Retorik: Menaikkan Taraf Seni Songket - Glam Malaysia

Retorik: Menaikkan Taraf Seni Songket

Adila LongGambar: Adila Long

 
Adila Long mempunyai cita-cita tinggi, memperjuangkan tekstil tradisi seperti songket, batik dan pelikat. Hasratnya mahu menjadi pereka gaya hidup lantaran terlahirnya label sendiri, Adila Long yang mana dia bertindak sebagai pengarah kreatif dan pengasas.
 
Fabrik songket sememangnya sudah menjadi simbol diraja sejak turun termurun. Berasal dari India, songket tiba di Kelantan dan Terengganu seawal tahun 1500 dan rekaannya mulai ditokok tambah dengan motif tempatan bersama teknik kraf yang lebih halus dan teliti. Maksud songket diambil daripada perkataan Melayu yang membawa erti menyongket.
 
Ertinya adalah untuk menyulam menggunakan benang emas atau perak. Seni sulaman untuk songket yang menggunapakai benang metalik memiliki teknik tersendiri apabila benang berlainan warna diselang-selikan untuk membentuk latar dan corak timbul.
 
Sejak ia diperkenalkan di Tanah Melayu, songket menjadi persalinan mereka yang berkedudukan sahaja. Keluarga diraja, pegawai kerajaan dan ahli keluarga berpangkat yang diberi kelebihan untuk menjadikan songket pakaian mereka.
 
Namun pada era moden ini, songket hanya dipakai dalam upacara diraja selain turut dipakai oleh orang kebanyakan sewaktu majlis-majlis istimewa. Ia selalunya digunakan untuk upacara persandingan oleh pengantin sebagai persalinan. Lebih menarik, makin ramai yang semakin berani bereksperimen dengan songket bagi memenuhi selera fesyen hari ini.
 
Nilai songket amat tinggi berdasarkan cara ia dihasilkan, masa yang diambil untuk membuatnya dan hanya beberapa individu tertentu sahaja yang benar-benar mahir dalam seni menyongket. Orang yang menenun songket sudah dilatih dari muda dan ilmu itu diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Hakikat ini membuatkan songket amat eksklusif, diangkat sebagai seni dan menjadi simpanan turun-temurun.
 
Memilih songket yang sesuai pula adalah seperti memilih sehelai sut yang sempurna. Ia harus padan dan serasi dengan pakaian lain serta aksesori yang bakal disarung bersama. Kebiasaanya songket dipilih berdasarkan cita rasa si pemakai khususnya pada motif yang tertera. Ia mungkin dalam bentuk flora, fauna ataupun geometri.
 
Jika persalinan anda berwarna gelap, saya mengesyorkan songket yang sama bertanah gelap. Maka coraknya akan timbul dan menyerlah apabila benangnya metalik berwarna emas, perak mahupun aneka nuansa. Jika anda memilih untuk memakai pakaian yang terang warnanya, songket untuk disuai padan juga boleh dipelbagaikan warnanya.
 
Pada pendapat saya, songket di dalam era moden fesyen tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya. Masyarakat masih terlalu bergantung pada trend dari Eropah hingga kita tidak nampak akan keistimewaan seni tekstil sendiri apatah lagi dengan adanya songket yang begitu istimewa dan kaya nilai warisannya.
 
Saya pasti orang luar akan tertarik dengan seni tekstil kita jika mereka diberi pengenalan mengenainya. Salah satu contoh yang ingin saya sebutkan adalah Koleksi Musim Bunga 2010 Dries Van Noten yang mana songket Melayu menjadi taruhan inspirasi mereka. Keseluruhan koleksi memiliki nilai nusantara melalui seni rekaan hingga ke corak. Kata lain, orang luar pun boleh nampak potensi songket tetapi dalam masa sama kita masih tercari-cari tapak untuk mengetengahkannya.
 
Kita boleh membantu menaikkan taraf fabrik tradisi ini dengan mendorong generasi hari ini agar menerimanya sebagai sesuatu yang relevan. Bayangkan bila songket diolah menjadi jaket senteng atau celana, kemudian digayakan pada hari-hari biasa. Walaupun begitu, songket bukan sekadar kain biasa. Ia ibarat karya seni dan memerlukan mereka yang tahu nilai sahaja untuk menghargainya.
 
Oleh itu, wang ringgit bukan isu jika seseorang itu tahu betapa istimewanya songket. Sesetengah benda, bila ia makin berusia ia akan berubah menjadi objek vintaj atau antik. Songket menjadi bahan koleksi kerana sifatnya yang luar biasa istimewa laksana sebuah masterpiece.
 
Oleh: Adila Long
 
BERPENGALAMAN BEKERJA SELAMA SETAHUN LEBIH DI PORCELANOSA, UNITED KINGDOM SEBAGAI PEREKA FESYEN, ADILA JUGA PERNAH MEMBUAT STYLING BAGI FRENCH CONNCECTION BERSAMA HARPER’S BAZAAR LONDON SEWAKTU MINGGU FESYEN LONDON SELAIN AKTIF MENULIS DI BLOG FESYEN SEPERTI ASOS DAN RUANGAN FESYEN AKHBAR DI LONDON.
 
 
Dipetik dari GLAM November 2013
 
 

See also
Millennial It-Girl: Charlotte Groeneveld