GLAM Next Gen: Julia, Alicia, Rubini, & Mimi

GLAM Next Gen: Julia, Alicia, Rubini, & Mimi

GLAM membariskan empat wanita muda, jelita dan gigih berusaha demi menggapai cita-cita. Ikuti kisah GLAM Next Generation: Julia van der Drift, Rubini, Mimi Lana & Alicia Amin.

 
[envira-gallery id=”83240″]

JULIA VAN DER DRIFT Wanita kacukan Belanda dan Malaysia ini wajahnya seakan tidak puas ditatap. Julia, 25, bekerja sebagai Pembantu Perhubungan Awam di syarikat agensi perhubungan awam di Singapura dan baru-baru ini dia dipindahkan ke cawangan di Malaysia. “Seronoknya bekerja dalam bidang perhubungan awam ini kerana kita berpeluang berjumpa dengan ramai orang. Kebetulan saya jenis yang suka berbual dengan orang jadi kerja ini sangat sesuai dengan saya. Dan ada masa kami akan menganjurkan majlis fesyen dan itu membuatkan saya sangat teruja kerana saya sentiasa cintakan fesyen,” cerita Julia mengenai kerjayanya.

 

Julia mewarisi wajah Pan Asia daripada bapanya yang berasal daripada Belanda. Membesar di tanah air, Julia berpeluang untuk mengenali lebih dekat dengan keluarga bapanya di Holland sewaktu dia melanjutkan pengajian dalam bidang Fashion Business di Amsterdam Fashion Academy selama empat tahun. Menurut Julia dia beruntung kerana bisa belajar dua adat yang berbeza hasil daripada perkahwinan orang tuanya. Pun begitu dia akui yang dia lebih kepada budaya Melayu kerana makanannya. “Kampung saya di Perak, jadi setiap kali pulang ke kampung kami akan makan tempoyak ikan patin. Rasa masam dan pedas itu sungguh lazat! Dan di Perak juga keluarga saya ada dusun durian, jadi ia seakan menjadi kewajiban untuk menikmati durian dari dusun sendiri. Sewaktu di Amsterdam, setiap kali ke restoran saya akan membawa sambal dan cili padi untuk menambahkan rasa pada makanan mereka yang agak bland. I know, I am so Malay!”

 

Pada waktu lapang, Julia gemar melukis dan akan melakar di kanvas mengikut emosinya kala itu. Ia umpama terapi buat dirinya. Julia juga sangat obses dengan senaman pilates kerana baginya senaman tersebut dapat memberi ketenangan kepada jiwa. Julia juga mengklafikasikan dirinya sebagai seorang yang suka meneroka dunia terutama pulau-pulau yang menawarkan air yang jernih dan sebening kristal. Adik perempuannya Nadja, adalah temannya setiap kali dia berlibur. Bicara mengenai fesyen, wanita ini cukup teruja. “Tas tangan saya kebanyakan adalah daripada jenama Saint Laurent dan kini obsesi saya adalah Gucci dan off-white.”

 

Julia merancang untuk membuka studio pilates dan mengeluarkan helaian sukan berunsur fesyen. “Saya mahu helaian sukan saya boleh digayakan ke Pavilion dan masih dilihat sangat chic!”

See also
Skirt Mini Disanjung Semula!

 
[envira-gallery id=”83241″]

RUBINI Memegang status Miss Global International 2014, cukup membanggakan dirinya kerana pertandingan ini antara empat pertandingan ratu cantik terbesar dunia. Siapa sangka wanita berasal dari Kajang ini dan bukanlah daripada keluarga yang senang mampu menghirup udara kemasyuran hari ini. Wajahnya kini umpama goreng pisang panas di industri fesyen tempatan. “Saya mula bekerja sejak usia 15 lagi. Ketika itu saya menjual aiskrim sahaja! Dan hari ini saya boleh tersenyum bangga dengan pencapaian saya sebagai peragawati. Yang paling penting saya boleh kongsikan kesenangan saya bersama keluarga.”

