Qalisha Ray: "Fashion is all about yourself and who you are."

Qalisha Ray: “Fashion is all about yourself and who you are.”

Qalisha Ray
 
Gadis kecil molek ini hadir ditemani adiknya. Qalisha Ray suatu ketika dulu namanya pernah menjadi sebutan di dalam layar industri seni dengan lagunya berjudul Bebaskanlah Cinta. “Ya, saya pernah menjadi penyanyi empat tahun yang lalu. Setahun kemudian, saya membuat keputusan untuk tidak meneruskan lagi karier nyanyian itu. Dan kini saya sibuk menguruskan perniagaan bersama adik-beradik,” ujar si cantik ini memulakan tutur kata.
Empayar perniagaan yang diberi nama Lulwahijab, menjual koleksi hijab yang menjadi trend hijabista ini baru sahaja beroperasi sejak enam bulan dan ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan. Bagi Qalisha, dia punya hasrat untuk mengembangkan lagi empayar keluarga ini di masa terdekat. Selain itu, dia juga sedang giat dalam usaha membawa keluar jenamanya sendiri, “My own clothing line is still undergoing. Namun, Lulwahijab masih menjadi fokus perniagaan utama kami,” ujarnya sambil tersenyum lebar.
 
Gadis ini amat ternyata meminati fesyen. “Fesyen bukanlah sesuatu yang anda harus laburkan ribuan ringgit hanya untuk membeli sehelai gaun yang bagus. Anda boleh pakai dan bergaya elegan tanpa perlu mengeluarkan duit yang banyak. Fashion is all about yourself and who you are. Apa yang anda sarung, itulah gaya peribadi anda,” terang Qalisha. Memilih Olivia Palermo sebagai ikon fesyennya lantas menunjukkan gaya peribadi pilihan Qalisha, “Hanya Olivia Palermo sahaja yang menjadi rujukan fesyen saya. Chic dan classy.”
 
Ujarnya lagi tentang penerimaan fesyen di Malaysia, “Suprisingly, kita mempunyai banyak fashionista di luar sana. Hampir menjadi Hollywood nombor dua! Semua orang bersiap kemas. Nak pergi lepak di kafe kopi pun mesti mahu tampil cantik. Bagus kerana segalanya adalah tentang reaksi pertama orang sekeliling berikan.”
 
Seronok berbual bersama Qalisha, saya mencungkil obsesi fesyennya, “Saya suka kumpul tas tangan juga kasut. Tetapi bukan barang kemas. Saya tidak tahu mengapa. Mungkin kerana saya tidak boleh menyarung sebarang barang kemas hanya cincin sahaja saya boleh pakai. Gaya saya simple namun masih tampak kasual glamor. Antara koleksi tas tangan peribadi milik saya yang menjadi kegemaran sepanjang masa ialah daripada jenama Saint Laurent, Givenchy juga Chanel. Kasut pula, saya paling gemarkan Jimmy Choo. Sangat selesa!” celoteh Qalisha diselangi gelak tawa.
Bercerita soal inspirasi perniagaan hijabnya, Qalisha punya jawapan tersendiri. “Jenama saya sangat berbeza. Ia lebih berkonsepkan muslimah moden. Inspirasi diambil daripada adik-beradik saya. Mereka semua berhijab. Selain itu, keturunan kami yang berdarah campuran Timur Tengah ini turut menjadi inspirasi kami dalam membina jenama ini. Walau moden bagaimanapun kami masih mengekalkan ciri sederhana dalam setiap helaian rekaan kami.”
 
Walau sesibuk mana, Qalisha tidak langsung mengabaikan penjagaan dan kecantikan badan. Setiap kali punya masa terluang, dia pasti akan menyertai kelas pilates juga yoga untuk mengekalkan tubuh badan fit. Selain itu, dia juga gemar mengembara ke serata dunia tetapi ada cerita mencuit hati di sebalik hobinya itu. “Saya suka berjalan melihat negara orang tetapi alangkah sedihnya saya sangat takut menaiki kapal terbang. Setiap penerbangan adalah memori buruk buat saya. Jika diberi peluang, saya ingin mengatasi masalah fobia ini serta ingin ke Paris, Turki juga Monaco suatu hari nanti,” tutur Qalisha mengakhiri bicara.
 
Teks & Penyelaras: Amira Azman
Penata Gaya: Aizat Aidid
Arahan Seni: Zulkifli Sulaiman
Pembantu Arahan Seni: Ashura Hakim
Gambar: Aaron Lee/Lenswork Production
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi September 2015
 
 

See also
Sharifah Amani Ingin Berada Di Industri Perfileman Untuk Selamanya