Sharifah Amani Ingin Berada Di Industri Perfileman Untuk Selamanya - Glam Malaysia

Sharifah Amani Ingin Berada Di Industri Perfileman Untuk Selamanya

Penata Gaya: Suzie Adnan

Penyelaras: Zuhairie Sahrom

Arahan Seni: Ashura Hakim

Gambar: Eric/ Blink Studio

Solekan: Sheng Saw/shengsaw.com

Dandanan: Bibian Leong/HAIRMENU
 
sharifah-amani
 
Ingin Terjun Ke Lautan Dalam

Lepas SPM, saya jumpa Yasmin dan dari situ buat Sepet. And the rest are history!” Kata Sharifah Amani membuka bicara. Seronok sekali bila dapat duduk semeja dengan Sharifah Amani. Macam-macam topik menarik dapat dikupas dan boleh diborakkan. Tahun lepas, sekali lagi kita dapat melihat akan wanita bersusuk tubuh kecil molek ini naik ke pentas Anugerah Skrin. Lantas menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik kategori Filem menerusi lakonannya di dalam Psiko Pencuri Hati. Baginya melihat wajah gembira kedua ibu bapanya, kaum keluarga juga rakan terdekat adalah momen paling berharga dan tidak mungkin dapat dilupakan. “Melihat senyuman tanda bangga dari insan yang saya cintai sudah mencukupi! Memenangi anugerah bukanlah kunci kepada segalanya. Sebaliknya ia adalah tanda penghargaan buat diri saya untuk tampil lebih mantap dan ikhlas dengan tanggungjawab yang dipikul.”
 
Ternyata ini bukanlah kali pertama Sharifah Amani menjulang trofi atas pencapaiannya yang cukup membanggakan. Nama Orked sentiasa di hati peminat filem lokal yang menampilkan lakonan perdananya di layar perak tanah air. “Jujur saya katakan kali pertama saya memikul tanggungjawab yang amat berat adalah sewaktu memegang watak Orked di dalam filem Sepet dan saya hanya berumur 17 tahun pada waktu itu. Semuanya adalah pengalaman baru kerana itulah kali pertama saya menjejakkan kaki secara keseluruhannya di dalam industri ini. Dari lakonan hingga ke teknik berlakon, Allahyarhamah Yasmin Ahmad banyak mengajar saya yang ketika itu tidak punya teknik berlakon langsung. Zero technicality, I must say.”
 
“Pada mulanya berlakon hanyalah hasrat yang terbuku di hati. Saya memilih untuk berada di industri perfileman untuk selamanya. Sudah tentu untuk mengkomersialkan karya tempatan di peringkat antarabangsa, tersemat indah dalam perencanaan saya. This is what I was born to do. Tetapi itu tidak menjadi alasan untuk tidak mengambil tahu tentang seni lakon teater, drama atau belakang tabir. Senang cerita, segalanya yang berkait rapat dengan industri lakonan. Kenapa perlu kita meletakkan halangan dalam menuntut ilmu? Saya ingin terjun ke laut dalam, berenang bersama pelbagai jenis mahupun rupa ikan. Dari terperangkap di kolam yang kecil dan hanya bergaul dalam persekitaran yang sama.”
 
“Tanggungjawab saya sebagai pelakon adalah untuk mendidik masyarakat menerusi lakonan saya. Itulah yang perlu diberikan perhatian. Saya menyuarakan emosi melalui penjiwaan lakonan saya. Buat gadis Melayu di luar sana yang menjadi mangsa rogol ataupun mangsa deraan. Bangkit dan terus lawan. Tegakkan hak kita sebagai perempuan dan hakis ideologi yang mengatakan kita ini insan lemah. It is not okay to just sit, doing nothing and keep quiet. Do something and say something. Saya tidak faham kenapa masih ada lagi gadis Melayu di luar sana yang masih takut dan terus menyembunyikan diri di balik selimut tebal.”

See also
Pelancaran Dior La Collection Privee