Permaidani Pilihan & Tip Penjagaannya

carpet designer guild

Kempen Musim Bunga/Panas ’15 oleh Designer Guild.

 

Penggunaan karpet dalam menyempurnakan dekorasi sememangnya menjadi pilihan buat kebanyakkan pemilik kediaman. Karpet yang baik sememangnya mempunyai tanda harga yang tinggi dan pilihan yang lebih mampu milik memerlukan lebih perhatian. Antara pilihan yang paling berbaloi semestinya karpet Parsi buatan tangan yang dibawa dari negara Timur Tengah seperti Iran. Dengan corak klasik dan warna mewah yang menawan, ia mencipta aura buat ruang tamu yang ditata gaya klasik dan mencipta dimensi yang berbeza pada ruang. Manakala hari ini, ramai yang menggemari pilihan lebih moden atau kontemporari dan paten yang lebih ringkas atau abstrak untuk menghiasi kediaman. Mainan warna yang lebih ceria dengan suntikan corak geometri menjadi pilihan untuk mencipta ruang kediaman yang lebih segar. GLAM Deko ingin membantu memastikan karpet anda dapat berkhidmat lebih lama dengan beberapa teknik penjagaan ringkas untuk dipraktikkan.

 

  • Apabila terjadinya kemalangan di atas karpet anda seperti tertumpahnya minuman, rawat kawasan terbabit segera kerana lebih lama karpet anda dibiarkan dengan cecair yang tumpah, lebih sukar untuk ia dibersihkan.

 

  • Jika terdapat tumpahan makanan di atas karpet anda, buangkan sisa makanan menggunakan sudu dahulu. Ambil kain yang sudah dilembapkan dengan air bersih (atau bersama sedikit cecair pencuci lembut jika perlu) dan tekapkan pada kotoran. Gunakan penyedut hampagas kegunaan basah dan kering dan lalukan diatasnya sehingga ia bersih.

 

  • Sentiasa lalukan penyedut hampagas pada permukaan karpet anda untuk mengelakkan pengumpulan habuk dan tanah atau pasir yang terkumpul pada karpet anda. Pada masa yang sama, elakkan dari menumpukan kuasa sedutan pada sesuatu arah secara terlalu lama kerana ia akan memisahkan rantaian antara permukaan karpet anda.

 

  • Pastikan alatan yang digunakan pada penyedut hampagas anda adalah bersesuaian dengan permukaan karpet anda. Dapatkan khidmat nasihat dari pengeluar penyedut hampagas anda.

 

  • Andai anda meletakkan perabot berat di atas permukaan karpet anda, alihkan titik tekanan secara berkala dan usapkan permukaan menggunakan duit syiling. Anda juga boleh menggunakan pengering rambut atau seterika stim namun pastikan ia berada pada jarak yang selamat.