Neelof: Bintang Paling Popular, Jutawan muda & Ikon Negara

Neelofa, The Star of Our Time: Bintang Paling Popular, Jutawan muda & Ikon Negara

Glamor bukan menjadi misi utamanya kerana wawasannya kini jauh lebih luas. Visi noor NEELOFA yang baru adalah mahu terus komited menakluki dunia hiburan, meluaskan empayar perniagaannya serta menjadi suara buat wanita juga belia di pentas antarabangsa.

 

Paris masih lagi basah dek kerana hujan yang tidak berhenti sejak awal pagi. Taman Tuileries yang sepatutnya hijau, nampak kelam dalam balutan cuaca yang muram. Namum begitu, tiada apa yang dapat menghalang Noor Neelofa untuk beraksi di hadapan lensa kamera buat sesi penggambaran kulit majalah GLAM di kota Paris yang diterbangkan khas oleh Swarovski. Perhiasan kemas jenama itu tersusun di atas meja kayu klasik di dalam kamar. Gaun-gaun Dior yang bakal disarungkan Neelofa juga tergantung indah. Wajahnya dirias cantik oleh jurusolek tersohor, Khir Khalid. Kata Khir, dia mahu Neelofa kelihatan lain daripada sebelumnya. Solekan smokey eyes hitam nyata memberi aura lebih sensual namun bagai meniup kuasa matang pada Neelofa. Apabila tiba masa untuk beraksi, Neelofa tidak tunduk kalah pada angin sejuk yang  menampar pipinya. Tidak ada sedikit pun keluhan atau rungutan bahkan Neelofa memberi kata-kata semangat kepada kami untuk meneruskan sesi penggambaran agar mendapat hasil yang sempurna mesti dicabar angin dingin yang menusuk ke tulang hitam.

 

Sesi penggambaran hanya berakhir apabila mentari mula terbenam. Ketika itu cuaca dingin malam kian menusuk tetapi raut wajah Neelofa merakam garis puas apabila berjaya menghabiskan sesi penggambaran buat GLAM bersama Swarovski. Apatah lagi dia juga adalah wajah buat jenama kristal itu. Usai penggambaran, saya dan Neelofa menghabiskan masa berdua. Kami ke Hotel Costes untuk duduk bercerita. Untungnya ketika kami di sana, Paris sedang hangat dengan Minggu Fesyen Paris. Justeru itu  patio hotel dipenuhi dengan kelompok fesyen. Kami sempat berbalas senyuman dengan Gigi Hadid yang kebetulan sedang melangkah keluar hotel tatkala kami melabuhkan punggung pada sofa. Neelofa gembira bukan kepalang kerana dapat bersemuka dengan peragawati itu yang langsung tidak mempamerkan karakter sombong apatah lagi berlagak.

 

FENOMENA WARDA DAN MELETOP Dua cangkir kopi  tiba ke meja untuk menghangatkan kesejukan Paris. Kami menikmati kopi sambil berbicara. Sebelum berbual lebih panjang saya jujur memberitahu Neelofa yang saya bukanlah pencinta drama Melayu tetapi drama bersiri Suri Hati Mr Pilot bagi saya telah mencipta fenomena tersendiri. Impaknya sangat berbekas di hati sehingga hampir semua yang saya kenali bercakap perihal drama bersiri tersebut. Bukan sahaja mengenai Fattah Amin yang menjadi pelakon utama tetapi watak Warda yang dilakonkannya. Saya  melihat watak Warda adalah lebih besar daripada drama itu mahupun Neelofa. “Saya mengakui Warda itu adalah satu ikon! Karakter yang diimaginasi oleh penulis novel agar semua wanita bisa menjadi seperti Warda. Peribadinya tegas, punya kuasa, berdikari, pandai bergaya dan mewakili wanita berhijab. Apabila muncul di kaca televisyen pula ia memberi inspirasi kepada yang menonton,” kongsi Neelofa tentang watak yang dilakonkan dalam drama arahan Michael Ang.

