“Bergelar model sememangnya menjadi impian saya" - Azurina Nyrina

“Bergelar model sememangnya menjadi impian saya” – Azurina Nyrina

GLAM1656
 
Azurina Nyrina, 43, hadir di studio dengan santai sekali. Dia mengenakan dress hitam boho. Sepatu baji lima inci melengkapkan gaya supermodelnya. Namanya juga tidak asing bagi warga media cetak dengan kelebihannya yang mampu memberi ‘pose’ yang baik untuk sesuatu sesi penggambaran. Orangnya bersahaja dan mudah didekati. Thuy, jurusolek Dior International pro team yang diterbangkan khas dari Amerika Syarikat memuji tekstur kulit Azurina yang mulus dan warna kulit Asianya, sawo matang. “Tanned girls always the sexy ones!” Kata Thuy kala merias wajah Azurina.
 
Saya menunggu Azura disolek, saya duduk bersembang dengan Pengarah Urusan Anyrina Enterprise ini. “Tiada apa pun yang terbaru mengenai saya, just going through a wildlife crisis! hahaha!” Guraunya memulakan bicara. “Hari saya bermula seawal jam 6.15 pagi. Selesai menyediakan sarapan, I will send my boys, Tunku Izudin bin Tunku Shaharuddin, 11, dan Tunku Radin bin Tunku Shaharuddin, 13, ke sekolah. Bergelar event planner, saya teruskan hari dengan menepati temu janji bersama klien dan merancang untuk majlis yang akan dikelolakan seterusnya,” ujarnya penuh ekspresi.
 
Azurina mula menapak dalam karier peragaan apabila empunya diri dinobatkan sebagai Miss Selangor/Asia Pasifik pada 1992. Daripada situ Azurina terus membina nama sebagai peragawati. Akuinya, sejak dulu lagi Kate Moss menjadi idolanya terutama daripada segi gayanya yang santai dalam berfesyen. “Bergelar model sememangnya menjadi impian saya. Pada usia yang masih hijau, saya di tawarkan untuk ke Vancouver, Kanada. Perasaan teruja terus menyelubungi dirinya waktu itu. MAS dan Tourism Malaysia memilih saya menjadi salah satu model untuk memperkenalkan adat dan budaya di Malaysia di sana. Betapa mereka mengagumi kecantikan orang kita dengan budaya masyarakat majmuk. Alhamdulillah selepas itu saya terima kerja dari satu negara ke satu negara. Isn’t it fun to work in the fashion line in that you get to travel all over the world?” ujarnya diikuti dengan gelak ketawa.
 
Walau usia sudah mencecah 40-an tiada istilah dalam dirinya untuk jadi macam makcik! Berperwatakan sporty, dia selesa dengan helaian Stella McCartney yang dipadankan bersama sneakers. Kala menghadiri majlis, persalinan mewah Dior dan Céline acap kali menjadi pilihannya untuk tampil anggun bergaya. Daripada kanta mata saya dia masih cantik, sama seperti dulu. Azurina tidak keberatan untuk berkongsi rahsia kecantikannya, malah dia amat teruja mengulas mengenai topik ini. “Cakap benar saja, dulu saya amat suka memasak tetapi kini saya sudah letak jawatan! Ini semua gara-gara mahu menjaga badan. Anyway my new diet that involves eating clean foods does not require lots of cooking! Menu tetap sarapan pagi adalah yogurt kosong dicampur bersama muesli, berries segar dan almond. For lunch I will have red or white meat or fish. Untuk makan malam cukup sekadar salad!” Apabila usia semakin menginjak, jaga pemakanan sahaja tidak memadai untuk kekal langsing. Azurina menjadikan senaman sebagai rutinnya setiap hari. “Setiap petang Isnin dan Khamis saya ada janji temu bersama teman-teman di gelanggang badminton. Selasa dan Khamis pagi saya amalkan latihan di kelas bodypump di Fitnessfirst. Rabu dan Sabtu petang saya akan berlari sejauh lapan ke 12 kilometer.”
 
Menurut Azurina, acara hujung minggu pastinya diperuntukkan untuk dia dan suami, Tunku Shaharuddin Tunku Mahmud, 47. Mereka akan bawa anak-anak berkunjung ke RSGC (Royal Selangor Golf Club). “Di sana tidaklah saya asyik bermain golf. Saya dan suami akan habiskan masa bersama anak-anak di kolam renang, sesekali kami akan menunggang basikal sambil menikmati kehijauan alam. Dua minggu sekali saya akan manjakan diri buat rawatan reflexology dan paling penting sebulan sekali saya akan ke spa. Selalunya saya akan memilih Clarins atau Vila Manja. Seronok dan ralit apabila jemari pakar mengurut dan membelai diri.”
 
Peragawati ini juga sering bercuti di luar negara bersama keluarga. Setiap tahun pada musim sejuk mereka akan bercuti untuk aktiviti meluncur salji. Percutian terindah buatnya, adalah di Provence, Perancis. Mengembara bersama teman-teman baik adalah impiannya yang menjadi nyata. “Terlalu banyak momen manis kala berlibur di sana. Penduduk di sana penuh santun dan sangat santai. Lavender fields was breathtaking. Trip kami penuh dengan adventure dan kami amat seronok meneroka keindahan semulajadi. Next destination on my list would be Germany. Kami mahu menjelajah bumi Jerman di Berlin, Munich, Frankfurt, Hamburg, dan tentunya Lubeck untuk menikmati keju marzipan!”
 
Teks & Penyelaras AZZA FARHANA
Penata Gaya YANA BAHARUDIN
Pembantu Penyelaras AMIRA AZMAN
Arahan Seni ZULKIFLI SULAIMAN
Gambar CHUAN LOOI, YIPIEYAYA STUDIO
Solekan THUY PHAM DARIPADA DIOR PROTEAM AMERIKA SYARIKAT
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi Disember 2015
 
 

See also
Teman Lelaki Terbaru Mischa Barton Seorang Pewaris Harta $574 Juta