Dunia Hari Ini Semakin Gila?

Dunia Hari Ini Semakin Gila?

semakin gilaGambar: Corbis

 
Oleh: Azreezal Hafidz

 

DUNIA HARI INI SEMAKIN TAK MASUK AKAL. MANUSIA SANGGUP MELAKUKAN APA-APA SAHAJA DEMI WANG – SELAIN DARIPADA BEKERJA SECARA HALAL. KITA SEBAGAI ANTARA INSAN YANG HIDUP DALAM DUNIA SEMAKIN GILA INI BERINGATLAH UNTUK SENTIASA HATI-HATI DAN GUNAKAN OTAK DAN AKAL LOGIKA.

 

Pelbagai cerita pelik tapi menarik saya dengar daripada teman sewaktu dalam perjalanan bertemu klien. Ditambah lagi dengan trafik yang sesak bertambah banyaklah cerita yang diutarakannya. Baik yang didengarnya daripada teman-teman atau yang dibacanya di Facebook hinggalah kepada laporan yang dikeluarkan di dada-dada akhbar berbahasa Cina yang disampaikan oleh ibu kepada dia (dia tak pandai baca bahasa Cina). “Akhbar bahasa Cina melaporkan semua secara terperinci dan kebanyakan mereka melaporkan kes-kes yang penting dan betul-betul terjadi berbanding akhbar lain yang lebih senang melaporkan kes bunuh, culik, tembak dan kemalangan yang jika dibaca setiap hari isu yang sama boleh jadi gila dan bosan,” kata saya pada teman.

 
“Itu pun bukan semua akhbar Cina laporkan semua. Hanya beberapa. Saya tak pandai baca tapi mak saya selalu bagi tau saya benda-benda penting dan isu-isu yang selalu terjadi dalam dunia tempatan,” jawabnya pula. Bagi saya, penting untuk kita tahu semua isu-isu ini supaya tidak terkena di atas batang hidung sendiri. Supaya kita juga sentiasa berjaga-jaga dengan orang di sekeliling kita. Tidaklah kita terlalu naif untuk mengendahkan sahaja sekiranya kita sudah hampir terkena. Dunia hari ini pula semakin dipenuhi dengan insan-insan berniat jahat yang mementingkan diri sendiri – mahu sesuatu dengan cara mudah malah sanggup buat apa sahaja bagi mendapatkan yang mereka ingini. Dan dalam banyak cerita yang saya dengar daripada teman saya tadi, semuanya berkisar duit dan harta benda.

 

Wanita Kena tipu Dengan Si Kulit Hitam

See also
Crossfit Senaman Terkini Paling Berkesan

Seorang wanita tua dari Australia berasa keseorangan dan mahukan teman hidup atau sesiapa sahaja yang dapat menemani bagi menghabiskan sisa-sisa hidupnya. Satu malam, melalui salah satu rangkaian mencari pasangan di internet, dia bertemu dengan seorang jejaka berkulit hitam kacak yang menginap di Kuala Lumpur. Jejaka kulit hitam ini mengaku dia mahu memulakan pernigaaan sendiri di Kuala Lumpur. Hanya beberapa malam atau mungkin selepas seminggu, jejaka kulit hitam ini melayan wanita tua Australia ini dengan baik dan beradab. Perasaan wanita ini berbunga-bunga. Dia dilamun cinta.
 
Jejaka kulit hitam kemudian meminta bantuan daripada wanita tua Australia ini supaya mengirim sejumlah wang yang banyak untuk dia memulakan perniagaannya. Dan kerana cinta, wanita itu pun menghantar entah siapa (dengan penerbangan) wang tersebut ke Kuala Lumpur. Jejaka kulit hitam tidak pun muncul malah dia mengupah seorang budah melayu untuk mengambil wang tersebut daripada pengirim itu tadi. Bertuah juga wanita tadi kerana sindiket ini berjaya ditumpaskan sebelum wang itu berjaya berpindah tangan. Pun begitu, selepas jejaka hitam itu didapati bersalah pun, wanita itu masih lagi tidak buka mata dan sedar dia ditipu. Kesian. Saya faham kekosongan hidup membuatnya jadi begitu. Tetapi sekiranya dia menggunakan akal logiknya, mungkin perkara ini tidak terjadi hingga ke tahap ini. Katanya pabila ditemu bual, “Nobody wants to buy me a drink.”
 
Kalaupun begitu, takkan hanya selepas seminggu, dia sudah boleh percaya ingin memberi sejumlah besar wangnya kepada jejaka kulit hitam itu tadi? Dan dengan jumlah wang yang dimilikinya, tak perlulah dia menunggu mana-mana jejaka membelikannya air di bar. Gunakanlah wang sendiri untuk beli sampai 20 gelas pun sekali gus. Itu lebih baik. Atau habiskan sahaja sisa-sisa hidupnya dengan mengembara melihat dunia atau berbuat amal kebajikan. Itu kan lebih baik dan mulia? Nasiblah wangnya berjaya diselamatkan. Kalau tidak melepas sajalah nampaknya. Jejaka kacak tak dapat, wang pun hangus terbakar.
 
