GLAM Exposé: Mak Tiri Oh Mak Tiri!

GLAM Life

GLAM Exposé: Mak Tiri Oh Mak Tiri!

748

Teks Tengku Ashley Hassan

Apabila dengar saja perkataan ‘mak tiri’ kita pasti membayangkan seorang ibu tiri yang bengis dan kejam.

 

Kisah mak tiri jahat memang sudah cukup sebati dengan masyarakat kita. Maklum sahaja kerana ibu tiri ini bukan ibu kandung sudah pasti layanan mereka pada anak tiri berbeza dengan mak kandung. Tetapi betul ke mak tiri jahat masih wujud pada zaman sekarang? Kisah ibu tiri jahat, kejam dan tidak berhati perut sebenarnya masih ada tetapi tidak lagi sebanyak dulu mungkin kerana rata-rata kita melihat di sekeliling ramai mak tiri yang baik dan menjaga anak tiri seperti anak kandung sendiri malahan ada yang menatang anak tiri lebih daripada anak sendiri. Zaman telah berubah. Teknologi semakin canggih dan semua maklumat berada di hujung jari. Semua boleh dipaparkan di media sosial. Bukan sahaja orang dewasa, kanak-kanak usia lapan tahun pun sudah amat mahir dengan teknologi maklumat ini. Sudah tentu ibu tiri akan berfikir dua tiga kali sebelum berbuat sesuatu kerana anak-anak tiri akan merakam perbuatan mereka dan terus tularkan di media sosial. Tetapi saya percaya wanita yang menjadi ibu tiri sekarang bersifat penyayang, melayan anak- anak sama rata dan tidak membanding-bandingkan antara anak tiri dan anak kandung . Ini kerana anak -anak tiri telah menjadi sebahagian daripada hidup mereka.

 

Tahun 2018 baru sahaja membuka tirai tetapi sedih kerana akhbar sudahpun memaparkan berita sedih mengenai anak tiri yang didera sehingga maut. Sayu hati tatkala membelek akhbar. Kalau benci sekalipun janganlah dibantai anak kecil yang tidak berdosa itu seperti tiada hati dan perasaan.

 

Datin meluahkan perasaannya kepada teman-temannya sewaktu duduk mengopi, dia cuba untuk sayang anak-anak tirinya, tetapi entah kenapa setiap kali melihat wajah anak-anak tirinya yang kematian ibu akibat sakit kanser itu, dia berasa meluat. Dia sedar, budak-budak mana yang tidak buat masalah, tetapi bila anak-anak tirinya buat salah, rasa marahnya itu bagaikan membuak-buak. Katanya dia lagi terseksa kalau Datuk ada di rumah, kerana dia terpaksa pendam perasaan marah pada budak-budak itu. Dan lebih terseksa kerana dia terpaksa berlakon berbaik-baik dengan mereka. Kalau nak ikutkan hati tengok muka pun benci! Datin kata dia mahu Datuk hantar anak-anak tirinya itu bersekolah di luar negara. Biar dia dapat membina hidup baru dengan Datuk dan fokus untuk dapatkan cahaya matanya sendiri. Dengan adanya anak-anak tiri di rumah dia rimas dan penat melihat kerenah mereka yang nakal. Datuk berat hati kerana tak sampai hati memandangkan anak-anaknya masih di bangku sekolah rendah, dan Datin akan terus memujuk Datuk. Kasihan pula saya pada anak-anak itu apabila teman Datin bercerita pada saya.