 

Rubini berkongsi lagi kisah bagaimana dia boleh menyertai bidang glamor ini. “Dahulu dunia peragaan dan ratu cantik ini hanyalah suatu perkara yang saya intai dari jauh sahaja dan menganggap ianya tidak akan menyapa saya. Tetapi selepas tamat persekolahan, saya mengambil keputusan untuk mencuba.

 

Rubini akui 2017 merupakan tahun gelap buatnya kerana abang tercintanya meninggal dunia dengan mengambil nyawanya sendiri. Peristiwa tersebut itu memberi kesan mendalam dalam hidupnya dan keluarga. Rubini bersyukur kerana teman lelakinya yang juga peragawan, Shan Ratnam banyak memberi sokongan moral kepadanya. “Saya harus kuat untuk keluarga saya, mereka perlukan saya. Dan sayang saya pada abang tidak akan lenyap. Saya percaya sesuatu yang berlaku itu pasti ada hikmahnya, cuma saya adalah manusia biasa yang memerlukan masa untuk move on.”

 

Fesyen menjadi topik kegemaran Rubini. Bagi dirinya, fesyen adalah faktor utama bagaimana kita menunjukkan diri di mata dunia. “Saya memang suka berfesyen dalam helaian saya. Tetapi saya tidaklah gila kepada jenama mewah seperti kebanyakan wanita. Saya lebih kepada bagaimana mencipta look yang bisa memberi impak wow kepada orang. Jadi saya seronok bereksperimentasi dengan stail. Tidak kiralah jika kaca mata itu berharga RM5, kalau ia chic, saya kan membelinya! It’s all about how you style yourself. Anda harus ada ‘mata’ untuk mencipta look yang nampak mahal!”

 

Rubini amat mementingkan aspek kerohanian diri dan mengenggamnya sebagai falsafah hidup. “Bila bicara soal kerohanian, saya tekankan tentang kemuliaan hati. Memberi kepada yang lebih memerlukan menjadi salah satu kata kunci hidup saya. Walaupun tidak mampu memberi banyak, namun saya cukup bahagia jika dapat membantu orang yang lebih memerlukan. Kadang-kadang sewaktu saya berjalan dan nampak pengemis, saya akan belikan makanan. Saya biasanya akan berbual dengan mereka untuk tahu bagaimana mereka survive mengharungi hidup dalam keadaan daif. Ia membuatkan saya bersyukur dengan kehidupan saya dan mendorong saya untuk membantu mereka yang memerlukan. Saya pernah menyelamatkan anjing yang terkurung di rumah selama dua tahun, dan saya sangat bangga dengan usaha tersebut. Kini anjing itu di bawah jagaan teman baik saya,” kata Rubini mengakhiri perbualannya dengan berazam untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan pada tahun ini.

See also
GLAM Profil: #SokongLokal

 
[envira-gallery id=”83242″]

MIMI LANA Roziana binti Zainal Abidin, 23, atau lebih dikenali sebagai Mimi Lana mula mengorak langkah dalam dunia seni apabila menjadi salah seorang peserta Dewi Remaja 2014/2015. Dia mula menjadi buah mulut ramai apabila dikatakan memiliki wajah seiras pelakon Filipina, Angelica Panganiban. Lakonannya dalam drama Sein & Lana memegang watak utama telah membuktikan karismanya sebagai anak seni. Mimi akui dia sudah jatuh cinta dengan dunia lakonan dan mahu bereksperimen dengan pelbagai jenis watak jika diberi peluang.

 

Berhenti sekolah seawal usia 15, Mimi bekerja sebagai receptionist di hotel. Kemudian dia berhijrah ke Kuala Lumpur dan berkerja dalam bidang retail di Sungei Wang sebelum menyertai Dewi Remaja dan seterusnya bergelar pelakon.

 

Kegigihannya bekerja pada usia muda mengagumkan. Mimi bangga dia mampu mengubah nasibnya dan boleh membantu keluarga tercinta di kampung. “Saya bukan daripada keluarga senang, jadi apabila saya mendapat rezeki seperti ini, saya sangat bersyukur. Ya, sejak usia remaja lagi saya sudah bekerja. Jika saya mahukan sesuatu saya akan berkerja untuk mendapatkannya. Saya rasa seronok dan bangga apabila dapat berbelanja dengan duit hasil titik peluh sendiri tanpa perlu menyusahkan sesiapa.”

