Kediaman – Minimalis Mewah

 

Sebuah unit kondominium lama menerima wajah baru hasil sentuhan berbeza oleh Dato’ Rizalman Ibrahim dengan menerapkan gaya Scandinavian sebagai tema dekorasi mengikut kehendak pemiliknya. Mengumpul inspirasi dari rangkaian gambar yang didapati menerusi penggunaan aplikasi Pinterest berjaya menciptakan sebuah ruang yang masih mengekalkan identiti mewah dan bergaya yang sinonim dengan pereka ini.

 

Antara cabaran yang dihadapi dalam menyempurnakan kediaman adalah pelan lantai yang sedikit berbeza. Mereka perlu mengubah sedikit pembahagian ruang agar ia terlihat lebih kemas dan terkini. Selain itu, oleh kerana hartanah ini telah dibina sekitar tahun 80an, kemasan dan perincian bukanlah yang terkini. Untuk itu, ia perlu diolah semula untuk menepati kesesuaian dengan gaya yang ingin yang diterapkan. Menurut Rizalman, kunci kepada gaya Scandinavian adalah ruang yang luas selain kurangnya aksesori yang sarat.

 

Bagi menaikkan rasa mewah, seleksi perabot yang dipilih adalah dari pilihan bermutu tinggi. Ini untuk memastikan hasil penataan dan impaknya serasi dengan gaya yang ingin diterapkan. Selain daripada itu, perincian seperti lantai dan siling juga dikemas kini agar keseluruhan kediaman berjaya menghasilkan gaya senada pada setiap ruang. Pemilihan lampu dengan rekaan yang unik dan elegan sememangnya idea bijak untuk memastikan gaya Scandinavian bersulam mewah jelas terpancar di kediaman ini.

KONGSI DI Share on FacebookTweet about this on TwitterPin on PinterestShare on Google+Email this to someone