Personaliti: Dasha Logan

Dasha Logan Anak Gadis Vokalis Alleycats

Dasha Logan
 
Amy Winehouse diangkat sebagai aspirasi kerana kejujurannya dalam berkarya juga kerana lunak merdu suaranya. Anak kepada vokalis Alleycats, mendiang Loganathan Arumugam ini terus mengapai cita-cita tanpa menoleh kanan dan kiri. Sering kali ke kota London untuk mencari identiti dan olahan muzik yang membawa ritma indah Jazz, Dasha Logan mula menulis lagu seawal 10 tahun biarpun hanya lagu kanak-kanak. “I was waiting for my mother to pick me up from school and simply wrote it. Di sekolah saya tidak punya ramai kenalan dan lebih suka menyendiri. Menyanyi membantu saya untuk tidak rasa sepi atau keseorangan langsung sering menyanyi kepada diri sendiri,” katanya sambil ketawa.
 
Anak jati Pulau Mutiara ini berjaya mencipta nama di London dengan single pertamanya yang berjaya menduduki carta pertama UK Soul Chart. “Ketika saya berumur 14 tahun saya mengambil keputusan untuk berhenti dari menyanyi. Boleh dikatakan sebelum itu saya aktif menyanyi untuk acara-acara keramaian di sekolah. Dalam dua, tiga tahun selepas itu, Hitz FM datang ke Pulau Pinang. My mother secretly signed me up to join a competition and so they called me. Saya memenangi pertandingan nyanyian itu dan dari situ keyakinan saya untuk menyanyi kembali. Momen itu adalah paling penting kerana kalau bukan kerana pertandingan itu, mungkin saya tiada di sini, hari ini. It really give a boost to both self-esteem and self confidence. Menembusi carta UK Soul adalah antara pencapaian terbaik saya. Tidak pernah sekali pun saya bermimpi untuk berada di tangga pertama!”
 
“Di rumah muzik yang sering dimainkan adalah Rock ‘n’ Roll. Tetapi Jazz menjadi pilihan kerana saya menyanyikan lagu Jazz sewaktu pertama kali mendapat undangan nyanyian. Well, technically it was my first job. Dari situ saya mula jatuh cinta dengan ritmanya yang indah dan kemudian berubah bila saya mengikuti kelas vokal Opera selama enam bulan. Saya diajar untuk menjaga pernafasan dan tentunya menyanyikan lagu Opera dengan teknik menyanyi yang betul. Tetapi bila berpindah ke Kuala Lumpur saya banyak bereksperimen dan muzik saya tidak lari dari Jazz dan Soul.”
 
“Perencanaan saya di London adalah hanya untuk bercuti pada mulanya. Tapi berubah bila saya membuat keputusan untuk menyanyi secara suka-suka dan mula mencari tempat-tempat yang membenarkan untuk saya menyanyi. So I just went to a few places and tried to sing, but a lot of places won’t let me sing because they don’t know me. Kemudian ada satu bar Jazz yang membenarkan saya menyanyi di mana dari situ saya mula mengenali pemuzik di sana dan mereka semuanya baik-baik belaka.”
 
“Di situ juga adalah detik pertemuan saya dengan pemain gitar Amy Winehouse, Robin Banerjee dan berasa betapa diri ini sungguh bertuah kerana berkesempatan untuk membuat rekod bersamanya. Saya masih menulis lirik dan melodi saya sendiri, buat masa kini saya bekerja dengan penerbit di London dengan memberikan saya melodi manakala liriknya saya sendiri yang tulis.” katanya menutup perbualan.
 
Teks & Penyelaras: Zuhairie Sahrom dan Amira Azman
Penata gaya: Aizat Aidid
Arahan Seni: Ashura Hakim
Gambar:Eric Chow/Blink Studio
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi April 2015
 
 

See also
Ikon Fesyen: Sienna Miller