Kenali Soraya Ann, Anak Gadis Aishah Sinclair

Kenali Soraya Ann, Anak Gadis Aishah Sinclair

GlamJunior15363
 
Teks: Yusairi Fitri 
Penyelaras & Penata Gaya: Yana Baharudin
Arahan Seni: Zulkifli Sulaiman
Solekan & Dandanan: Emmy Agung
Gambar: Eric Chow/Blink Studio
 
Jam sembilan pagi krew Glam Junior tiba di perkarangan parkir Farm In The City dengan perasaan teruja. Kami beruntung kerana hasrat untuk menjayakan sesi penggambaran di lokasi mencabar ini mendapat kerjasama warga kerja Farm In City. Krew Glam Junior bergegas menyediakan kelengkapan penggambaran sambil ditemani nyanyian merdu burung yang menghuni mini zoo ini. Kala leka menyusun persalinan penghias wajah kali ini, suara halus menyapa lembut. “Ohh… primadona cilik sudah tiba,” kata saya di dalam hati. Wajah mulusnya bersinar, adrenalinanya begitu positif apabila diajak untuk berdandan. Walau pun sedikit malu pada permulaan, masih mekar terukir senyuman di bibirnya. Saat berus pemerah pipi menyentuh wajah, Soraya, yang sudah berusia lima tahun pantas membuka bicara, menyatakan hasratnya untuk melihat kuda padi. Kala ditanya kenapa? Dia menjawab “they’re so cute and I love poney.”
 
GEMAR MENEROKA
Sesi penggambaran berlalu pantas. Bermula dari kandang kuda padi, beralih ke sangkar arnab sehinggalah ke pinggir kolam, Soraya cukup bertenaga. Tidak ada aksi kekok dizahirkan kala lensa sibuk menangkap segala aksi manjanya. Krew kagum melihat aksinya yang tidak takut dengan haiwan termasuklah cicak bersaiz besar. Terpegun dengan caranya berinteraksi dan obsesinya, Aishah Sinclair memberitahu bahawa anaknya benar-benar sukakan habitat liar. “Sejak kecil Soraya tidak pernah takut untuk bermain di laman rumah, malah sering kali dibiarkan berjalan di atas tanah dan rumput tanpa memakai kasut. Ia juga bagus untuk perkembangan sistem imunnya.”
 
Sejak bersekolah di play school berdekatan rumahnya, Soraya telah didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan pendidikan mengenai alam sekitar. Kata Aishah lagi, “Adalah menjadi perkara biasa melihatnya pulang dari sekolah dengan kuku berdaki tanah dan pakaian yang sedikit comot kerana saya tahu dia belajar perkara baru di sekolah. Tidak habis di situ, jika punya kesempatan, Soraya sering mengajak saya dan adiknya ke taman untuk bermain. Sikap aktifnya membuatkannya sentiasa gembira.”
 
Walaupun baru berusia lima tahun, setiap minggu Aishah sering membawanya mengikuti program bersama NGO (organisasi bukan kerajaan) untuk melakukan aktiviti amal bercucuk tanam di taman terpilih sekitar Lembah Klang. “Aktiviti yang sentiasa dinantikan Soraya! Kala kami sibuk menanam anak-anak pokok Soraya akan meneroka kawasan sekitar. Usahkan tanah yang dipegangnya, cacing dan kodok pun dia pegang. Saya sering diusiknya dengan haiwan yang menggelikan. Sikapnya nyata berlawanan dengan saya. Itulah yang membuatkan kami saling melengkapi.” Ujar Aishah sambil ketawa kecil.
 
SorayaAnn
 
PERSONALITI MENARIK
Kala diajukan pertanyaan mengenai personaliti si manis ini, Aishah lantas memberitahu Soraya membesar dengan penuh kasih sayang. “Dia tidak pernah sunyi untuk belajar dan di saat dia mendapat khabar bahawa dia bakal menjadi kakak dia cukup tenang. Sebagai ibu, saya melihat itu satu sikap yang positif. Dia suka bergaul dengan siapa sahaja yang ditemui. Pernah suatu ketika, kami sekeluarga pergi bercuti di Club Med Cherating, Soraya mudah bergaul dan selama enam hari di sana, dia sempat berkenalan dengan kanak-kanak berbangsa Perancis. Walaupun tidak memahami bahasa di antara satu sama lain, Soraya tetap bersikap ramah dan boleh bermain bersama. Selain itu, apabila bertemu teman seusianya dari China, Soraya tidak menghadapi masalah kerana dia tahu bertutur sedikit dalam berbahasa Mandarin. Malah dengan adiknya, Aina Elisabeth, yang kini berusia setahun lebih juga sangat akrab. Adiknya ada kala lebih kasar dan sering mengusiknya, tetapi Soraya bersikap matang, sering mengalah dan membiarkan adiknya berkongsi apa yang dikerjakan. They adore each other.”
 
