GLAM Life: Azy Aziz - Glam Malaysia

GLAM Life: Azy Aziz

Teks: Yusairi Fitri

Arahan Seni: Afiq Khairudin 

Gambar: Soo Phye

Solekan & Dandanan: Ling Chong Menggunakan Shiseido.
 
azy-aziz-7
 
Berlabuh megah di Ampang, banglo tiga tingkat ini bagaikan berdansa dengan aura kontemporarinya. GLAM singgah ke teratak indah Azy Aziz.
 
Sebaik melewati di hadapan rumah agam ini, saya terpegun melihat susun atur dekorasinya yang rapi lengkap bersama arca yang dilekatkan pada sisi dinding. Kala menatapnya, hembusan kontemporari sarat meniup pada perincian pintu utama kediaman. Saat dedaun pintu diselak, empunya mahligai ini, Azy Aziz, 32, pantas menyapa lalu menjemput warga GLAM menjengah ke isi rumah. Hayunan kaki memasuki ruang kediaman disambut dengan aturan lukisan yang berbeza pada dinding. Terserlah gaya keseluruhan rekaan dalamannya yang kontemporari, gaya yang disuai padan tanpa terikat dengan satu elemen sahaja.
 
Di aras bawah, saya mengenal pasti yang pemiliknya lebih berselera santai. Daripada pemilihan perabot kulit, permaidani Persia, meja kopi berukiran klasik, kemasan lantai marmar, kertas dinding pastel, paduan serta siling yang dibiarkan polos berwarna putih menjadikan paduan warna ruang legar ini cukup nyaman. Kerusi kulit berwarna coklat pula menyerlahkan lagi karakter pada ruang. Bagi memberikan impak lebih menyenangkan, tirai putih dibiarkan beralun lembut sebagai pelengkap.
 
Desir Kontemporari

See also
Kenapa Kendall Jenner Tidak Berada Di Atas Pentas Victoria's Secret 2017?

Menginjak ke aras pertama, angin perubahan mula dirasai. Naik sahaja tangga, kami disambut dengan ruang yang lebih besar. Kata Azy, “Kediaman yang berkeluasan 3000 kaki persegi ini mengambil masa hampir enam bulan untuk diubahsuai. Ia di bahagikan kepada beberapa bahagian tertentu iaitu ruang legar, kamar di tingkat dua dan pejabat mini untuk suami saya. Kami mendapatkan bantuan pereka hiasan dalaman yang juga teman rapat iaitu Elda. Ruang aras satu dikhaskan untuk ruang rehat seisi keluarga. Susun atur perabot dan hiasan di sini lebih sarat berbanding aras bawah. Saya dan suami gemarkan suasana yang tenang dan selesa, maka pemilihan perabot serta paduan warna adalah amat penting.”
 
Dinding pada ruang tamu ini sengaja dicat putih untuk suasana yang lebih nyaman. Kemasan lantai berbatu marmar juga berwarna lembut. Syiling yang tinggi lengkap cermin lut sinar sungguh menarik. Pencahayaan natural ini cukup menyegarkan. Apabila cahaya matahari jatuh pada lantai, terlihat kesan bayang-bayang yang menarik di setiap sudut. Sudut rehat yang menempatkan sofa dan audiovisual pula diberikan kemasan kayu berona gelap yang menyaksikan aliran moden dan tradisional mewah bertaut. Mencuri pandangan, semestinya pada perhiasan arca dan hiasan dinding berupa kuda yang memecahkan palet warna lembut ruang ini. Kala di tanya mengenainya, Azy senang berkongsi. “Simbolik semangat kuda, adalah motivasi kuat, bersemangat, taat, berani, bertenaga dan membawa tuah dalam kehidupan. Saya dan suami gemarkan hobi yang sama. Ia lebih memudahkan kami mengumpul hiasan rumah. Jika tidak ke luar negara, kami akan mendapatkan di kedai perabot sekitar Lembah Klang.”
 
Mewahnya Marmar

See also
Ilham Gaya Hanneli Mustaparta

Bersebelahan dengan ruang rehat, tersergam meja bersaiz mega di tengah-tengah sudut ruang makan. Istimewanya ruang ini diilhamkan sendiri oleh Azy. Menurutnya, daripada pemilihan meja makan yang diperbuat daripada batu marmar yang dibeli sewaktu mengunjungi ekspo perabot sekitar Kuala Lumpur. Ilusi mewah berjaya diraih sempurna kala ia dipadukan bersama elemen tradisional menerusi kemasan lantai kayu bisa membangkitkan suasana romantis.
 
Memandangkan ruang ini agak terhad, Azy bijak memilih cermin sebagai pelengkap. Biasan cermin dari lantai sehingga ke syiling cukup mempesonakan. Impak yang lebih luas berjaya dicipta. Yang lebih praktikal, bersebelahannya ialah dapur kering yang dipisahkan menerusi pintu cermin rahsia yang boleh diluncurkan ke sisi. Pintu rahsia ini dibuka tatkala ingin membawa makanan dari dapur dan ke restroom dan ditutup selepas makanan serta minuman disediakan.
 
“Selain ruang tamu, ruang makan sentiasa menjadi sudut kegemaran saya. Sesekali ruang ini akan dipenuhi dengan kaum keluarga dan teman rapat yang bertandang. Kami akan meluangkan masa bersantai dan menikmati juadah bersama-sama.” Kala ditanya mengenai konsep kamarnya. “Kami selesa dengan dekorasi yang ringkas. Kata kuncinya ialah keselesaan. Untuk ruang tidur, kami menempat katil bersaiz king dan warna yang lembut. Susun atur perabot disuai padan mengikut cita rasa. Kamar beradu utama turut dilengkapi dengan walk-in wardrobe yang menempatkan pakaian, aksesori dan sudut solat.” Ujarnya lagi.
 
Sememangnya eksplorasi di kediaman isteri ahli perniagaan terkenal, Shahril Reza Shahreen  daripada Danau Lumayan Sdn Bhd ini berlalu pantas dan seakan tidak cukup masa untuk menikmati keselesaannya. Sebelum pulang, kami di jamu dengan juadah tengah hari yang memikat selera.
 
[soliloquy id=”53984″]

See also
Kediaman - Sentuhan Dekorasi Sarat Motif