 

Sudah lama Neelofa memasang angan-angan untuk berlakon di bawah arahan Michael Ang dan apabila skrip Suri Hati Mr Pilot diberikan kepadanya dia terus bersetuju. “Pertama kali membawa karya ini saya sudah mula jatuh cinta pada watak Warda. Penulisan skrip drama ini cukup berbeza dengan apa yang ada di kaca televisyen sekarang. Ini  membuka minat saya untuk beraksi buat Michael Ang  kerana dia sendiri percaya yang karakter ini bersesuaian dengan saya serta  mampu mencipta ombak besar dalam dunia seni saya sebagai pelakon. Ada persamaan yang dapat dilihat apabila watak Warda ini saya lakonkan. Warda sebenarnya tidak lari jauh daripada Neelofa.” Neelofa juga mengakui yang hubungan cinta seketikanya bersama Fattah Amin adalah salah satu resepi kejayaan drama itu kerana masing-masing tidak punya perasaan yang terbatas ketika menjiwai watak masing-masing.” Sebelum ini cintanya bersama bekas kekasih terdahulu selama lima tahun dilihat terlalu mendatar. “Fattah muncul seperti memberi definisi baru dalam cinta. Seakan rebirth in love life! Dia melayan saya dengan sangat baik dan memberi perhatian yang saya inginkan. Kami adalah sahabat baik, musuh ketat dan ketika kami bersama, saya boleh menjadi diri sendiri. Tetapi cinta itu juga telah berakhir.”

See also
Yuna Dalam Rekaan Issey Miyake

 

Namun, yang pasti cinta yang paling utuh sekarang adalah dunia pengacaraan. Sebelum menjadi pengacara Meletop, dia terlebih dahulu mengemudi rancangan Nona. Pengalaman selama empat tahun menjadi wajah utama Nona membentuk Neelofa untuk menjadi pengacara berilmu. “Jiwa saya lebih dekat dengan Nona,  rancangan berinformasi buat wanita. Saya juga dapat rasakan yang jiwa saya sesuai untuk beraksi secara lebih formal. Namun, saya mahu mencuba sesuatu yang lain. Maka apabila rezeki dibuka untuk menjadi pengacara Meletop, saya cuba untuk memberi yang terbaik. Yang seronoknya rancangan Meletop bagaikan taman permainan buat saya untuk menjadi gila! Saya tidak ambil kisah tentang apa yang orang lain mahu katakan. Nona dan Meletop adalah medan juang saya sebagai pengacara.”

 

Lebih menarik adalah apabila Suri Hati Mr Pilot dan Meletop mencipta fenomena fesyen yang tersendiri. Setiap apa yang disarung olehnya baik tudung, ceraian baju mahupun aksesori akan habis terjual pada keesokan harinya. “Cerita paling gila pernah saya dengar adalah apabila ada peminat yang mahu membeli semua aksesori Swarovski yang saya pakai dalam drama Suri Hati Mr Pilot. Bayangkan gelang-gelang tersebut sold out! Ada juga fashion buyers yang menawarkan diri untuk membelikan aksesori Swarovski seperti yang saya gayakan di Meletop dan drama itu.” Dia bangga mampu membantu wanita di luar sana untuk lebih berani dalam perihal gaya sekaligus menolong pemasaran jenama Swarovski serta label fesyen lokal. Sambungnya lagi, drama Suri Hati Mr Pilot ini telah mencipta trend dikalangan pelakon filem untuk mencuba nasib berlakon drama pula. “Manakan tidak, kerana drama ini cukup popular. Ketika sesi bertemu peminat, saya tidak menyangka yang tempat itu mampu sesak kerana penonton setia drama ini akan memenuhi ruang sesi ramah mesra. Maka itu yang membuka mata pelakon filem untuk beraksi di drama televisyen.

