Nasha Aziz - Ikon Peragawati Melayu

Nasha Aziz – Ikon Peragawati Melayu

Teks: Aizat Aidid
 
Nasha Aziz
 
Nama Nasha Aziz itu sendiri sudah cukup kuat, selain aktres masyhur, dialah ikon peragawati Melayu yang sentiasa bersiap sedia untuk memberikan yang terbaik dalam apa jua tugasan. Sebelum seminggu sesi penggambaran kulit majalah GLAM ini beberapa kali kami berbicara melalui telefon. Memang dia ini cukup profesional, bertanyakan apa yang hendak dibawa serta apa mood yang GLAM mahukan.
 
“Ini kulit majalah saya yang keempat bersama GLAM. Mesti sesuatu yang baru, nanti takut pembaca bosan pula,” ujarnya dalam nada risau. Namun, sikap profesional yang tersemat pada bahu model-turned-actress ini tidak terhenti di situ saja. Ada sahaja soalan menarik yang dilontarkan membuatkan saya cukup seronok berbicara dengan Nasha Aziz.
 
Masih segar dalam fikiran melihat Nasha Aziz beraksi buat kali pertama di hadapan mata! Sememangnya dia cukup menjiwai watak yang diberikan. “Semua itu hadir atas pengalaman yang saya tempa sejak bergelar model.” Dia antara aktres dan peragawati yang menjadi pilihan utama GLAM sejak tahun pertama keluar lagi. “Saya suka bekerja dengan warga editorial GLAM. Mereka semua punya visi kreatif yang cukup bagus. Jika ditanya yang mana satu kegemaran saya tentu sekali kulit majalah saya buat isu Januari tahun 2008! Saya suka dengan pemilihan rona yang diberikan dan solekan cukup membantu. Lebih-lebih lagi kulit majalah itu menang anugerah. Lagi bertambahlah suka saya padanya,” gelak Nasha riang.
 

See also
Penerbit Hollywood Harvey Weinstein Berhadapan Dengan 30 Dakwaan Gangguan Seksual

1_JAN 2008Nasha Aziz di muka hadapan GLAM edisi Januari 2008.

 
Tambahnya lagi, kita perlu sentiasa peka dengan apa yang berlaku untuk kekal relevan dalam dunia fesyen. “Lebih-lebih lagi peragawati baru sekarang perlu ada keyakinan diri dan peka! Itu yang paling penting sekali, ia mungkin satu kerjaya yang memenatkan tapi jika mahu senang jangan lah kerja. Baik duduk di rumah!”
 
Pintu ke dunia peragaan dibuka luas oleh Tiara Jacquelina pada 1988 dia terus mengikat kontrak dengan Jacqie Eu Production. “Saya serahkan semuanya kepada dia untuk menguruskan perjalanan dalam dunia peragaan. Banyak juga tugasan yang saya dapat. Ingat lagi iklan Rexona yang saya menjadi watak utama buat produksi itu. Pertama kali melihat hasilnya, hati berdebar dan cukup seronok sekali.” Klien lain yang pernah menggunakan khidmat Nasha Aziz termasuklah Avon serta Nescafe Classic. Selain itu Nasha juga menjadi peragawati kesukaan Zang Toi dan membawa dia terbang ke serata kota fesyen terkemuka dunia, dari New York hingga ke Paris!
 
Nasha Aziz2
 
Perjalanan dunia peragaan Nasha Aziz membawanya terbang ke Hong Kong hingga ke London. Dia mengambil keputusan untuk mencuba nasib ke negara orang atas sebab untuk perasaan ingin ambil tahu. “Selepas puas di Kuala Lumpur, saya terbang ke Hong Kong. Di sana saya bersama agensi Star, banyak juga kerja yang saya lakukan. Paling menarik ada satu tugasan itu saya terserempak dengan Irene dalam bas yang sama. Terus kami rapat, bukan ramai peragawati Malaysia di Hong Kong.” Puas hidupnya selama setahun di Hong Kong, Nasha membawa diri ke London untuk meluaskan imejnya sebagai peragawati antarabangsa. Namun dek kerana prinsip yang dipegang yakni tidak mahu mencemarkan nama serta maruah keluarga, maka banyak tugasan yang perlu dilepaskan.
 
“Saya selesa bekerja dengan Jimmy Choo kerana dia tahu prinsip saya dalam dunia peragaan. Tapi agensi di London kurang senang, maka mereka perlu lepaskan saya dari kontrak. Walaupun begitu masih ada juga pereka fesyen yang terus memanggil saya kerja di London, maka saya terbang ulang alik jika tugasannya menepati prinsip hidup saya.”
 
Antara kerja tempatan yang saya paling ingat tentang Nasha Aziz adalah ketika dia membuat kempen bersama Rizalman Ibrahim. “Niat utama adalah untuk give back kepada masyarakat Malaysia, jika bukan kita yang membantu pereka fesyen lokal siapa lagi yang mahu menolong? Hasil kerja bersama Rizalman itu adalah usaha kreativiti kami berdua. Dia menghasilkan rekaan yang cukup bagus dan saya menggayakannya untuk tatapan orang ramai. Kami jatuh hati apabila melihat hasilnya yang cukup unik buat tahun itu. Terus Rizalman hadiahkan satu persalinan kebaya yang saya gayakan buat kempennya.” Selain itu, Nasha juga tidak putus-putus mengatakan yang dia mahu membantu pereka fesyen lokal untuk lebih maju ke hadapan. Bilangnya, paling penting pereka fesyen itu mempunyai hasil kerja yang bagus barulah dia besar hati menggayakan busana mereka. “Nanti, selepas selesai persembahan teater Di Bawah Lindungan Kaabah, saya akan beraksi di hadapan lensa kamera buat koleksi Syaiful Baharim.”
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi April 2014
 
 

See also
The New Super Models: Vanizha, Nadira, Wil