Retorik Khas Aidilftiri: Jauh Di Mata, Dekat Di Hati

Retorik Khas Aidilftiri: Jauh Di Mata, Dekat Di Hati

Oleh: Reena Hassan
 
langkawi-bon-ton-resort-2_tn

Betapa saya rasakan sudah terlalu lama meninggalkan bumi bertuah, Malaysia. Bukan setahun dua, tetapi tahun ini genaplah 20 tahun saya berumah di tanah asing. During university years, I had the best time of my life. Selepas graduation, saya fikir, sebelum pulang ke tanahair lebih baik timba pengalaman bekerja dulu. Lebih bagus jikalau dalam resume ada tertera pengalaman bekerja di luar negara bukan? Tak sangka pula, sebaik memulai tugas, saya mula merasai keseronokkannya. Dari satu tahun, ke satu tahun. Ibu bapa di kampung halaman sudah merengsa mahu saya pulang. Tapi alasan saya, setahun lagi. Alasan yang sama diberi setiap kali disoal, sampailah ketikanya saya bertemu dengan seorang lelaki Mat Saleh. Saya nekad mahu berkahwin dengannya. Bayaran kepada kebahagiaan itu, saya diperlukan menetap terus di bumi asing. And the rest is history…
 
Saya asalnya hanya anak kampung yang diberi peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara atas biasiswa kerajaan. Sewaktu menerima khabar gembira itu, ibu bapa saya terus merancang kenduri kesyukuran. Namun impian ibu bapa mahu melihat saya pulang dan bekerja di Kuala Lumpur terus pudar akibat saya terlalu keras hati mahu mengejar ‘cita-cita’ di luar negara. Apatah lagi setelah menemui cinta sejati, keputusan untuk terus mendapatkan green card di luar negara mengundang kekecewaan ibu bapa dan seluruh keluarga. Beria-ria saya berjanji yang saya akan pulang ke tanahair sekali setahun, setiap kali menjelang Aidilfitri.
 
Lima tahun pertama, saya tepati janji. Pulang bersama suami, hari Raya bagaikan sebuah keramaian buat saya yang bersuamikan ‘orang putih’. Keluarga, saudara-mara, jiran sekampung; semuanya memberi layanan istimewa kepada kami berdua. Lebih-lebih lagi bila kami suami isteri menimang cahaya mata pertama. Orang keluar masuk rumah mahu menengok bayi kacukan kami. Everything’s perfect… sehinggalah bilangan anak mula bertambah menjadi tiga orang. Janji tinggal janji. Mahu pulang ke Malaysia, setahun sekali pun bukan semudah dulu kerana tiket penerbangan bukannya murah. Lagi pun anak-anak makin membesar, masing-masing ada aktiviti sekolah yang membuatkan sukar untuk kami pulang ke tanahair untuk jangka masa lama. Atas sebab itu, kami sekeluarga hanya kembali ke Malaysia selang beberapa tahun sekali. Itu pun bukan cukup lima beranak.
 
Sambutan di kampung semakin suram. Yang muda bertambah tua. Yang tua dulu, kini sudah tiada. Emak selalu memujuk supaya saya dan suami cari sahaja kerja di Kuala Lumpur. Boleh juga dapat selalu jenguknya di kampung. Saya hanya memberinya janji kosong. Tak mungkin kami dapat tinggalkan kehidupan yang sudah kami bina di luar negara hampir 20 tahun. Pujuk Emak lagi, bagaimana kalau dia atau Abah jatuh sakit? Tidakkah terlalu jauh untuk kami anak-beranak pulang? Tinggal di benua lain, paling kurang masa perjalanan adalah 24 jam! Ada tahun-tahunnya bila saya memang tidak dapat pulang, saya akan kirimkan sejumlah wang buat ibu bapa sebagai persiapan Raya. Walau berat hati, tapi itu sahaja yang termampu saya buat. Hanya menelefon bertanya khabar dan menghantar gambar sebagai pengganti diri dari kami sekeluarga.
 
Tahun lepas, sewaktu minggu pertama Ramadan. Saya menerima khabar yang paling menyedihkan. Abah dipanggil Ilahi dan saya tidak ada di sisi. Sesal tak sudah. Dalam hiba, saya cuba merancang kepulangan kami sekeluarga. Namun ada saja halangannya. Suami dengan tugasan yang belum dilangsaikan, anak-anak sedang menghadapi peperiksaan besar. Saya menelefon kakak bertanyakan pendapatnya. Jawabnya, tak perlu susah payah pulang. By the time kami sampai, Abah sudah selamat pun dikebumikan. Walau teramat sedih, saya berjaya mengatur perancangan untuk pulang sewaktu hari Raya nanti. Setibanya di tanahair, kami sekeluarga berkunjung ke pusara Abah; sambil ditemani Emak. Kata Emak perlahan, “Kan Mak dah kata…”
 
Tahun ini genap 20 tahun saya bermastautin di luar negara. Raya bakal menjelma lagi dalam sebulan dua. Tiba-tiba hati ini begitu sayu mengenangkan segala yang sudah jauh saya tinggalkan. Suasana kampung halaman sewaktu Raya dengan jamuan ketupat, rendang dan pelbagai macam juadah membuka selera. Anak-anak kecil semuanya melaram dengan baju baru, berkunjung dari rumah ke rumah mengumpul duit Raya.
 
Memerhatikan anak-anak sendiri, definisi Raya pada mereka seperti tidak begitu bererti apabila tinggal di dalam komuniti di mana Islam menjadi minoriti. Usahkan bercakap pasal tradisi, berbahasa Melayu pun tidak lancar. Segalanya membuatkan saya sendiri kadang-kala celaru identiti. Doa saya semoga ada jalan buat saya sekeluarga untuk kembali ke Malaysia dan menetap terus di sana. Paling tidak, berikan kesempatan bagi saya untuk menemani Emak dihujung usianya.
 
Reena Hassan sudah bermastautin di luar negara hampir 20 tahun. Walau sudah membina kerjaya, berumah tangga dan beranak-pinak di tanah asing, rindunya pada bumi kelahirannya terus menebal.
 
*Dipetik dari GLAM Julai 2014
 
 

See also
Retorik: Hipokrasi Antara Peminat & Selebriti