Fenomena Warda Dan Meletop Terhadap Kerjaya Neelofa

Personaliti

Fenomena Warda Dan Meletop Terhadap Kerjaya Neelofa

95

Neelofa mengenakan gelang tangan serta kerongsang Swarovski. Dress dan jaket Dior.

“Saya mengakui Warda itu adalah satu ikon! Karakter yang diimaginasi oleh penulis novel agar semua wanita bisa menjadi seperti Warda. Peribadinya tegas, punya kuasa, berdikari, pandai bergaya dan mewakili wanita berhijab. Apabila muncul di kaca televisyen pula ia memberi inspirasi kepada yang menonton,” kongsi Neelofa tentang watak yang dilakonkan dalam drama arahan Michael Ang.

 

Gelang tangan dan cincin Swarovski dipadankan bersama baju kait Dior.

Sudah lama Neelofa memasang angan-angan untuk berlakon di bawah arahan Michael Ang dan apabila skrip Suri Hati Mr Pilot diberikan kepadanya dia terus bersetuju. “Pertama kali membawa karya ini saya sudah mula jatuh cinta pada watak Warda. Penulisan skrip drama ini cukup berbeza dengan apa yang ada di kaca televisyen sekarang. Ini  membuka minat saya untuk beraksi buat Michael Ang  kerana dia sendiri percaya yang karakter ini bersesuaian dengan saya serta  mampu mencipta ombak besar dalam dunia seni saya sebagai pelakon. Ada persamaan yang dapat dilihat apabila watak Warda ini saya lakonkan. Warda sebenarnya tidak lari jauh daripada Neelofa.” Neelofa juga mengakui yang hubungan cinta seketikanya bersama Fattah Amin adalah salah satu resepi kejayaan drama itu kerana masing-masing tidak punya perasaan yang terbatas ketika menjiwai watak masing-masing.” Sebelum ini cintanya bersama bekas kekasih terdahulu selama lima tahun dilihat terlalu mendatar. “Fattah muncul seperti memberi definisi baru dalam cinta. Seakan rebirth in love life! Dia melayan saya dengan sangat baik dan memberi perhatian yang saya inginkan. Kami adalah sahabat baik, musuh ketat dan ketika kami bersama, saya boleh menjadi diri sendiri. Tetapi cinta itu juga telah berakhir.”

 

Namun, yang pasti cinta yang paling utuh sekarang adalah dunia pengacaraan. Sebelum menjadi pengacara Meletop, dia terlebih dahulu mengemudi rancangan Nona. Pengalaman selama empat tahun menjadi wajah utama Nona membentuk Neelofa untuk menjadi pengacara berilmu. “Jiwa saya lebih dekat dengan Nona,  rancangan berinformasi buat wanita. Saya juga dapat rasakan yang jiwa saya sesuai untuk beraksi secara lebih formal. Namun, saya mahu mencuba sesuatu yang lain. Maka apabila rezeki dibuka untuk menjadi pengacara Meletop, saya cuba untuk memberi yang terbaik. Yang seronoknya rancangan Meletop bagaikan taman permainan buat saya untuk menjadi gila! Saya tidak ambil kisah tentang apa yang orang lain mahu katakan. Nona dan Meletop adalah medan juang saya sebagai pengacara.”

 

Lebih menarik adalah apabila Suri Hati Mr Pilot dan Meletop mencipta fenomena fesyen yang tersendiri. Setiap apa yang disarung olehnya baik tudung, ceraian baju mahupun aksesori akan habis terjual pada keesokan harinya. “Cerita paling gila pernah saya dengar adalah apabila ada peminat yang mahu membeli semua aksesori Swarovski yang saya pakai dalam drama Suri Hati Mr Pilot. Bayangkan gelang-gelang tersebut sold out! Ada juga fashion buyers yang menawarkan diri untuk membelikan aksesori Swarovski seperti yang saya gayakan di Meletop dan drama itu.” Dia bangga mampu membantu wanita di luar sana untuk lebih berani dalam perihal gaya sekaligus menolong pemasaran jenama Swarovski serta label fesyen lokal. Sambungnya lagi, drama Suri Hati Mr Pilot ini telah mencipta trend dikalangan pelakon filem untuk mencuba nasib berlakon drama pula. “Manakan tidak, kerana drama ini cukup popular. Ketika sesi bertemu peminat, saya tidak menyangka yang tempat itu mampu sesak kerana penonton setia drama ini akan memenuhi ruang sesi ramah mesra. Maka itu yang membuka mata pelakon filem untuk beraksi di drama televisyen.

Your email address will not be published. Required fields are marked *