Solusi Terbaik Menguruskan Badan

Solusi Terbaik Menguruskan Badan

Oleh YUSAIRI FITRI
 

ZahnitaGAMBAR ERIC CHOW/BLINK

 
Setiap wanita pasti mahu dilihat langsing dan seksi dihadapan bakal suami. Selami solusi terbaik menguruskan badan, sebulan menjelang hari bahagia.
 
SUSUN STRATEGI DIET
Rejim diet yang ketat bukan ukuran jalan keluar untuk mendapatkan tubuh yang ramping. Paling penting adalah memberikan perhatian kepada pola pemakanan dan membezakan seleksi menu yang memberikan nutrisi kepada badan. Fokus semestinya diberikan pada bukan hanya makanan yang mengenyangkan tetapi memberikan gizi. Ikuti langkah ini sebelum anda memulakan diet ekstrem.
 
Karbohidrat dalam menu
Diet yang sihat bukanlah diet yang menghalang fungsi nutrisi seperti karbohidrat ke dalam badan. Ini kerana kekurangan zat ini akan mengakibatkan konsentrasi minda menjadi lemah. ­
 
Makan tiga kali sehari
Usah melambatkan waktu makan! Patuh dengan masa makan dan sebaiknya tambah inti pati makanan yang berserat dan buah-buahan dalam menu.
 
Amalan berpuasa
Berpuasa sentiasa menjadi amalan terbaik buat bakal pengantin. Dengan kaedah ini, anda sebenarnya memberikan peluang kepada sistem pencernaan untuk melakukan aktiviti detoksifikasi secara menyeluruh yang akan merangsang sel-sel baru untuk menjadikan tubuh lebih segar dan wajah tampak berseri. Ingat, pengambilan makanan yang tinggi zat sewaktu berbuka amat digalakkan.
 
Kawal pengambilan lemak, makanan berkalori tinggi dan manisan
Makanan yang mempunyai lemak, berkalori tinggi serta manis mempunyai efek yang tidak baik untuk penampilan. Oleh itu, sebaiknya ambil makanan yang seimbang, berzat yang mampu memberikan anda tenaga.
 
Kurangkan lemak tubuh
Dalam mengejar diet ekstrem kadangkala anda keliru sama ada mengurangkan lemak atau otot badan. Cadangan GLAM dapatkan bantuan pakar kecergasan untuk memantau tahap kesihatan anda. Untuk perancangan jangka panjang, penurunan lemak memungkinkan proses kehamilan yang lebih cepat.
 
Tetapkan perancangan
Di saat anda nekad untuk berdiet, perkara utama adalah komited dengan perancangan yang telah digariskan. Tempoh yang singkat dan pelbagai aktiviti sering menjadi faktor utama perancangan diet gagal. Jika anda tidak ada masa untuk menyediakan makanan yang berkhasiat, dapatkan nasihat doktor dan pertimbangkan pengambilan suplemen tambahan sebagai alternatif.
 
KOMITMEN BERSENAM
Sekadar merancang untuk mendapatkan seri pengantin dengan berdiet tanpa bersenam tidak cukup. Apa sahaja diet yang dirancang perlu didukung bersama rutin senaman. Selain membantu menurunkan berat badan, aktiviti senaman dapat mengurangkan stres, memperbaiki mood dan meningkatkan kualiti tidur. Faktor kesibukan masa dan jadual perancangan yang padat adalah musuh utama anda kala mengikuti pelan diet. Cadangan GLAM, ikuti tiga senaman yang paling asas untuk memudahkan rejim diet anda.
 
Berlari
Aktiviti berlari mungkin kelihatan mudah bagi anda tetapi usah memandang enteng dengan impaknya. Kuasai teknik HIIT (High Intensity Interval Training) iaitu kaedah senaman yang menggabungkan berlari dan berjalan secara gantian yang mampu meningkatkan metabolisme serta menjaga kalori yang dibakar. Lakukan teknik HIIT selama 10 sehingga 20 minit sebanyak dua atau tiga kali seminggu.
 
Impak: Teknik HIIT baik untuk menguatkan otot kaki dan mengurangkan lemak berlebihan pada bahagian perut dan menjaga tubuh supaya kekal langsing.
 
Fitness
Jika anda khuatir dengan komitmen anda untuk melakukan rutin kecergasan bersendirian, usah bimbang. Upah jurulatih kecergasan peribadi untuk membantu anda. Kongsi matlamat dan dapatkan pendapat pakar jenis-jenis teknik senaman yang sesuai mengikut tahap kecergasan dan kesihatan anda. Fokus kepada rutin senaman yang meliputi pengambilan nutrisi, kekuatan, core, keseimbangan dan ketangkasan. Analisis di peringkat awal penting untuk memastikan anda mendapat method yang betul.
 
Impak: Method fitness yang betul akan memudahkan anda mencapai sasaran yang tepat. Selain menjadikan tubuh anda lebih cergas ia turut meningkatkan metabolisme badan.
 
Variasi aerobik
Latihan berdansa, melompat tali atau berjalan cepat dapat membantu anda mengurangkan berat badan. Selain itu, senaman pembentukan otot juga amat bermanfaat kerana ia membakar kalori dan menyingkirkan lemak degil. Pastikan anda melakukan senaman yang memberikan tumpuan pada bahagian perut dan otot pelvis. Tetapi ingat, jangan terlalu obses. Dengar isyarat badan anda, sekiranya mengalami sebarang kesakitan kala melakukan senaman, perkara terbaik adalah rujuk kepada pakar kecergasan.
 
Impak: Variasi pergerakan mampu memberikan impak pada kesemua anggota badan untuk bekerja dan membakar kalori. Selain membuatkan anda berpeluh, ia juga meningkatkan stamina dan sinergi dalaman yang menzahirkan luaran yang sempurna.
 
 

See also
Perkenalan Perdana Hôtel des Horlogers