GLAM Exposé: Poligami Era Moden - Glam Malaysia

GLAM Exposé: Poligami Era Moden

Tanyalah pada mana-mana wanita, mati-mati tidak ada seorang pun mahu suaminya dikongsi. Tegarkah kita melihat suami kita bermanja mesra dengan wanita lain sedangkan dulunya suami itu hak kita seorang? Meski kita cuba untuk menerima hakikat, pasrah dengan keadaan tetapi hati kita pasti akan terguris. Pedihnya bagai dicucuk duri, dihiris sembilu.

Ya benar, poligami ini bukan cerita baru, Mungkin ada yang kata topik ini sudah lapuk, sudah basi. Tetapi drama-drama poligami tidak akan pernah habis. Sentiasa hangat bergelora. Masyarakat sentiasa mahu tahu siapa yang dimadukan dan siapa pula yang bermadu. Dan meski ada teman yang melahirkan rasa sedih kerana kawan baik dimadukan tetapi tidak kurang pula yang bertepuk tangan gembira kerana saingannya dimadukan, walhalnya dia sendiri tidak tahu nasibnya lagi.

Biasalah orang kata, for men’s life begins at 40. Traditionally 40 was the age when a man was able to start enjoying life. Yalah, pada usia begini, ekonomi pun sudah kukuh, tidak perlu bersengkek-sengkek seperti zaman muda remaja yang makan pun berkira-kira. Entah kenapa kebanyakan lelaki apabila umur sudah mencecah 40 dia seperti mendapat semangat baru dan mahu kembali berlagak bujang. Mahu berdandan cantik, berpakaian segak dan kalau ada yang memuji kacak apa lagi senyumnya lebar sampai ke telinga. Bila dah macam tu, tentunya aura si lelaki terpancar, dan kalau dia tidak menggatal ada pula gadis-gadis muda yang berselera pada lelaki matang.

Kisah lelaki yang memadukan isteri tetapi dirahsiakan bertahun-tahun sudah menjadi perkara biasa di negara kita. Jika isteri tidak memberi izin suami pasang dua, suami tidak payah pening kepala memikirkan caranya. Bawa saja buah hati lari ke luar negara atau jika mahu senang nikah saja di sempadan. Kahwin di Siam bukan saja dibuat orang biasa tetapi ramai orang kenamaan dan selebriti pernah menyeberang Sungai Golok untuk kahwin di sana. Cinta apabila mengusai jiwa, orang kata lautan api sanggup diredah jua!

Dan ada juga memang sejak azali nalurinya suka kepada lelaki orang seperti sahabat saya yang satu ini. Katanya baru ada thrill percintaan itu. Menurutnya kalau laki itu sudah ada bini dan lelaki itu ‘tangkap cintan’ dengan dirinya, dia berasa itu satu kejayaan dan kepuasan buat dirinya. Saya kira sahabat saya ini ada penyakit mental barang kali. Ada saya menegurnya, tetapi tidak diendahkannya. Sebagai sahabat dia memang teman yang baik, cuma saya kurang berkenan dia jenis wanita perampas! Sudah banyak rumah tangga dia bikin onar hingga suami isteri dilanda ribut taufan! Katanya, “Lagi cantik bini dia, lagi I nak tackle laki dia, saja nak test power!” Tetapi teman saya ini seleranya pada ikan besar sahaja ya. Yang poket kosong tu dia langsung tak pandang. Akhirnya pada usia 30-an dia bermadu dengan Datin Seri. Mungkin dia hebat di ranjang, Datuk Seri semakin lama semakin lupa kepada isteri pertama, kalau dah berbulan-bulan tidak balik ke rumah. Akhirnya kerana tidak tertanggung kesakitan, Datin Seri minta cerai setelah 20 tahun melayari rumah tangga dan dikurniakan tiga cahaya mata. Apa lagi menjerit seronoklah teman saya. Bukan sahaja suami miliknya seorang tetapi dapat pangkat sekali. Kalau itu yang menjadi kebahagiaan dia saya turut berasa kasihan dengan teman saya ini.

See also
Neelofa Raih Anugerah Di Monte Carlo, Monaco!

