleasure saya yang terbaru, kerana percayalah saya tidak pernah membeli tas berjenama. Mungkin kerana saya sudah puas memperagakan barangan jenama sebelum item itu masuk di pasaran, jadi saya tidak kisah untuk tidak memilikinya. Ya, lain orang lain pula pendapat dan cara mereka kan?”

 

Ada bisik-bisik yang mengatakan rupawan ini sudah berpunya. Tidak mahu kisah cintanya disensasikan. Cukup dia dan pasangan merasai bahagianya. Saya hormat keputusannya itu. Tuti melihat dirinya 10 tahun daripada sekarang, masih menyumbang dalam industri fesyen dan memiliki kediaman di Jakarta serta menetap di sana. “Jakarta sentiasa dekat di hati saya. The people, the city makes me feel welcome. Mungkin saya ada perusahaan sendiri di sana. Siapa tahu kan?” ujarnya penuh berharap.

 

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu Januari 2017