Siti Saleha Tidak Mahu Hanya Bergantung Pada Satu Filem

Siti Saleha Tidak Mahu Hanya Bergantung Pada Satu Filem

Teks: Aizat Aidid
 
Siti Saleha2
 
Kemilau trend wajah pan-asia yang cukup popular pada era 90-an bagaikan muncul semula. Seri yang dahulunya diketuai oleh barisan pelakon hebat seperti Sofia Jane, Julia Rais dan Ramona Rahman kini diteruskan pula dengan nama-nama yang tidak kurang kuat pengaruhnya. Di antara yang segar dan paling menonjol adalah Siti Saleha. Biarpun umur masih dalam tempoh untuk mengenal asam garam dunia, namun kelibat dan karakternya menampakkan ciri yang cukup matang. Dia cukup bijak dalam mengemudi kerjayanya yang bermula dengan hanya menjadi peragawati iklan televisyen. “Pintu rezeki yang membuka jalan ke dunia lakonan terbuka apabila agensi meminta saya hadir ke sesi uji bakat yang memerlukan saya membaca skrip. Mereka juga meminta saya menari dan menyanyi! Pada akhir sesi itu barulah saya diberitahu ia adalah untuk sebuah drama,” ujar Saleha yang juga dipanggil Sally mengenai tawaran watak utama drama 5 Jingga. Drama itu juga merupakan drama pertama lakonannya.
 
Sejak melakonkan watak Zaleha lewat drama 5 Jingga yang disiarkan di stesen 8TV, rezekinya terus bercambah di dalam dunia hiburan. “Lama juga saya mengambil masa untuk membina nama dalam dunia drama sebelum beralih mencuba nasib menjadi pelakon filem. Pentas drama menjadi gelanggang penting untuk saya mencuba pelbagai watak dan mengasah bakat lakonan sekaligus membuka mata kelompok filem akan bakat yang saya miliki. Saya tidak mahu menjadi pelakon yang hanya bergantung dengan satu filem yang hebat dan hasil kerja lain carca marba.”
 
Bukan mudah untuk menjadi seorang pelakon yang berwibawa. Apatah lagi, dunia hiburan ini dilihat sebagai satu cabang yang cukup gah nilai glamornya. Namun, bagi Sally masih banyak lagi benda yang hendak di kecapi. Sepanjang menghambakan diri menjadi seorang pelakon dia cukup terkesan apabila membawakan watak Nia Maizura melalui drama Terlanjur Cinta. “Ia adalah drama arahan Erma Fatima dan bekerja dibawa telunjuk kreatifnya adalah impian saya sebagai seorang pelakon! Wataknya cukup mencabar dan paling saya tidak boleh lupa apabila skrip hanya diberikan sewaktu hari penggambaran! Watak Nia itu memerlukan saya menangis dan dipukul oleh suami hingga saya bertanyakan apakah ini masih terjadi di luar sana?”
 
Melihat situasi sekarang, bukan lagi zaman yang mana pelakon drama tidak mencuba nasib di dalam arena filem dan begitu juga sebaliknya. Bagaimana Sally mengimbangi untuk bersetuju berlakon dalam drama dan filem? “Mungkin boleh dikira dengan jari pelakon yang memberi fokus hanya berlakon filem sahaja seperti Maya Karin dan yang lain sudah mencuba nasib dalam kedua-dua dunia ini. Bagi saya antara dunia filem dan drama tidak jauh beza tetapi komitmen sangat diperlukan. Anda perlu komited dengan apa yang dilakukan. Apa yang pasti saya ini cukup selektif dalam memilih watak yang hendak dilakonkan. Kalau watak yang ditawarkan terlalu ringan saya tidak teragak untuk menolak kerana tidak punya cabaran!” beritahu Sally yang sudah dua kali merangkul anugerah Pelakon Wanita Paling Popular di Anugerah Bintang Paling Popular anjuran salah sebuah akhbar di Malaysia.
 
Konsep & Penata Gaya: Cheah Wei Chun clanhouseonline.com
Gambar: Bustamam Mokhtar
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi Jun 2015
 
 

See also
Metamorfosis Bulgari Dengan Koleksi Arloji SERPENTI