GLAM Life: Lyn

Personaliti

GLAM Life: Lyn

108

Teks & Penyelaras: Yusairi Fitri
Arahan Seni: Mahirah Nadzlim
Gambar: Soo Phye Photography
Solekan: Lavynia Tam menggunakan Dior
Dandanan: Roy / Top Passion Hair Salon

 

 

Berkali-kali saya cuba meyakinkan personaliti bertubuh tinggi lampai ini untuk merakamkan kediamannya, namun ada sahaja alasan menolak lantaran terlalu sibuk memenuhi jadual tugasan yang padat. Akhirnya  nasib bagaikan menyebelahi saya apabila Lyn memberikan persetujuan untuk GLAM Life merakamkan kediamannya. Tidak susah mencari kediamannya lantaran keunikan unit ini jika dibandingkan dengan rumah yang berhampiran. Berdiri di hadapan pagarnya, saya dapat merasa aura rumah ini dengan keunikan yang tersendiri. Rasa ingin tahu mengenai bagaimanakah isi rumah ini membuak-buak.

 

 

Sekali imbas, pasti ada yang menyangka kediaman ini digunakan untuk kegunaan komersil sahaja tetapi telahan itu jauh meleset. Kediaman ini ternyata didiami oleh Lyn dan pasangannya sejak tiga tahun lalu. Menurut Lyn, rekaan rumah ini berkonsepkan industrial, raw dan unfinished. Proses pengubahsuaian kediaman ini mengambil masa yang agak lama dan melibatkan beberapa siri ubah suai yang berterusan. Kala ditanya mengenai idea kediaman ini, Lyn memberitahu. “Apa yang anda lihat hari ini adalah biasan personaliti kami. Tidak gemar terikut-ikut dengan gaya konvensional, saya dan pasangan bersetuju untuk menzahirkan gaya hidup kami lewat konsep kediaman.

 

 

“Pasangan saya terlibat dengan bidang kreatif dan saya pula mencintai bidang seni pengacaraan dan peragaan. Ini bemakna dunia seni kreatif amat dekat di hati kami berdua. Kami gemarkan konsep yang terbuka namun privasi dan ruang yang bisa mengundang mood moden intimate”, katanya. Berkeluasan 2000 kaki persegi, unit teres ini meliputi dua aras iaitu aras bawah dan atas. Kesemua kamar beradu ditempatkan di tingkat atas, manakala aras bawah hanya menempatkan ruang tamu dan ruang dapur yang luas.

 

Kata Lyn, putih sebagai rona asas mendominasi kediaman ini yang berselang seli dengan kemasan simen mentah. Ruang dapur sengaja dibiarkan terbuka kerana konsep keterbukaan ini membolehkan ruang tampak lebih luas. Ruang dapur dihiasi dengan meja dan dan kaunter yang menggabungkan dapur kering dan basah serta ditempatkan kabinet kayu klasik bersama sistem audio moden sebagai penyeri pojok tangga. Pada sudut paling akhir pula, panel bersaiz mega putih melatari ruangan dapur yang direka khas untuk menyembunyikan bilik tandas dan ruangan penstoran. “Sememangnya kami mengejar matlamat untuk melihat rekaan yang kemas dan tidak terlalu menyakitkan mata. Kata kuncinya adalah bersih, simetri, kemas, dan tersusun.

 

 

Oleh itu, tidak ada sudut yang kompleks di dalam rumah ini. Semuanya direka tersusun dan ringkas,” jelasnya lagi. Ruang tamu menyapa kehadiran penghuni dan tetamu dengan nuansa klasik. Seleksi material kulit pada sofa, kerusi bertangan dan kabinet televisyen dalam nafas yang harmoni. Tidak kira untuk berehat atau bersantai, ruang ini tidak pernah mengecewakan. Palet coklat mendominasi namun ia ditimbal balik dengan kemasan mentah pada batu bata yang sengaja direka mencanak ke bumbung.

 

 

Kekal dengan adaptasi seni bina ‘hijau’, tiga pokok dibiarkan tumbuh subur dalam ruang yang luas dengan bertemankan siling kaca yang membolehkan cahaya telus masuk ke dalam. Baginya, ruang terbuka yang sarat limpahan cahaya natural ini membuatkan kediaman lebih segar dan berseri serta bersifat tipikal tropika. Kekal praktikal dan selesa, bumbung dan panel kaca boleh laras berfungsi sebagai pengawal haba dan mampu bertindak balas kepada perubahan dan peralihan cahaya semula jadi. Malahan, Lyn juga akui dia dan pasangannya dapat mengurangkan penggunaan bahan kimia yang banyak di dalam rumah seperti cat.

 

Menginjak ke aras atas, tiga bilik ditempatkan di ruangan ini. Diubahsuai menjadi ruang kamar yang cukup praktikal, ketiga-tiga bilik ini dihubungkan menerusi balkoni yang diubahsuai. Asasnya mudah, rekaan aras atas pastinya memaksimumkan prospek ruang. Ruang kamar utama kekal dengan konsep simen mentah, katil bersaiz queen beralas putih, serta kabinet built in pada dinding tersemat kemas mengunci segala perhiasan. Tidak gemar akan ruangan yang sesak, hanya sebuah sofa kulit ditempatkan di ruang kamar sebagai penyeri. Bilik mandi utama juga diberikan perhatian eksklusif dengan tab mandi simen mentah yang berjiran dengan dinding kaca, almari built in dan siling kaca telus cahaya.

 

Your email address will not be published. Required fields are marked *