 

EMPAYAR NAELOFAR HIJAB Memiliki nama hebat di dalam dunia hiburan mungkin dilihat sebagai tiket  untuk melancarkan perniagaan sendiri. Kenyataan itu tidak langsung dipersetujui Neelofa. Kerana katanya walaupun sudah popular namun jalan mendaki kejayaan tidak mudah. Banyak liku berniaga yang perlu ditempuh sebelum menikmati kemanisan kejayaan seperti yang dikecapinya hari ini. Sempat saya bertanya mengapa mahu berniaga? “Ketika umur saya 24 tahun, saya bercinta bersama seorang yang usianya jauh lebih matang daripada saya. Ketika itu saya sering bandingkan kehidupan saya dengan bekas teman lelaki. Melihat dia yang lebih matang  membuatkan hati ini tergerak untuk bermula awal. Saya tidak mahu masih bertatih dalam dunia perniagaan ketika umur sudah lewat. Banyak jugalah perniagaan yang saya cuba. Asalnya mahu membuka kedai makanan, namun terbatas kerana masalah sistem dapur. Kemudian saya juga pernah melancarkan jenama kasut sendiri.”

See also
Most GLAM 2018: Datin Diana Danielle

 

Namun, peniagaannya ada turun naik sehinggalah Neelofa terbang ke Los Angeles untuk kursus lakonan. Di sana masanya banyak terluang dan Neelofa telah mendalami dunia kosmetik. Kanta lekap menjadi taruhan perniagaan seterusnya. “Hubungan cinta terlerai sekembalinya saya ke Kuala Lumpur dan saya berikan masa sepenuhnya untuk jenama kanta lekap ini. Ketika itu saya habiskan masa di pejabat dan kadang kala pukul tiga pagi baru pulang ke rumah. Semua tenaga dan masa didedikasikan untuk melancarkan jenama itu. Lofalens adalah hadiah daripada Allah. Saya percaya jika Allah tarik satu nikmat daripada hidup kita, DIA akan membalas dengan sesuatu yang lebih baik.” Nama Lofalens terus mekar menjadi pilihan ramai peminatnya dan kemudian ibunya memberi idea untuk melancarkan jenama tudung sendiri.

 

“Kami bermula secara kecil-kecilan. Naelofar Hijab hanya mempunyai 250 helaian tudung dan sasaran asal kami hanyalah untuk mendapat pulangan RM70,000. Ini  kerana kami tidak pasti dengan pasaran tudung. Bulan pertama label tudung ini dilancarkan ia bermula agak perlahan dan ada yang melontarkan fitnah yang kami ini meniru rekaan tudung orang lain. Namun itu bukan menjadi batu penghalang. Rezeki Allah sudah tertulis sehingga pada bulan keduanya, laman web kami lumpuh dek kerana ramai membuat pembelian tudung Naelofar Hijab. Saya melihat angka di akaun bank saya naik mencanak. Bermula dengan puluhan ribu mencecah ratusan ribu hinggalah ia memaparkan angka juta saya yang pertama!”

 

Penghujung 2015, dilaporkan keuntungan  Naelofar Hijab mencecah RM50 juta. “Sungguh saya tidak menyangka pada usia yang masih muda dan baru bertatih di dalam dunia perniagaan kami memperoleh keuntungan yang begitu. Bayangkan kami dahulu bekerja daripada rumah teres yang disewa dan kini bangga mempunyai pejabat cukup selesa untuk menempatkan pekerja yang setia membangunankan jenama Naelofar Hijab. Sekarang ini jika tidak masuk pejabat saya tidak akan risau kerana saya percaya yang mereka bisa melakukan kerja. Tahun lalu merupakan masa untuk saya membentuk sistem kerja yang lebih teratur dan menelan segala pahit maung dunia perniagaan.”

