Natasha Seatter Lambang Wanita Serba Boleh - Glam Malaysia

Natasha Seatter Lambang Wanita Serba Boleh

Siapa sangka wanita dan kereta tidak boleh disatukan? Kejayaan pelumba wanita negara, Natasha Seatter, adalah sebagai lambang bukti wanita juga mampu memegang takhta pelumba hebat setanding para jejaka.

 

natasha2

Jam sudah menunding jarum ke dua petang, muncul tepat di hadapan studio, si tinggi lampai, berkulit putih gebu mengetuk memberi salam. Tidak dimasuknya ke dalam studio sehingalah saya datang membalas sapa. Cantik sungguh Natasha Nur Ida Adam Seatter! Datang serba ringkas tanpa bersolek, mengenakan blaus flora, jean biru dan bersandal. Saya bertanya jika dia hadir seorang diri sahaja, pantas Natasha menjawab, ibunya, Datin Ida, bakal sampai sekejap sahaja lagi. Saya juga difahamkan ibunya yang menguruskan sepenuhnya kerjaya Natasha. Mudah bukan? Sememangnya si ibu itu lebih memahami!

 

Wanita dan Sukan Lumba Kereta

Sungguh diri ini tidak menyangka, sebenarnya sudah begitu banyak pengalaman yang telah ditimba oleh gadis ini. Jauh sekali untuk dibandingkan dengan umurnya yang masih begitu muda. Baru menginjak usia 23 pada tahun ini, Natasha amat seronok bercerita mengenai kerjayanya dalam dunia sukan bermotor yang telah mengangkat dirinya sebagai satu-satunya pelumba wanita yang cukup hebat untuk mewakili Malaysia ke persada antarabangsa. Minatnya ini sudah semestinya telah diasah tajam oleh ibu bapa tercinta. Bermula sebagai aktiviti suka-suka bersama keluarga di hujung minggu, akhirnya membuahkan minat ke dalam diri Natasha. Ibarat pepatah Melayu, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasinya, bapa Natasha merupakan salah seorang pelumba sukan bermotor ini jugalah yang menjadi pemangkin semangat buat dia kerana sering sahaja membawa anaknya itu ke litar setiap kali adanya latihan ataupun apa jua perlumbaan berlangsung.

 

Sejak daripada itu, dia mula mendekati bidang ini dengan lebih serius. Perjalanan kariernya bermula seawal usia 11 tahun, dia mula menjalani latihan dan mempelajari selok belok perihal kereta lumba selama hampir setahun. Sehinggalah usia menjangkau 15 tahun, dia menyertai Petronas Formula Xperience Racing School dan dari situ dia mula memenangi banyak kejuaraan dan akhirnya ditawarkan tajaan kontrak selama setahun bersama Petronas. Tatkala wajah disolek, ada kalanya dia terbatuk. Cuaca begitu panas ditambah pula jerebu yang menyerang kota Kuala Lumpur pada ketika ini menyebabkan dia mengalami batuk teruk sehingga membantutkan perbualan seketika. Ya, seharusnya pengambilan air putih amat penting dalam seharian. Tambahan lagi kerjaya Natasha memerlukan dia untuk berpanas di bawah terik cahaya matahari hampir setiap hari.

 

Sudah jauh mengembara hampir ke seluruh dunia, pelbagai perlumbaan juga telah disertainya. Kerjaya telah membawa dia ke India, Filipina, Indonesia, Jepun, Korea dan pelbagai lagi. Perlumbaan pertama yang amat memberi kenangan manis adalah ketika mewakili Malaysia ke perlumbaan Billand 250CC Kart yang berlansung di Dubai pada 2008 saat dia berumur 15 tahun. Kehebatannya semakin terserlah dan membuka mata ramai pihak apabila dinobatkan tempat pertama sebanyak empat kali di beberapa tempat perlumbaan sebelum dia ditawarkan tajaan biasiswa dari syarikat Petronas. Pasti ada trek kegemarannya yang tersemat di hati setelah mengembara di pelbagai tempat, lalu dia berfikir sejenak, “The best ever track would be… Macau. Probably one of the most scariest track. Ini kerana ia merupakan trek di jalanan yang memerlukan anda berlumba di atas jalan yang mempunyai tepian curam bukit!”
 