 

Apabila tidak terikat dengan jadual kerja, Mimi gemar ke pulau. Dan tahun ini dia ke Boracay, Filipina dan Bali, Indonesia. “Sejujurnya saya lebih suka di Boracay berbanding Bali yang sering digembar-gemburkan oleh orang ramai. Orang Filipina sangat ramah dan baik hati, saya jatuh cinta dengan budi pekerti mereka. Dan paling penting pulau di sana jauh berbeza dan bagi saya lebih cantik daripada Bali. Saya pasti akan ke Boracay lagi!”

 

Mimi Lana kini menjadi satu nama yang tidak asing dikalangan pencinta drama tempatan dengan memegang watak-watak utama. Ditanya apa perancangan dalam karier, Mimi menghela nafas panjang. “Saya mahu memperkukuhkan bakat lakonan saya. Saya suka melihat Fauziah Nawi, Elie Suriati dan Nabila Huda menghayati watak lakonan mereka. Cita-cita saya adalah untuk mengambil kelas Bahasa Inggeris dan berhijrah ke Kota London untuk belajar dengan lebih mendalam seni lakonan di sana,” ujarnya penuh harapan.

See also
Stefano Gabbana Mengkritik Pengarah Kreatif Dior?

 
[envira-gallery id=”83243″]

  ALICIA AMIN Siapa tidak kenal dengan peragawati yang menempa nama di lapangan fesyen tanah air pada usia muda ini? Alicia, 22, mula dikenali semenjak menjadi peserta program Asia’s Next Top Model (ANTM) musim kelima. Daripada situ, Alicia sudah mempunyai peminat yang setia mengikuti perkembangannya.

 

Alicia kini menjinakkan dirinya dalam dunia lakonan pula. Biarpun pada awal pembabitannya dia mendapat tindak balas negatif daripada netizen mengenai cara pemakaiannya, namun itu tidak sesekali melunturkan semangat wanita muda ini untuk berkecimpung dalam bidang lakonan. “Saya rasa itu adalah cyber bully. Kalau betul nak tegur private message saya lah. Bukan secara terbuka dan cuba mengaibkan saya di depan khalayak. Saya belajar dua dunia yang berbeza, di industri fesyen tiada siapa yang akan menghakimi anda, saya diterima, tetapi di dunia lakonan semuanya harus bertapis untuk disukai ramai. Tetapi saya memilih untuk tidak menjadi hipokrit. Jujur saya kata saya selesa menjadi pelakon, mungkin selepas ini saya akan memberi perhatian lebih sebagai pelakon berbanding peragawati. Insya Allah.”

 

Ditanya sama ada keluarganya terkesan dengan kontroversi mengenai dirinya, Alicia akui bapanya ada berbunyi sedikit, tetapi dia faham dengan kerjayanya dan pendiriannya. “Ayah saya bekerja sebagai Pakar Bedah, jadi kadang-kadang ada juga nurse di hospital tempat dia bekerja bertanya mengenai saya. Walaupun ada yang mengkritik tetapi ada juga yang memuji dengan keberanian saya untuk tidak menjadi hipokrit. Lama kelamaan ayah boleh menerima dan lali dengan masyarakat, kerana dia tahu niat saya di industri adalah untuk mencari rezeki.”

 

Gadis muda ini turut berjiwa besar kerana dia sangat prihatin dengan keadaan hutan di Malaysia. Pada 2018 ini Alicia akan bekerjasama dengan beberapa NGO untuk sama-sama memulih dan memulihara hutan negara. “Saya akan membabitkan diri dengan projek menanam semula pokok di hutan yang ditarah untuk pembalakan secara haram dan pertanian haram. Saya juga akan guna pengaruh saya sedikit sebanyak untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat mengenai hutan-hutan di Malaysia seperti Belom. Saya mahu masyarakat mengerti yang pemanasan global akan memudaratkan kita semua serta pentingnya memelihara hutan untuk generasi akan datang.”

 

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu Februari 2018