GLAM Deko Ruang – Trend Rekaan Dapur

Teks : Suhana Desa
Gambar : Google 

 

Konsep rekaan dan binaan kabinet dapur yang baik tidak pernah mengabaikan nilai fungsinya. Pilih gaya yang menepati cita rasa, bajet dan keluasan sedia ada agar aktiviti harian lebih lancar, seiring gaya hidup seisi penghuni.

 

GAYA INDUSTRIAL

 

Berpegang kepada bentuk, fungsi dan nilai estetika. Reka bentuk industrial adalah gaya yang diangkat sepanjang tahun dan bakal kekal menjadi pilihan untuk penataan ruang dapur. Bermain tekstur tanpa penyudah, permukaan kemasan yang seolah-olah tidak siap, reka bentuk minimalis dan arah aliran yang diilhamkan daripada ruang kilang. Ini adalah inspirasi yang menggabungkan keindahan bahan-bahan seperti kayu, batu dan konkrit gabungan bersama kemasan inovatif.

 

 

KABINET HANDLELESS

 

Rupa linear keseluruhan terbukti sangat popular di dapur moden hari ini. Rekaan kabinet handleless untuk gaya yang sederhana namun moden, terutamanya dalam kemasan gloss dan warna-warna tanah kelabu atau neutral. Permukaan kayu dengan efek ira dan warna kayu lebih popular diterima, selain turut dicat dengan ajnas warna pilihan dalam kelompok warna natural dan tidak terang. Dapur tampil lebih elegan dan fleksibel.

 

 

PENSTORAN BIJAK

 

Dalam konsep rekaan dapur, pereka lebih suka untuk menyembunyikan peralatan dan kelengkapan dapur. Binaan laci bersaiz dalam dan memanjang antara penyelesaian penstoran bijak dan berkualiti tinggi. Gabungan antara gaya dan elemen praktikal mencipta wow factor  pada sentuhan rekaan dapur.

 

 

TON MONOKROM

 

Populariti rona kelabu, hitam dan putih kembali popular. Warna-warna ini mudah untuk disuai padan, sama ada pada rekaan keseluruhan kabinet, kaunter kerja atau peralatan dapur. Suntikan warna-warna senada, seperti aksesori menambah aksen dan butiran pelengkap gaya di dapur.

 

AKSEN TEMBAGA 

 

Kemasan tembaga pada seleksi aksesori dan peralatan dapur tampil sebagai alternatif kepada keluli tahan karat dan hitam untuk melengkapkan penampilan kabinet untuk penampilan lebih sofistikated.

 

 

KONGSI DI Share on FacebookTweet about this on TwitterPin on PinterestShare on Google+Email this to someone