GLAM DEKO Jurnal – Eksplorasi Johor


 
Kembara kami ke Johor Bahru penghujung tahun lalu adalah untuk merakamkan beberapa kediaman dengan seleksi gaya berbeza untuk dikongsikan bersama pembaca GLAM Deko. Untuk itu saya telah menguruskan pengangkutan yang bakal membawa saya untuk perjalanan ke kota utama yang terletak di selatan tanah air. Kesesuaian dan praktikaliti menjadi kunci utama. Hakikatnya saya bukanlah seorang yang bijak dalam mengemas pakaian untuk tugasan luar menjadikan saya mahukan sebuah kenderaan yang menyediakan ruang tambahan yang besar. Selain itu, tuntutan tugas menjadikan saya perlu merangka perkakasan lain untuk menyiapkan tugasan lain dalam masa yang sama.
 
Rekaan yang ringkas juga mudah dikendali turut menjadi kunci mengapa saya memilih BMW model i118. Mereka turut menawarkan beberapa pilihan lain, tetapi saya lebih terpaut kepada yang satu ini. Satu perkara yang saya sedari usai menggunakan kenderaan ini adalah penjimatan minyak yang begitu mengagumkan. Biarpun perjalanan jarak jauh, disertakan perjalanan di dalam bandar kerana kebanyakkan pergerakkan dari satu lokasi ke lokasi yang lain untuk penggambaran, model kenderaan ini tidak memerlukan saya kerap mengisi petrol.
 
Berbicara mengenai tempat penginapan, Editor GLAM Deko telah mengaturkan kami mendiami di salah sebuah pembangunan hartanah premium yang menawarkan seleksi kediaman mewah dengan pelbagai gaya berbeza. Kebetulan pula Vila Pengarah yang dikhususkan kegunaannya untuk ahli lembaga pengarah apabila mereka berkunjung ke sini tidak digunakan pada masa ini. Oleh itu salah satu unit dikhususkan kepada kami selama seminggu seperti yang telah dipersetujui.
 
Menariknya di Leisure Farm, pemaju menawarkan beberapa khidmat tambahan seperti kenderaan ulang alik ke tempat tarikan pelancongan lain seperti Legoland dan Taman Tema Hello Kitty, yakni dikhususkan buat pemilik kediaman yang berkeluarga. Praktikal jika anda mempunyai sahabat dan saudara yang datang berkunjung. Kediaman serba lengkap dengan gaya kontemporari moden ini sememangnya bagaikan kediaman sendiri setiap kali kami penat menjalankan tugas seharian. Saiz kediaman yang praktikal memberikan banyak ruang privasi biarpun menginap bersama empat orang teman sekerja. Kediaman serba lengkap ini sememangnya menjadi idaman.

KONGSI DI Share on FacebookTweet about this on TwitterPin on PinterestShare on Google+Email this to someone