Saya tertanya-tanya agaknya bagaimana cara Natasha mengawal tekanan saat setiap kali menjelang perlumbaan. Manakan tidak, setiap perlumbaan yang disertainya itu membawa nama besar buat tanah air tercinta. Namun, dia tidak cepat melatah atau juga gelabah saat perlumbaan bermula. Tenangkan hati dan sentiasa berfikir apakah tujuan utama setiap kali menyertainya, “Kita perlu ada hanya satu fokus di minda. When I’m nervous in the car, I always think that there is nothing to lose. So for me, I want to just take one position, every lap that I do I want one position. The most important thing, channel your nervousness into focusing.” Sekalian itu, saya bertanyakan sekali apakah perkara yang paling mencabar pernah ditempuh sepanjang menyertai sukan ini. Satu perkara yang harus dilaluinya ialah kesukaran mendapatkan tajaan. Kerana seperti yang telah ditekankan Natasha sebelum ini, sememangnya ini adalah antara masalah yang berlaku pada segelintir pelumba.

See also
Kempen Horse and Carriage Buka Lembaran Musim Bunga 2022 Coach

 

natasha-3

Bercerita pula mengenai cita-cita yang mahu dicapai didalam kerjaya lumba kereta ini, “My ultimate dream is to be racing in the Le Mans series…” Tambahnya lagi, perlumbaan itu ibarat seperti perlumbaan Formula One tapi ia lebih diberi keutamaan kepada para pemandu yang baru untuk mencecah ke satu tahap yang lebih tinggi. Untuk berada ditahap pencapaian itu sahaja sudah cukup membanggakan dirinya kerana bidang ini memerlukan usaha dan kesabaran yang begitu tinggi memandangkan kos dan peruntukan untuk menyertai perlumbaan itu amat tinggi dan sentiasa menjadi dilema setiap para pelumba. Pasti setiap yang kita lakukan, idola itu harus ada sebagai aspirasi dan motivasi untuk berjaya. Bagi dirinya, Danica Patrick, Claire Jedrek dan Susie Wolff antara nama-nama besar pelumba sukan bermotor wanita yang sudah berjaya di dalam sukan ini.

 

Memecahkan pemikiran tipikal yang mengatakan wanita tidak sesuai dengan sukan lasak ini, Natasha tegas membidas, “Kita semua manusia sama sahaja. Apabila berlumba, kamu tidak akan tahu siapa yang sedang memandu. Kami diuji berdasarkan kemahiran dan bukannya jantina.” Ya, ternyata kata Natasha itu benar, apa yang lebih penting adalah bakat. Jika bakatnya bagus melebihi jangkaan, apa salahnya. Ungkapan Natasha meminggirkan fikiran stereotaip masyarakat di luar sana. Seloroh Natasha lagi, dia sudahpun memiliki lesen kereta lumba jauh lebih lama daripada kereta jalanan biasa yang baru sahaja diperolehnya pada tahun lepas. Baginya, kereta lumba memberi kepuasan jauh lebih bermakna memandangkan itu kereta pertama yang dinaikinya sejak kecil lagi.

See also
Jaclyn Victor Amalkan Diet Mengikut Jenis Darah

 

Life Off the Track

Saya bawa Natasha jauh daripada topik kariernya sambil cuba mengorek sedikit tentang kehidupannya di sebalik langsir sebagai seorang pelumba kereta. Tidak kurangnya jurusolek, Sheng Saw, turut membuat lawak jenaka, bercerita tentang keseronokannya tatkala berada di Sarawak atas urusan kerja, memandangkan Natasha dilahirkan dan dibesarkan di sana selama tiga tahun. Kami mula bercakap soal makanan, Natasha sangat menggemari makanan pedas.

 

Tidak saya sangka gadis kacukan ini punyai lidah Melayu! Dia bercerita lagi, malam sebelum sesi fotografi berlangsung, dia menikmati hidangan ayam goreng kunyit, namun dek kerana terlalu pedas sehingga tidak dapat menelannya, dia menyerah kalah. Namun tidak sesekali berhenti untuk menikmati makanan pedas itu. Berselera sungguh saya dan Sheng mendengar ceritanya.