Lagi kisah mengenai pangkat dan status, sudah jadi trend sekarang isteri kedua, ketiga, keempat pun mahu tumpang sekaki dengan gelaran sang suami. Jika isteri pertama bergelar Datin, Datin Seri, Puan Seri, isteri kedua, ketiga dan keempat sekarang mahu gelaran yang sama. Mereka juga tidak mahu lagi sembunyi-sembunyi. Mereka mahu dikenali. Jadi segala majlis-majlis rasmi suami dia pun sibuk mahu ikut. Yalah, dah shopping baju mahal-mahal, tas tangan jenama mewah mahulah dia tayang pada isteri-isteri teman sang suami yang lain. Kisah Datin yang sering diberi keutamaan ini akhirnya sudah beberapa kali tidak di bawa sekali ke majlis besar-besar dek kerana Datuk sibuk berkepit dengan bini baru. Apa lagi bini tua naik hantu lah. Bergegar juga KL dengan amukan isteri pertama itu. Yalah, sekarang dengan media sosial dunia berada di hujung jari. Semua orang tahu kisah rumah tangga berserta drama-dramanya.

Zaman sekarang semua sudah moden, jangan terkejut hari ini isteri pertama yang pergi melamar bakal madunya. Kisah jutawan ini sangat menakjubkan, mungkin cemburu sikit-sikit itu ada, tetapi dia ketepikan itu semua demi perusahaannya. Daripada melihat suaminya menggatal, lebih baik dia suruh suaminya menikah sahaja dengan perempuan itu. Halal, tidak buat dosa. Dan madunya juga bekerja dengannya untuk sama-sama melebarkan empayarnya. Duit bukan isu lagi, tetapi untuk menjaga momentum perniagaan, dia perlukan kakitangan yang boleh dipercayai. Kehidupan mereka bermadu tidaklah sempurna. Sudah tentu ada kala tergigit lidah juga. Ada hari mereka bermasam muka tetapi mujur marah cepat reda. Madu jutawan ini juga bersyukur kerana jutawan ini sanggup menerima dia sebagai madu dan berkongsi kesenangan bersamanya.

Cerita mak Datin ini boleh dijadikan teladan. Datin mahu ketiga-tiga anaknya pandai bermain piano. Jadi Datin menyediakan guru piano untuk mengajar ketiga-tiga anaknya di rumah. Kira sudah dua tahunlah dia mengajar anak-anak Datin main piano. Datin pun senang dengan guru piano ini. Orangnya cantik, berbudi bahasa dan lemah-lembut. Siapa sangka dalam kelembutannya ada taring yang tersembunyi! Dia bermain cinta dengan Datuk di belakang Datin! Luluh hati Datin bila Datuk minta izin untuk bernikah lagi dengan guru piano anak-anaknya. Mengenali Datin yang sememangnya baik orangnya, demi untuk mengejar syurga, dalam kepedihan hati, dia merelakan guru piano menjadi madunya. Cikgu piano ini pun dalam santun dan lembut tiba- tiba gets carried away dengan kekayaan Datuk. Yalah culture shock kan tiba-tiba jadi kaya-raya.

See also
Rihanna Enggan Melayan Netizen Yang Mengkritik Tubuhnya

Datin tentulah tergugat, dia sentiasa ingat dia isteri pertama, sudahlah dia beralah untuk dimadukan, madunya pula naik lemak. Jika Datuk belikan Datin gelang 30k dia pun nak minta gelang 30k juga dan berlumba-lumba dengan isteri pertama mahu suami belikan tas tangan edisi terhad. Sikap baik guru piano ini terhakis dengan sifat tamaknya. Datuk akhirnya pening kepala dengan persengketaan kedua isterinya dan membuat keputusan untuk menceraikan isteri keduanya. Kerana bagi Datuk, Datin setia di sisinya sejak dulu sewaktu dia masih tidak berduit lagi. Meski dia sayang pada isteri kedua dia terpaksa memilih salah satu kerana tidak mahu rasa bersalah. Apakan daya menjandalah cikgu piano itu akhirnya.

