Perlu Atau Ingin?

Perlu Atau Ingin?

02J47827Gambar: TPGVIP

 
Oleh: Haniff Ali
 
Keperluan atau keinginan? Ungkapan ini yang sering terlintas di fikiran apabila melihat barang yang disukai di pusat membeli-belah. Perasaan tertarik dan keinginan untuk memiliki mendorong diri untuk membeli. Ia perkara biasa yang dilalui oleh semua orang. Ramai orang mempunyai wang, tetapi yang membezakan anda dengan orang lain adalah jumlah wang yang dimiliki dan cara wang itu disalurkan.
 
Perkara asas yang diajar ketika kita masih kecil jika mempunyai wang adalah untuk menabung. Sesungguhnya ia amalan yang amat berguna untuk masa hadapan. Ramai golongan muda masa kini gemar menghabiskan wang mengikut nafsu seperti membeli barang-barang yang bukan keperluan sehingga tiada duit simpanan. Ini menjadi masalah besar kelak ketika duit yang benar-benar diperlukan untuk tujuan yang lebih penting seperti berkahwin dan membeli rumah tidak mencukupi. Sebagai contoh, seorang lelaki yang baru mendapat kerja dengan gaji RM2,700 ingin membeli kereta buatan luar negara dengan harga hampir mencecah RM100,000, sedangkan dia dah ada kereta buatan tempatan yang masih berfungsi dengan baik. Jika dilihat secara realiti, memang tiada salahnya membeli kereta baru, tetapi dia tidak PERLU membeli kereta itu sebenarnya.
 
Masalah utama golongan muda masa kini ialah terikat dengan gaya hidup yang trendy. ‘Peer pressure’ atau pengaruh rakan sebaya menjadi punca bermegah-megah. Kini, di zaman pasca-moden – yang mengangkat taraf hidup seseorang itu adalah jika dia memiliki gajet seperti telefon bimbit canggih, komputer tablet terkini dan kereta mahal. Tidak dinafikan memiliki semua itu adalah penting tetapi kita perlu ukur baju di badan sendiri. Adakah apabila rakan kita memiliki iPhone terbaru kita juga harus ada? Jangan malu jika kita tidak memiliki barang yang up-to-date tetapi kita harus berbangga kerana kita dapat mengawal nafsu dan secara tidak langsung berjimat.
 
Mungkin ramai yang tidak sedar kos sara hidup di bandar semakin meningkat. Jika ingin membeli rumah, pendapatan isi rumah seseorang itu perlu ada sekurang-kurangnya RM7,000 untuk memiliki rumah yang berharga sekitar RM400,000 minimum dengan jumlah bayaran deposit RM40,000. Jika ingin berkahwin pula, seseorang itu perlu ada lebih kurang RM30,000 untuk pakej yang sederhana. Itu belum termasuk dengan bayaran bulanan kereta, cukai jalan, insurans kereta, harga petrol, hutang pelajaran, belanja harian, bil telefon bimbit, penjagaan anak dan lain-lain lagi. Cuba anda fikirkan bagaimana untuk menampung semua ini? Angka-angka yang besar ini juga yang mendorong ramai orang membuat pinjaman peribadi dan menambah hutang di usia muda.
 
Seseorang itu terpaksa berjimat dengan cara mengurangkan perbelanjaan kerana perlu berhadapan kenaikan kos sara hidup. Golongan muda berkerjaya dilihat terlalu ghairah berbelanja sehingga berhutang terutamanya yang baru bekerja. Keterujaan menerima gaji dan baru mengenal erti memegang duit sendiri menjadi tiket untuk membeli barang yang bukan keperluan. Jabatan Insolvensi Malaysia dalam laporan dan statistik yang dikeluarkan baru-baru ini melaporkan hampir 45,000 individu yang berumur bawah 35 tahun diisytiharkan muflis sejak tiga tahun lalu berpunca daripada bebanan hutang kad kredit, yuran perubatan dan sewa beli. Perkara ini amat membimbangkan kerana pada usia muda, kita seharusnya tidak perlu menanggung bebanan hutang yang tinggi.
 
Mungkin ada yang beranggapan berbelanja adalah hak mereka sendiri. Tetapi untuk kesan jangka panjang, ada harga yang perlu ditanggung. Adakah sikap dan gaya hidup mewah boleh dipersalahkan? Ia semua terletak pada diri sendiri. Seseorang itu boleh berjimat jika 1/3 daripada gajinya digunakan untuk simpanan. Simpanan yang cukup dapat menjamin pembiayaan deposit rumah dan kereta yang tinggi sekali gus mengurangkan jumlah pinjaman ansuran bulanan. Hari ini, ada pelbagai cara mengurus kewangan seperti pelaburan unit amanah, hartanah yang boleh mendatangkan keuntungan dalam jangka masa panjang. Cuma yang mengehadkan pelaksanaannya adalah soal ingin ambil peduli atau pun tidak.
 
Tiada salahnya menjadi golongan muda yang bersederhana dalam kehidupan harian. Jika anda sanggup naik motosikal untuk ke tempat kerja, gunakanlah. Jika anda ada kereta lama yang masih elok, elakkan membeli kereta baru. Jika anda selesa dengan pengangkutan awam, elakkan membeli kenderaan. Mungkin sekarang rakan anda memperlekehkan anda. Tetapi jangan jadikan itu sebagai gangguan yang akan menyimpangkan matlamat jangka panjang anda. Seseorang yang bijak tidak akan dipengaruhi oleh keseronokan jangka pendek hanya untuk kepuasan nafsu semata-mata.
Masih ada juga yang tidak tahu apa yang ingin dilakukan dengan duit sendiri. Walaupun mereka ada menyimpan tetapi tidak difikirkan untuk tujuan apa. Perkara ini sedikit sebanyak merencatkan matlamat kewangan untuk objektif jangka panjang. Sebelum anda membeli atau berhutang, fikirkan betul-betul sama ada ia adalah keperluan atau keinginan?
 
*Artikel ini disiarkan dalam GL edisi Jun 2014
 
 

See also
Kenali Giulio Xiloyannis, Pengarah Urusan Zalora