Kata Aishah lagi Soraya juga rajin menolongnya di rumah. “Tidak ada kerja yang lebih membahagiakannya kala masa lapang digunakan sepenuhnya melakukan kerja di rumah. Ada sahaja yang terlintas dalam kepalanya. Jika saya di dapur dan sibuk memasak, Soraya ringan menawarkan pertolongan seperti membersihkan meja, menyapu lantai. Selain itu, saya juga menyediakan peralatan seperti pisau mainan untuknya memotong sayur-sayuran.” Mengenai pemakanannya? “Soraya tidak cerewet mengenai makanan tetapi saya dan suami lebih terarah untuk mendidiknya menikmati makanan yang sihat seperti makanan organik terutama sekali makanan yang kurang bergula, bergaram dan segar. Kami juga suka membuat kek bersama-sama.
 
Sebagai seorang isteri, ibu dan selebriti, Aishah sentiasa sibuk dengan tugasan harian dan menguruskan hal kerjayanya. “Bukan mudah untuk mengimbangi semua ini. Ia menuntut tenaga dan pengorbanan yang tinggi. Saya percaya setiap ibu bapa perlu kreatif dalam memikirkan cara untuk meluangkan masa bersama anak dalam kaedah yang paling berkualiti walaupun ia singkat. Apa yang saya dan suami lakukan ialah, kami sentiasa aktif dengan mencuri masa bersama mereka. Atur jadual yang membolehkan semua berseronok. Jika setiap wanita bijak mengatur masa untuk ke spa, demi mencantikkan diri begitu juga anak-anak, mereka kian membesar dan apa yang mereka mahukan adalah bermain dan belajar, jika bukan dengan ibu bapa, siapa lagi bukan. Lebih-lebih lagi dengan persekitaran sekarang yang sangat bergantung pada teknologi”.
 
Bagi Aishah peranti seperti telefon pintar dan iPad meragut rasa kebergantungan pada satu sama lain dalam kekeluargaan. Dia menyeru ibu bapa untuk sentiasa mengawasi aktiviti anak-anak. “Saya akan memantau dengan mendisiplinkan aktivitinya menggunakan peranti dan menonton televisyen. Antara siaran kegemarannya ialah Disney Junior dan beberapa lagi rancangan yang bersifat pendidikan. Berbanding siaran televisyen yang bersifat continuous, saya mengajarnya menonton filem animasi yang hanya mengambil masa sejam setengah. Memandangkan saya obses dengan filem animasi Forest Spirit, saya mengajaknya menonton bersama dan kami sama-sama seronok menikmatinya. Banyak kisah teladan yang dipelajari Soraya terutamanya mengenai sikap kekeluargaan, kasih sayang dan alam persekitaran.”
 
Bagaimana dengan material pendidikannya seperti bahan bacaan? “Soraya masih kecil untuk memahami sesesuatu bentuk penulisan dan agak terbatas, jadi di play school penekanan diberikan pada perkembangan otak kanan di mana ia adalah titik pencetus daya kreativiti. Di sekolah, dia diajar untuk mencuba pelbagai aktiviti kraf dan paling mengagumkan pada usia sekarang Soraya sudah mahir mengait benang. It’s unbelievable. Kalau nak tahu, tidur malam Soraya tidak lengkap tanpa mendengar bedtime story. Antara yang paling digemari adalah mengenai kisah-kisah dongeng pari-pari, puteri raja dan haiwan,” beritahu Aishah lagi.
 
SorayaAnn2
 
IMPIAN DAN HARAPAN
Tidak dinafikan, ibu bapa mana yang tidak mendoakan kesejahteraan zuriatnya. Begitu juga Aishah. Di dalam dirinya tersemat 1001 harapan jua impian buat anak-anaknya. Melihat mereka membesar, belajar dan menjadi individu berkualiti bukanlah satu perjalanan yang mudah. “Antara impian yang saya dambakan adalah memiliki kebun hijau yang luas. Saya sering membayangkan kami sekeluarga hidup gembira dikelilingi alam yang indah. Hidup di hutan konkrit, bertemankan penyaman udara dan teknologi banyak kelebihan namun daripada segi spiritual ada kala ia meletihkan. Oleh itu, menjalinkan hubungan baik dengan alam persekitaran amatlah penting.
 
“Atas alasan itu juga, jika merancang percutian, kami sekeluarga lebih terarah untuk ke pantai. Bunyi desir ombak yang menenangkan, pasir putih bersih cukup menggoda untuk melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Aishah sempat berkongsi angan-angan Soraya yang kini suka membayangkan dirinya memakai persalinan cantik dan bersimpuh di tepi kolam bersama kodoknya. “Dia juga obses dengan aksesori fesyen seperti hiasan kepala, rantai serta gelang. Terkini, Soraya begitu teruja untuk bertindik telinga suatu hari nanti and it’s my biggest fear as a mom… so far!”
 
 

See also
Tip Fesyen: Buat Hijabis yang Ingin Mencuba Sesuatu yang Baru