 

Pernah dengar kisah Cinderella? Hidup sosialit ini tak jauh beza dengan Cinderella kerana dia pernah dibuli dan didera oleh ibu tiri. Itulah kisah yang berlaku pada sosialit ini dan adiknya sewaktu awal remaja mereka. Selepas kematian ibu, bapanya berkahwin baru. Ibu tirinya itu hanya beza 10 tahun daripadanya, tetapi bapa sosialit ini mahu anak-anaknya memanggil isteri barunya itu ‘mama’. Pada awal perkahwinan mereka, ‘mama’ melayan mereka dengan baik tetapi setelah ‘mama’ sosialit ini atau dengan gelaran barunya Datin melahirkan zuriatnya sendiri, semuanya berubah 100 peratus. Bayangkan biarpun ayah berpangkat Datuk, sosialit ini umpama orang gaji di rumah. Dia diberi jadual harian untuk mengemas rumah bersama bibik. Balik dari sekolah dia kena terus sapu rumah, basuh baju, jemur baju, dan lipat baju. Datin mahu sosialit ini buat kerja sama-sama dengan bibik, Sebelum itu mereka ada dua pembantu tetapi seorang diberhentikan. Cerita sosialit itu lagi dia terpaksa curi masa untuk buat kerja sekolah dan ulangkaji pelajaran. Boleh dikatakan setiap hari dia akan tidur pukul satu atau dua pagi. Datuk pun seperti lupa diri dapat bini muda. Dia seakan mabuk cinta dengan isteri keduanya itu sehingga lupa mengenai anak-anak. Bayangkan kalau pergi bercuti ke luar negara, bibik pun diangkut pergi sekali sebab nak jaga anaknya yang sorang itu serta membantunya menyusun kelengkapan baju-baju, beg -beg serta kasut- kasut mewahnya. Setiap kali bercuti mereka akan menghabiskan masa sebulan jadi bayangkanlah banyak mana barang yang dibawa! Kedua-dua anak tiri dia kata tak perlu ikut kerana keputusan belajar teruk. Meloponglah kedua beradik ini di rumah. Terkontang-kantinglah mereka sebulan di rumah. Paling teruk kata sosialit yang mengimbas zaman remajanya, ibu tiri pernah mengetuk kepalanya dengan pisau. Dia ketuk guna tempat yang tajam itu sehingga berdarah. Datuk yang mendengar anaknya menangis bergegas ke dapur dan menyaksikan perbuatan Datin. Dalam keadaan marah Datuk terus ceraikan isterinya waktu itu juga tetapi sebenarnya Datuk pun sudah pening dengan perangai Datin yang tahu menghabiskan duitnya sahaja. Hilanglah nikmat kekayaan Datin. Datuk pun selepas itu menemui cinta baru dengan wanita berusia 40-an. Dan kata sosialit ini ibu tirinya itu jauh panggang dari api dengan ibu tirinya dahulu. Dia dan adiknya dapat menumpang kasih daripada ibu tirinya yang baru itu.

 

Kisah sosialit ini menceritakan yang ibunya yang berstatus Datin Seri ini pernah bermadu. Jadi sepanjang membesar, ibu tirinya memang baik orangnya. Sukar dipercayai yang ada ibu iri yang baik sebegitu. Bukan saja dengan anak tiri dengan Datin Seri pun dia baik. Jadi tidak pernah berlaku pergaduhan antara mereka. Sosialit ini sayangkan ibu tirinya. Malang tidak berbau apabila bapa sosialit meninggal akibat sakit jantung. Kata sosialit ini, dia amat terkejut sekali kerana sebaik ayahnya meninggal dunia, mak tirinya bertukar menjadi seorang yang sangat bengis. Rakus tamakkan harta. Dia meroyan-royan menuntut harta arwah ayah. Hubungan sosialit dan ibu tiri terus terputus begitu sahaja. Sungguh kerana harta, manusia boleh berubah sekelip mata sahaja. Pernah diimbas kembali kenangan lama apabila ibu tirinya menjerit-jerit sehingga membaling kasut ke rumah Datin Seri (madunya) mahu bercakap mengenai harta. Akhirnya Datin Seri malas nak bergaduh dan biarkan sahaja apa yang dituntut oleh madunya.

