Retorik: Antara Cita-Cita dan Sambil Lewa

Retorik: Antara Cita-Cita dan Sambil Lewa

11402685723_73f095db54_o

Oleh: Shah Shamshiri

 

Kala saya menulis petikan ini, saya sebenarnya sedang berada dalam keretapi dari Seoul menuju ke Busan di Korea dan kita baru sahaja menyambut tahun baru 2014. Kebetulan saya meraikannya di bandaraya Seoul bersama seorang rakan karib yang juga berkerja dalam industri hiburan dan media di Malaysia. Sambil menanti detik 12 malam, kami sama-sama membahaskan soal azam tahun baru serta rancangan masa depan masing-masing.

 

Kata rakan saya si A,dia mahu mencuba sesuatu yang baru dalam mengembangkan kerjayanya. Dia ingin lebih aktif menulis. Teman saya A, memang orangnya berbakat besar dalam penulisan. Bijak mengarang cerita dan indah susunan katanya. Saya sendiri dari dulu sudah nasihatkan dia untuk tidak berhenti menulis, terus mendalami bidang yang dicintainya itu.

 

Saya galakkan dia menceburi arena penulisan kerana saya percaya tak semua orang diberi peluang dan dianugerahkan kebolehan yang sama. Bakat dan kebolehan itu rezeki dari Yang Kuasa. Tapi kadangkala, ramai yang tidak sedari hakikat itu dan suka take things for granted dan mengambil perkara sambil lewa.

See also
Perit Hati Ain Edruce Menghalang Perasaan Cintanya Terhadap Miller Khan

 

Bercakap mengenai taking things for granted, dalam kerancakan kami bercerita mengenai apa yang ingin dicapai pada masa hadapan, kami teringat kisah beberapa ‘orang media’ yang menjadi bahan bualan rakan-rakan lain.

 

Ada kisah si B yang katanya berpendidikan tinggi dan cuba berjinak-jinak dalam dunia media tapi seribu kali sayang hasil kerjanya tidak ke mana. Kehadirannya di majlis-majlis besar bersama selebriti-selebriti dalam dan luar negara sering dipertikaikan. Ada yang kata dia hanya ingin bergambar dengan mereka yang cantik dan popular semata-mata. Semua hadiah yang diberikan kepada pihak media dia mahu tapi kerja yang diharapkan darinya tidak sebegitu.

 

Daripada apa yang kami tahu dia bijak orangnya dan pernah melanjutkan pengajian sampai ke luar negara tetapi mana pergi hasilnya? Dia pernah diberikan peluang yang lebih istimewa untuk melangkah jauh menimba ilmu dan tidak semua orang dapat peluang tersebut.

 

Kalau orang seperti B terus-menerus mengambil kesempatan dengan hal-hal seperti ini, dia hanya mencemar nama baiknya sendiri dan secara tidak langsung membuat orang lain beranggapan yang sama mengenai warga media lain. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga, kata pepatah Melayu.

See also
Datin X: Kaduk Naik Junjung

 

Ada lagi kisah ‘orang media’ lain yang taksub mengejar populariti, sampai sanggup meninggalkan kerjaya tetap yang sebenarnya boleh dianggap bagus dan selesa. Itu juga seperti mensia-siakan anugerah yang diberikan Tuhan. Tak mengapa kalau memasang cita-cita baru tapi biarlah realistik. Kalau sudah bakat itu bukannya di ‘situ’, jadi mengapa mahu dikejarkan juga? Kerana glamor?

 

Andai bercita-cita nak jadi penari sampai sanggup meninggalkan kerjaya tetap, fikirlah masak-masak dahulu. Kalau menari pun setakat umpama konsert budak-budak tadika, lebih baik fokus sahaja pada kerjaya yang sedia ada.

 

Kalau bercita-cita nak jadi usahawan, nak buka restoran dan seumpamanya, pastikan yang anda sudah mempunyai semua yang diperlukan. Bukan sekadar modal dan wang sahaja tetapi ketabahan mental serta emosi juga. Jangan nanti menyesal kemudian hari. Cuba belajar ukur baju di badan sendiri.

 

Saya bukanlah seorang yang arif menghakimi masa depan orang tapi saya juga punya pengalaman. Saya sudah lebih sedekad berkerja dan bergaul dengan orang seni serta media. Saya tahu kisah-kisah susah dan senang mereka. Ada yang benar-benar berjaya kerana punya bakat seluas semesta dan berani mengorbankan kerjaya bergaji tetap. Namun, ada juga yang gagal kerana tak ada ciri-ciri yang diperlukan untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.

See also
Retorik: Jangan Sampai Deria Jadi Mati- oleh Amir Luqman

 

Apa yang ingin saya kongsikan hanyalah sekadar pendapat dan luahan rasa sahaja. Selain itu, secara tidak langsung ia juga merupakan peringatan buat kita semua supaya tidak mensia-siakan bakat anugerah Tuhan dan tidak mengejar angan-angan tanpa usaha serta persiapan secukupnya.

 

Ingat. Semua kejayaan itu bermula dengan mimpi. Tapi janganlah bermimpi tanpa mempertimbangkan realiti yang sedia ada. Kalau ada rezeki dan bakat, gunakanlah sebaik-baiknya. Jangan ambil sambil lewa. Dan seandainya ingin berkorban untuk mengejar sesuatu, pastikan anda sudah siap menerima akibatnya sekiranya perjuangan anda itu nanti sia-sia belaka!

 
Pengacara dan penulis, Shah Shamshiri  bertugas di sebuah stesen TV kabel digital tempatan. Dia juga penulis lirik buat ramai artis serantau selain menjadi penterjemah sambilan.

 

*Dipetik dari GLAM edisi Februari 2014