 

Teringin hati saya untuk tahu, bagaimana cara dia menghadiahkan dirinya setiap kali segala pertandingan yang disertainya berakhir. Kata Natasha, dia tidak mahukan apa-apa selain daripada rehat yang secukupnya, “I think a good nice sleep, a nice bath ,and a massage would be perfect…” Ia cukup membuatkan dirinya tenang dan menikmati sepenuhnya setelah mengharungi penat yang bertimpa-timpa. Selain itu, Natasha juga menambah, dia tidak mempunyai hobi lain kerana kerjayanya yang sentiasa memerlukan dia untuk berlatih dan bekerja, namun tidak dinafikan dia punya minat yang tersendiri, “Saya seorang yang berjiwa seni tetapi kehidupan seharian saya banyak dihabiskan untuk latihan dan kerja… Sukar bagi saya untuk mencari hobi…”

 

Saya pernah melihat gambar-gambar di Instagram milik Natasha. Namun hati saya tertarik dengan sebuah gambar yang memperlihatkan gitar berwarna merah jambu. Tanya saya, Natasha boleh bermain alat muzikkah? Selorohnya malu, dia mencuba untuk bermain gitar dan ada kala menjadikan ia sebagai salah satu aktiviti ketika tidak berada di atas trek, namun kekangan masa terkadang menjadi antara sebab-sebab dia tidak lagi meneruskan pembelajarannya itu. Namun Natasha sebenarnya memasang impian untuk belajar bermain gitar bass suatu hari nanti. Saya yang mendengar seperti terpegun akan impiannya itu, namun itulah Natasha, seorang yang sentiasa mahu mencuba sesuatu yang baru.

 

Bercerita pula tentang stail fesyen peribadi pilihan Natasha, dia menggambarkan dirinya sebagai seorang yang feminine but strong. Tambahnya lagi, dia menggemari gaya yang seksi dan keperempuanan tatkala di luar namun apabila di atas landasan trek, dia mahu dikenali sebagai seorang yang bold. Dia juga sangat menggemari model cantik dari Australia, Miranda Kerr. “When you see her, you don’t see her as a Victoria’s Secret Model, you see her as her, she has a very good sense of style during her model off-duty!” Memilih koleksi jenama Mango dan Zara sebagai gaya peribadi yang sering digayakannya setiap hari kerana ia cukup kena dengan jiwanya yang masih muda.

See also
Bella Hadid "Mengelak" Selena Gomez dan The Weeknd Sepanjang Malam di MET Gala?

 

Natasha punya minat terhadap pengumpulan kasut. Dia amat gemarkan koleksi daripada jenama Loewe, mungkin juga usianya yang masih muda menyebabkan dia masih kurang fasih dalam berfesyen dan bergaya glamor. Namun baginya, fesyen itu amatlah penting bagi para atlet, tidak sekali-kali dikecualikan. Penampilan ketika berjumpa orang ramai haruslah dititikberatkan kerana ia menggambarkan siapa diri kita sebenar tidak kira jika kita seorang peragawati ataupun atlet. Saya ingin tahu juga bagaimana cara Natasha menjaga kulit cantiknya kerana setiap hari dia harus berdepan dengan cuaca panas serta berada di dalam sut pakaian lumba yang tebal.

 

natasha

 

Apakah rutin dia kekal cantik?

“Setiap kali memakai topi keledar, saya akan pastikan muka sentiasa bersih. Dan jika saya harus berada di luar dengan kerap, saya akan bawa sekali pencuci muka ke mana sahaja saya pergi. Produk Cetaphil adalah yang terbaik untuk kulit saya.” Bersemangat sekali Natasha menceritakan rutin penjagaan kulit mukanya, dia mengamalkan cucian menggunakan air suam dan dibilas air sejuk ketika mencuci muka. Tidak juga mengabaikan tiga langkah penjagaan kulit muka iaitu, cleanse, toner and moisturize! Natasha cukup senang dengan produk Nivea sebagai toner dan krim pelembab pilihan. Jika ada kesempatan, dia juga membuat maskernya sendiri di rumah dengan menggunakan yogurt, minyak badam dan kulit buah limau sebagai bahan semulajadi untuk masker buatannya.

 

Sebelum menutup perbualan, usai sahaja mekap siap dan seterusnya membawa Natasha ke bilik persalinan, saya sempat bertanya pesanan terbaik buat para wanita yang ingin menjadikan sukan lasak bermotor ini sebagai kerjaya di masa hadapan. “Terdapat pelbagai cara untuk anda sertai sukan ini. Perlumbaan Red Bull misalnya antara yang rancak berlangsung. Pergi dan sertai mereka. Ini cara terbaik untuk menguji kemahiran anda. Yang penting, anda harus mempunyai lesen memandu sah sekurang-kurangnya dua tahun. Jangan sekali mudah putus asa, sentiasa percaya yang anda boleh buat, serta sokongan kuat daripada keluarga dan rakan-rakan juga penting. The most important thing is, always do one step at a time, not five steps at a time.”

 
Oleh: Amira Azman