 

Ya bukan semua ibu tiri yang kejam, kisah sosialit ini yang sering pergi ke majlis dengan ibu tirinya, dan si anak tiri boleh berkongsi wardrobe dengan ibu tirinya. Mereka seumpama bff. Nak dijadikan cerita ibu tiri tua lebih tua daripadanya hanya beberapa tahun saja dan mereka boleh sekepala. Biarpun tas Birkin Croc yang dibelinya limited edition dia tidak pernah berat hati untuk meminjamkannya kepada anak tirinya. Jarang sekali kita melihat perkara ini terjadi, tetapi inilah bukti yang ibu tiri juga baik dan berhati bersih.

 

Kisah Datuk Seri yang kaki perempuan ini juga sudah diketahui kisahnya satu Kuala Lumpur. Datin Seri ini bertahan dengan suaminya yang pantang tengok perempuan cantik. Datin Seri pernah dimadukan dengan tiga isteri lain serentak. Tetapi akhirnya semuanya diceraikan. Baru botak kepala Datuk Seri nak melayan kerenah empat isteri. Yang terkejutnya, Datin Seri harus membela anak-anak tirinya yakni anak-anak bekas madunya. Anak kandung dan anak tiri semua jumlahnya 10 orang. Nak dijadikan cerita Datin Seri ini berhati mulia, dia kata itu semua masalah mak mereka dan bukan anak-anak. Anak-anak tidak bersalah. Mulanya ramai adik – beradik Datuk Seri marah apabila Datuk Seri mahu Datin Seri menjaga anak-anaknya hasil perkongsian dengan bekas-bekas isterinya. Ini kerana semua kata mak tiri itu kejam, tetapi Datin Seri ini satu dalam 1000. Dia jaga anak tiri seperti anak kandungnya sendiri. Datin Seri menyuapkan anak- anak tirinya dengan penuh kasih, sampai dah besar-besar ini pun masih mahu mak tiri mereka suapkan untuk bermanja. Sayangnya dia pada anak tiri, bila anak tirinya terlantar di hospital kerana denggi, dialah yang sibuk ulang-alik ke hospital. Hari ini bawak sup ketam, esok bawak jus kurma kemudian bawa pula air zam-zam. Walhalnya mak kandung macam tak kisah saja. Salah seorang anak tirinya mengalami kemurungan, bertahun-tahun sudah tidak mahu keluar rumah. Datin Serilah sibuk menjaganya walaupun usia anak tirinya itu sudah mencecah 30 tahun. Mak tirinya usahakan Ruqyah, panggil ustaz ke rumah untuk mengubati anak tirinya. Hari ini Datin Seri sudah berusia 50-an, dan Datuk Seri yang sudah berusia 60-an masih tetap menggatal. Satu hari perempuan yang kononnya rakan bisnes Datuk Seri sakit hati dengan Datin Seri kerana Datuk Seri enggan berkahwin dengannya walaupun sudah dipujuk rayu. Sewaktu Datuk Seri ada business meeting di Dubai, dia membawa seluruh keluarganya kerana alang-alang ke sana eloklah bercuti sekali bersama keluarga sementelah pula urusannya lama di sana. Jadi ‘rakan bisnes’ Datuk Seri ini ikut sekali. Pada akhir percutiaan itu, dia saja mahu lukakan hati Datin Seri dengan berkata, “While you are cooking everyday, your husband ketuk pintu I and have sex with me,” sambil melemparkan senyuman sinis. Sungguh jijik kerana dia tega untuk berkata kotor seperti itu. Dan dia mahu Datuk Seri tukar namanya sebagai salah seorang board directors untuk syarikat itu. Anak-anak tiri yang tahu agenda rakan bisnes Datuk itu menenangkan hati ibu tiri mereka, “Don’t worry Mama, we’ve got your back,” Begitulah kasih anak-anak tiri kepada ibu tiri. Datin Seri sering dilindungi anak-anak tirinya. Benarlah kata orang jika kita berbuat baik, kebaikan jugalah yang akan datang mendampingi kita.

 

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu April 2018

Your email address will not be published. Required fields are marked *