Meluat pun ada dengan sosialit yang satu ini, menjaja kisah kemesraan rumah tangga poligaminya yang melampau-lampau di media sosial. Dulu dia pernah bertunang, kecoh jugalah KL dengan kisah pertunangannya itu. Mana taknya majlis bertunang dah macam kenduri kahwin. Buat di hotel lima bintang dengan 800 jemputan. Tut-tup putus tunang. Nak kata membazir pun tak boleh sebab dia kaya raya dan berasal daripada keluarga bangsawan. Sekali lagi KL digegarkan apabila si gadis ini menamatkan zaman bujangnya. Pada majlis perkahwinanya dia mengumumkan pada hadirin yang dia adalah isteri kedua dan turut memperkenalkan madunya. Terperanjat beruk hadirin. Yalah, orangnya cantik, bijak, gedik-gedik manja, tetapi sayang laki orang juga dia berkenan. Habis dicanang gambar kemesraan dengan suaminya. Memanglah dia mendapat izin isteri pertama, tetapi seperti yang dikatakan tadi kalau tak banyak sikit itu mesti hati terluka. Anda kuatkah melihat suami anda tersenyum bahagia sambil mendakap wanita lain yang jauh lebih muda dan cantik bergaya? Isteri kedua pun fikir- fikirkanlah perasaan anak-anak tiri.

Jangan ingat drama poligami dari orang Melayu sahaja, orang Cina walaupun tidak boleh berpoligami, taikun-taikun Cina ini suka simpan mistress. Ada satu Datin ini bercerita dengan saya, dia tidak kisah suami dia makan luar, tapi jangan sampai perempuan tu pandai-pandai nak bolot harta suaminya. Bab-bab duit langkah mayat dia dulu. Tetapi ada pula perempuan simpanan yang bijak. Perasaan malu hamil anak luar nikah ditolak tepi. Yang penting dihamilkan anak lelaki hartawan. Anak itu dijadikan jaminan masa depannya untuk tumpang hidup senang seumur hidup. Biarlah kehidupan dia sebagai wanita simpanan, tetapi anaknya ada hak ke atas harta bapanya.

See also
Checklist Seks 'Before & After'- Bahagian 1

Dengar kisah ini macam tak masuk akal pun ya, tapi menurut sumber kisah ini sudah berlanjutan hingga 20 tahun sudah. Datuk Seri yang berbangsa Cina ini, memancing cinta dengan budak sekolah umur 15 tahun. Nak dijadikan cerita Datuk Seri sudah jatuh cinta dengan gadis muda ini. Habis SPM, dia terus membelikan perempuan simpanannya rumah kondo mewah dan kereta sport. Senang cerita serba-serbi hidupnya ditanggung Datuk Seri. Kerjanya hanya melayan nafsu serakah Datuk Seri yang gila seks. Hari ini dia sudah berusia 35 tahun dan masih kekal cantik. Bukan senang ya, dia harus jaga makan, jaga kulit badan, kulit wajah. Risau juga dia bila dah tua nanti Datuk Seri tidak lagi menyayanginya. Jauh di sudut hatinya dia teringin untuk Datuk Sri memperisterikan dia. Tetapi alasan Datuk Seri adalah jika dia masuk Islam, secara automatik perkahwinannya bersama isteri pertamanya terbatal dan dia tidak sanggup kehilangan keluarganya. Bukan Datuk Seri tidak ada wanita-wanita simpanan lain, tetapi kononnya dialah yang paling Datuk Seri sayang. Kalau itu jalan yang dia pilih bergelumang dengan dosa, semoga dia kembali ke pangkal jalan satu hari nanti.

Dunia selebriti tanah air juga apa kurangnya dengan gosip hidup bermadu ini. Baru bernikah dengan isteri setahun sudah menggelupur mahu cari isteri lain, alasannya mahukan zuriat. Tetapi lepas kahwin, isteri pertama pun mengandung. Isteri kedua yang tidak mengandung-mengandung lagi. Alasan kerana, anak-anak akan kurang kasih sayang bapa. Si artis lelaki ini bingit dengan jerit pekik anak-anak kecilnya. Lebih suka di rumah isteri kedua yang sunyi dan privasi. Tambah isteri nombor dua memang hot!

Gelora drama poligami ini sentiasa hangat. Mungkin lelaki Islam lupa yang syarat utama untuk hidup berpoligami ini, hendaklah berlaku adil. Apabila si lelaki gagal berlaku adil, perselisihan faham akan melanda rumah tangga. Dan saya tidak nafikan ada yang hidup bermadu dengan penuh harmoni. Mungkin kalau gaduh pun, gaduh-gaduh sayang tak adalah sampai memaki hamun dan bertarik rambut!

Teks: Tengku Ashley Hassan