Datin Raha Dato' Abu: "Saya adalah peminat besar aksesori wanita."

Datin Raha Dato’ Abu: “Saya adalah peminat besar aksesori wanita.”

Datin Raha Dato' Abu
 
Pengasas barang kemas Cinta Bijoux hadir ke studio dengan penuh bergaya. Santai dengan sepatu sukan kulit Chanel yang dipadankan dengan skinny jeans. Trench coat kelabu material lembut nyata membiaskan aura elegan pada keseluruhan looknya. “I love your trench coat!” tegur saya pada Datin Raha. “Oh darling, its only Zara! Begitulah tuturnya membuka bicara.
 
Berbual soal fesyen bersama bekas pelajar Fashion Merchandising di Kansas City, Amerika Syarikat ini nyata mengujakan. Maison Martin Margiela, Lanvin dan Valentino antara koleksi yang memenuhi ruang walk-in-closetnya. Adibusana daripada Rizalman Ibrahim sentiasa menambat hatinya untuk digayakan kala Lebaran atau memenuhi undangan majlis perkahwinan.
 
Sebelum mula beraksi di depan lensa, sempat Raha menyembur wangian mewah Amouage, katanya mahu beri aura vogue pada diri apabila posing nanti. Saja dia berseloroh pada saya.
Barangkali ramai yang tidak tahu, sebelum Raha berkecimpung dalam empayar barang kemas pada 1994 sebaik tamat pengajian di Amerika Syarikat, empunya diri pernah membuka butik fesyen. Istimewanya butik milik Raha ini menghimpunkan pelbagai jenama antarabangsa dari rumah fesyen tersohor dunia yang diterbangkan khas ke Malaysia. Antara jenama yang dibawa masuk adalah Byblos, Jean Paul Gaultier, Paul Smith dan banyak lagi.
 
Waktu itu Malaysia masih belum mempunyai butik jenama seperti itu. Jadi Raha menzahirkan rasa cintanya pada fesyen dengan membawa masuk helaian mewah dari jenama-jenama Antarabangsa yang masih belum bertapak di negara kita. “Saya mahu berkongsi cita rasa fesyen saya pada rakyat Malaysia. Tidak perlu terbang jauh selama 12 jam hanya mahu membeli jenama yang masih tiada lagi di pasaran Malaysia waktu itu. Sejujurnya saya masih muda waktu itu, tetapi jiwa ini meronta-ronta mahu menjalankan perniagaan yang berteraskan fesyen. Alhamdulillah keluarga saya memberi sokongan padu pada minat saya. I named my boutique Matahari back then.”
 
Seiring dengan usianya yang meningkat matang, Raha mula membabitkan dirinya dalam perniagaan yang lebih eksklusif iaitu barang kemas. “Saya adalah peminat besar aksesori wanita, saya kira ia pelengkap gaya pada seseorang wanita dan memberi personaliti pada diri. Daripada situlah saya beranikan diri menghasilkan koleksi barangan kemas saya sendiri bersama rakan kongsi saya yang juga kakak saya, Zaharah Wouters.
 
Memandangkan kakak saya menetap di bumi Kuwait, segala proses pembuatan barang kemas Cinta Bijoux dijalankan di sana. Kami punya artisan khas dari Kuwait khusus untuk rekaan barangan kemas kami. Ia satu perniagaan yang dikira sangat eksklusif dan dijalankan secara tertutup. Cinta Bijoux menawarkan batu permata yang eksklusif, unik dan jarang dijumpai. Syarikat kami banyak berkhidmat dengan kerabat diRaja dan orang kenamaan dari seluruh pelosok dunia. Pejam celik sudah enam tahun saya menjalankan perniagaan mewah lagi eksklusif ini. Awalnya saya hanya berniaga dengan kenalan sahaja tetapi kini kami lebarkan sayap perniagaan kepada semua.
 
Justeru, sesiapa berminat, anda bisa pergi ke akaun instagram kami, @cintabijoux untuk melihat koleksi yang kami tawarkan pada orang ramai.” Hebat, wanita ini berdiri gah dalam mengungguli empayarnya. Saya sendiri jadi rambang mata tatkala melihat koleksi Cinta Bijoux di pergelangan tangan dan leher Raha. Ia tidak tampak sarat. Rekaannya minimalis serta klasik.
 
“Konsep barang kemas Cantik Bijoux ialah bercirikan keIslaman. Koleksi Kalimah boleh ditempah khas berinpirasikan abjad jawi yang mengukir nama ataupun kalimah suci Allah SWT. Konsep ini menebarkan ciri Islam dalam budaya dan adat resam kita. Ekspresi barangan kemas ini cukup jelas diterjemahkan daripada hasil rekaannya. Nilai sentimental dan ukirannya memercikkan impak eksklusif pada si pemakai. Selain itu kami juga cedok budaya Timur Tengah yang terkenal dengan barang kemas ‘Evil Eye’ dan ‘Hand of Fatima’ yang wujud sejak berkurun-kurun lamanya. Datin Zizie Izette, Zahidah Rafik, Datin Seri Sharifah Haslinda, Maria Farida adalah antara selebriti tanah air yang menggunakan khidmat custom-made Cinta Bijoux untuk koleksi barang kemas yang punya sentuhan peribadi.
 
Raha akui, dunia sosialnya tidaklah serancak dahulu. Keluarga kini menjadi keutamaan wanita ini. Ini kerana dia sedar usianya semakin hari semakin meningkat. Jadi betapa bersyukurnya hati diberi nikmat yang maha Esa untuk meluangkan waktu yang masih ada ini bersama orang-orang tersayang. “Kalau dulu saya cukup senang menghabiskan waktu bersama teman-teman. Tetapi hari ini jadual saya agak padat dengan temujanji bersama keluarga. Ada masa saya habiskan masa sehari suntuk bersama ibu, ada hari hanya saya dan anak-anak saya, Anwar, 18, Omar, 15, dan Julia, 3. Selalunya kami akan keluar menonton wayang dan makan malam bersama. Oh ya! Not to forget my date night with my beloved hubby. At times we just plan a family vacation with whole of our family. Jujurnya girls day out bersama teman baik masih ada dalam kamu hidup saya. Tidak salahkan jumpa sekali sekala minum kopi dan bertanya khabar? We women always have things to share and tips to give out! ujarnya sambil ketawa sekaligus mengakhiri perbualan kami hari itu.
 
Teks & Penyelaras: Azza Farhana
Penata Gaya: Aizat Aidid
Arahan Seni: Merissa Emilda
Gambar: Eric Chow/Blink Studio
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi Oktober 2015
 
 

See also
Acara Buka Puasa Eksklusif Datuk Sri Dr. Farah Khan di Mama San Kuala Lumpur