Makcik Cina Percaya Dengan Pawang
Dua orang makcik ke pasar berdekatan rumah mereka. Dalam perjalanan pulang mereka bertemu pula dengan salah seorang teman mereka. Mengadu si teman ini, “Wang saya selalu habis tanpa saya tahu ke mana perginya.” Seorang lagi menjawab, “Saya pernah dengar orang kata kalau macam itu ah, itu duit tak bersih.” Terpinga-pinga, si teman menjawab kembali, “Macam mana mahu tau itu wang bersih atau tidak?” Mereka sepakat bertemu seorang pawang berhampiran rumah mereka. Katanya pawang itu ada penawarnya.
 
Pawang memberi cadangan bahawa dia boleh membantu mereka bertiga membersihkan wang dan harta benda mereka. Katanya, “Bawa lu punya emas. wang suma, gua boleh bersihkan untuk lu.” Entah sudah dipukau atau apa, ketiga-tiga mereka dengan lurusnya pulang ke rumah dan kembali dengan harta masing-masing. Pawang pun melaksanakan jampi serapahnya dan melakukan aksi membersihkan wang dan barang kemas mereka. Setelah itu mereka pulang dan setibanya di rumah kesemua wang dan barang kemas mereka bertukar mejadi abu. Begitu ‘gila’ dunia hari ini, dengan mudahnya manusia tertipu dengan muslihat orang sekeliling. Tanpa perlu berusaha lebih atau lama, hanya sekelip mata kesemua yang dimiliki tergadai begitu sahaja. Maka berhati-hatilah.
 
Banyak Sungguh Manusia Delusional
Tekanan hidup mungkin terlalu mencengkam dalam dunia hari ini. Sehingga banyak manusia tidak lagi nampak antara jalan lurus mana yang perlu dilalui. Banyak manusia yang sudah kabur jalannya dengan kabus tekanan hidup yang membunuh. Tidak kiralah sumber tekanan itu datang dari tempat kerja atau bebanan rumah tangga atau kerana terlalu banyak memikirkan kekusutan dan kepelikan manusia lainnya.
 
Dan manusia-manusia yang tertekan ini seterusnya tidak lagi dapat berfikir secara rasional. Ada perasaan takut, gentar lagi mencengkam dalam hatinya terutamanya apabila memikirkan sesuatu perkara yang dirasakan penting buat mereka. Sama ada suami aku curang di luar. Apakah isteri aku masih sayangkan aku seperti dulu? Apakah bekas kekasih ku masih tidak dapat melupakan aku? Apakah sahabat baik ku di pejabat mempunyai hasrat menikam aku dari belakang? Adakah emak aku lebih sayangkan adik aku? Tidakkah si polan sedar betapa aku masih mengambil berat dan mahu bersama dengannya? Mengapa dia memberi reaksi selamba dan menganggap aku ini seperti sampah yang terbiar di tepi jalan?
 
Apabila kesemua idea-idea ini bermain dalam kepala tanpa ada punca keluarnya, saya pasti kebanyakan akan terus hanyut dalam dunia gila ciptaan minda sendiri. Ini seterusnya tidak mustahil akan menjurus kepada pemikiran-pemikiran gila atau tidak masuk akal yang lain yang boleh tercetus dalam kepala. Ada antara manusia yang pernah saya temui menjadi delusional akibat terlalu banyak memikir dan hidup dalam awan-awan kelabu yang sekian lama terpendam dalam kepala. Malah ada yang tidak ingat kata-kata yang pernah diutarakan satu ketika dahulu. Atau tidak ingat juga sesetengah perlakuan sendiri hingga mendorong pula kepada situasi denial – tidak mengaku melakukan sesuatu perkara. Sama ada benar mereka tidak ingat atau kerana awan kelabu dalam kepala sudah berubah hitam lalu menutup terus lapang rasional di situ – lalu mereka pura-pura tidak ingat malah seperti perkara itu tidak pernah terjadi langsung.
 
Kesian dan sebenarnya saya gusar melihat dunia yang semakin gila. Alangkah bagusnya jika ada jalan penyelesaian mudah untuk masalah ini. Saya tidaklah pula begitu arif dalam hal ini. Tapi mungkin dalam isu depan, saya boleh bercakap tentang cara yang boleh dicuba untuk membantu masalah dunia gila ini atau berdepan dengan KEGILAAN dunia hari ini.
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM Lelaki edisi April 2014
 
 

See also
Percayakah anda gambar-gambar ini dirakam dengan kamera telefon pintar?