Personaliti GLAM: Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid

Personaliti GLAM: Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid

Teks: Amira Azman

 

Orangnya cantik. Kala tiba, figuranya sahaja sudah membawa aura yang cukup menyenangkan di dalam studio kami. Selain cantik dia juga mesra dan rendah hati. Mudah dibawa bicara dan kelakar orangnya. “Saya dilahirkan di Gombak, Selangor dan merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik. Saya rasa semua tahu yang saya adalah seorang balu setelah kematian suami 10 bulan yang lepas. Saya mempunyai tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan. Lelaki sulung berusia 14, sembilan tahun dan yang bongsu anak perempuan saya lapan tahun. Saya bergiat aktif di dalam bidang perniagaan. Memiliki perniagaan sendiri bersama rakan perniagaan iaitu Riyaz Hotel and Resort. Kami menguruskannya sendiri. Buat masa ini, saya memiliki tiga buah hotel. Sebuah di Cyberjaya, Bali dan satu lagi di Langkawi, “panjang lebar dia mengenalkan dirinya.

 

Merupakan Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurul juga pernah berkerja selama lima tahun di Syarikat Perumahan Negara Berhad sebagai Naib Presiden Komunikasi Korporat. “Sepanjang saya belajar sehinggalah tamat pengajian di universiti, saya tidak pernah berhenti bekerja. Sebenarnya saya juga tidak tahu apa itu perniagaan. Bagi saya, perniagaan itu adalah seperti sesuatu yang kita nampak secara kasar tetapi sebenarnya ia sangat terperinci dan lebih messy. Saya sebetulnya tidak memiliki sebarang ilmu atau menuntut ilmu perniagaan di universiti, tetapi saya belajar daripada pengalaman.”

See also
Leornado DiCaprio Pulangkan Dana 1MDB

 

Ditanya apakah inspirasinya membina empayar perniagaan? Dia spontan menjawab, “Saya sudah penat bekerja makan gaji. I think it is time for me to go out from my comfort zone. Saya memiliki gaji lima angka namun bagi saya itu bukan apa yang saya mahu lakukan. Jadi saya cabar diri saya untuk menyertai bidang perniagaan ini.”

 

Tidak pernah tertanam dalam dirinya untuk menjadi seorang wanita yang berkuasa. Dia cuma mahu untuk dijadikan inspirasi. Inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana dan juga yang paling penting untuk anak-anaknya. “Mereka sudah tidak mempunyai papa jadi, saya mahu menjadi satu-satunya inspirasi mereka. Secara jujur, saya mahukan anak-anak berjaya dalam hidup, seperti saya cakap tadi, mereka sudah tiada siapa-siapa. Datuk mereka sibuk dan menggalas tanggungjawab besar terhadap negara. They only have me, jadi saya perlu tunjukkan contoh terbaik buat mereka. Jadi saya ambil peluang ini, untuk buktikan kepada mereka yang saya juga boleh berjaya walaupun saya seorang ibu tunggal.”

See also
Gaya Minimalis Gaia Repossi

 

Ingin tahu serba sedikit, bagaimanakah perasaan anak-anak ketika bapanya meninggal dunia, terang Nurul, “Alhamdulillah saya memiliki anak-anak yang bijak. Mereka tenang dan menerima dengan baik. Mereka semua bersikap positif. Selepas suami saya meninggal, saya tidak pernah menangis di depan mereka, kerana saya mahu tunjukkan sisi kuat saya pada mereka. My life needs to move on, they are too. Saya mahu mereka membesar dengan sempurna seperti anak-anak lain.

 

Sebagai wanita bekerjaya, ibu tunggal serta menguruskan anak-anak, bagaimana cara terbaik untuk seimbangkan semua ini? “Saya perlu berterima kasih kepada kedua-dua pembantu rumah saya. Seorang daripada mereka menguruskan rumah, seorang lagi menjaga anak-anak. Saya juga bersyukur kepada Allah kerana dikurniakan orang yang baik-baik di sekeliling saya. Menjadi seorang ibu tunggal ini tidak mudah sebenarnya berbanding yang ada pasangan.  Wanita yang digelar ibu tunggal ini sebenarnya memiliki limitasi. Orang akan pandang apa sahaja yang kita buat kerana status kita. Membahagikan masa itu juga tidaklah semudah yang disangka. Kebiasaannya saya akan bangun pagi untuk Subuh kemudian menyiapkan anak-anak ke sekolah. Selepas itu saya akan tidur semula selama sejam sebelum bersiap ke pejabat. Dan pada sebelah malam pula, saya akan pastikan yang saya pulang sebelum jam lapan untuk bersama anak-anak di meja makan, berborak sekejap dengan mereka sebelum masuk tidur.”

See also
Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Tahun Salvatore Ferragamo

 

Apakah satu pesanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang tidak pernah anda lupakan? “Saya masih ingat abah berpesan supaya jaga diri dan jaga maruah sebagai seorang wanita.” Saya turut bersetuju dengan pesanan itu kerana memandangkan wanita kini terutama remaja ramai yang rosak akhlaknya sehingga sanggup mengorbankan segala benda.

 

Sebelum mengakhiri perbualan, saya bertanyakan kepadanya tentang perancangan masa hadapan, “I want to find a good husband. Saya tidak boleh melihat diri saya sebagai wanita single. Saya kenal diri saya. Saya sebenarnya seorang yang manja. Ya lah, kita penat bekerja dan perlukan seseorang untuk bermanja dan berkongsi suka duka. Jadi saya berharap, suatu hari nanti Allah akan kurniakan saya seorang lelaki yang baik, mampu melindungi serta mempertahankan saya. Saya mampu melakukan itu kepada anak-anak, namun siapa pula yang mahu melindungi saya? Saya tidak mahu mencari dan tidak juga mencari, sebaliknya biarlah lelaki itu datang kepada saya.”

 

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu mei 2017