Bicara Kavita Sidhu Tentang Dunia Peragaan Malaysia

Bicara Kavita Sidhu Tentang Dunia Peragaan Malaysia

Teks: Aizat Aidid
Gambar: Bustamam Mokhtar White Studio
Konsep & Penata Gaya: Cheah Wei Chun clanhouseonline.com
 
Kavita Sidhu
 
Siapa kata tugasan sebagai peragawati di Malaysia tidak memberi ganjaran yang lumayan? Mereka mungkin tidak pernah ambil tahu kisah bagaimana seorang atlit lompat pagar daripada sekolah Assunta ini mendapat royalti yang boleh tahan hebatnya.
 
“Ketika itu kami di sekolah dan Milo sedang melakukan sesi uji bakat buat iklan terbaru mereka. Kerana saya mempunyai latar belakang dunia sukan, maka terus mahu mencuba nasib dan tidak percaya mereka benar-benar mahukan saya dalam iklan itu. Royalti pertama saya adalah RM10,000!” Iklan tersebut diarahkan oleh Joe Hafsham manakala Faridah Merican pula bertindak sebagai produser. Lantas dia tidak berpusing belakang dan terus maju dalam dunia peragaan. Bicara Kavita tentang dunia peragaan di Malaysia cukup jelas yang dia merasakan orang ramai tidak menganggap ini adalah industri yang serius.
 
“Semuanya dibuat sambil lewa dan saya kurang senang dengan hasil kerja yang tidak menitik beratkan perihal kreativiti. Paling kurang senang kononnya kerja sebagai peragawati ini tidak memerlukan skil yang hebat cukup sekadar punya ketinggian dan kecantikan semata. Tapi itu semua bohong belaka. Cerita di sebalik birai cukup membuatkan kami peragawati yang mula pada usia muda untuk tampil yakin. Tapi perlulah ingat yang kerjaya ini kurang memberikan masa hadapan yang cerah. Ia cuma menguntungkan buat sesetengah peragawati yang benar-benar memiliki segala-galanya,” kongsi Kavita jujur tentang pekerjaan sebagai peragawati. Sambungnya lagi seorang peragawati itu perlu tahu bersifat sopan, mempunyai sifat respek kepada tugasan mereka dan sentiasa menjaga keterampilan apabila hadir ke sesi bersama klien.
 
“Selain itu, mereka mesti jujur dengan diri sendiri dan mempunyai kelompok yang sentiasa berfikiran positif. Saya lihat sekarang tidak ada pihak memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada peragawati muda yang mahu menempa nama ke pentas antarabangsa. Kita perlu keluar dan mencari golongan muda yang mempunyai ketinggian, kecantikan dan keyakinan yang tinggi dalam diri mereka dan hantar mereka ke luar negara.”
 
Kavita Sidhu2
 
Kavita sempat menamakan sebilangan wanita penting dalam hidupnya sehingga dia berada di atas pentas yang selesa sebagai peragawati utama era 90-an. “Pertama sekali adalah Cilla Foong, dia adalah mentor sejak saya berusia 14 tahun lagi dan sehingga kini saya melihat dia sebagai idola. Saya tidak lupa jasa ibu yang sentiasa menyokong pilihan saya untuk berada dalam dunia peragaan dan dia jugalah yang menjadi peneman setia saya apabila ke Rusia buat pertandingan Miss Charm International. Bernie Chua, Hannah Toolseram, Tengku Azura, Soraya Dean dan Anitha Das adalah sahabat baik dan kami terbang ke seluruh dunia termasuklah paris untuk pertunjukan fesyen. Akhir sekali adalah ketika berusia 18 tahun dan hidup sebagai peragawati di Paris seorang diri tanpa sahabat dan keluarga, agen saya yang menjaga saya sebaiknya.”
 
Selepas berbelas tahun dalam dunia peragaan dia mula mengambil keputusan untuk mencuba nasib pula dalam industri perfileman. Mengapa berubah angin? “Harga menjadi seorang wanita adalah lebih daripada sekadar menjadi bahan pandangan orang. Sejak hari pertama bergelar peragawati lagi saya sudah membuat keputusan untuk tidak lama dalam dunia ini. Maka saya mencabar diri untuk berlakon dan terus mengambil keputusan terbang ke dunia filem.”
 
Banyak juga filemnya yang mendapat reaksi positif peminat dunia filem Malaysia dan antara hasil kerja Kavita adalah melalui filem Mimpi Moon, Layar Lara dan Puntianak Harum Sundal Malam. Dia tidak percaya untuk meninggalkan legasi yang besar sehingga dipuja-puja oleh masyarakat. Bagi Kavita, cukuplah sekadar namanya meninggalkan kesan kepada hati kawan rapatnya. “Biar cerita yang baik sahaja menjadi bualan orang ramai. Sebenarnya tidak penting sangat apa yang saya lakukan kerana semua ini adalah minat saya. saya mahu apa yang ditinggalkan itu mampu merubah fikiran masyarakat,”
 
 

See also
Beauty Icons