Setiap kali Neelofar Hijab melancarkan koleksi tudung baru ia akan habis terjual dalam masa satu hingga ke tiga minit! Dan paling lama untuk menghabiskan tudung barunya adalah 11 minit. Alangkah hebat dan beruntungnya nasib selebriti cantik bernama Neelofa ini. Apakah yang membezakan tudung Naelofar Hijab dengan jenama lain? “Identiti itu sangat penting buat sesuatu jenama. Kami mahu meletakkan jenama ini sebagai satu label pilihan semua lapisan masyarakat. Kami mahu mereka bangga menyarungkan tudung jenama saya. Saya sebagai selebriti dan juga wajah buat Naelofar Hijab berjalan secara seiring. Untuk mempromosikan label ini saya perlu belajar untuk mempromosikan diri sendiri dan ketika itulah saya meminta Nabila untuk melabur dalam membentuk identiti Naelofar Hijab dengan menyediakan kelas etika agar saya lengkap dan memberi keyakinan kepada para pelanggan. Ketika Nabila sibuk mengukuhkan syarikat, saya pula menghabiskan masa empat jam setiap hari dalam kelas-kelas perniagaan.” Neelofa juga boleh dikira sebagai selebriti terawal yang mempunyai penata gaya tersendiri. Melalui Min Luna, setiap penampilan Neelofa dijaga rapi kerana itu adalah standard utama dia sebagai selebriti serta wajah utama Neelofar Hijab.

See also
Bintang-Bintang Terkenal Yang Menggunakan Nama Samaran

 

WANITA BERILMU DAN BERWAWASAN Ada banyak informasi yang dikongsikan Neelofa  bersama saya sepanjang di Paris sehingga ada masa saya mengusik yang Neelofa ini seakan-akan Majalah Tiga. Ada sahaja ilmu dan info menarik dia kongsikan. Saya juga sempat melontar padanya soalan apakah yang penting untuk menjadi selebriti? Ilmu atau sekadar bakat dan rupa? “Percayalah yang glamor itu boleh hilang sekelip mata sahaja. Dalam hal berlakon dan pengacaraan saya ini masih boleh dikira baru, kerana masih banyak lagi yang perlu dipelajari. Di sinilah yang membuatkan ilmu itu penting. Semua orang boleh memiliki penampilan menarik, namun tidak semua bijak menggunakan ilmu yang mereka miliki.” Dilabel sebagai selebriti berilmu juga memberi beban kepada dirinya namun dia percaya yang ilmu itu sungguh luas dan dalam usia semuda 28 tahun ini, Neelofa masih memasang cita-cita untuk terus menggali ilmu dan membaca bahan ilmiah yang mampu membentuk dirinya menjadi insan yang mampu menolong orang lain terutamanya wanita.

 

Satu lagi kejayaan yang cukup membanggakan adalah apabila Neelofa tersenarai sebagai salah seorang belia berjaya di bawah 30 tahun oleh majalah Forbes. Ketika menerima khabar berita itu, dia kebingungan dan tidak percaya menerima penghargaan yang cukup besar dalam dunia perniagaan. Ada orang sekeliling berkata apa yang dia terima sekarang ini terlalu awal dan rezeki itu adalah hadiah paling indah daripada Allah. Tetapi katanya dia bersyukur rakan-rakan semua bangga dengan pencapaian yang dimiliki  dalam usia muda ini. Yang lebih seronok adalah apabila melihat dirinya pada kulit majalah Forbes sebaris dengan Liu Wen.

 

Sempat Neelofa berkongsi rancangan hidupnya yang ditulis pada sehelai kertas. “Waktu itu saya sedang bosan lalu saya sambar pen dan kertas untuk menulis apa yang saya mahukan dalam hidup. Tahun ini selain menjadi penghias kulit majalah GLAM, saya juga bangga dipilih Forbes. Saya juga mahu merealisasikan impian untuk bekerjasama bersama United Nations di bawah program UN Youth Delegate Program. Tahun hadapan pula adalah masa buat saya terbang ke seluruh dunia untuk menjadi suara kepada  wanita ataupun usahawanita. Melalui Forbes juga saya sudah dijemput ke salah satu persidangan di Manila. Dan akan terbang ke Boston akhir tahun ini untuk satu lagi persidangan tentang dunia perniagaan,” ceritanya dengan selingan tawa. Kata Neelofa lagi tahun hadapan juga adalah masa buatnya untuk memilih tarikh hari perkahwinannya. Lalu, kami berdua tergelak besar dan seperti saya tentunya peminat-peminat Neelofa juga tidak sabar untuk tahu siapakah yang bakal menjadi raja di hati Noor Neelofa.

 

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu Jun 2017