Retorik: Mencari Cinta Sejati

Retorik: Mencari Cinta Sejati

Young elegant wedding coupleGambar: INGimage

 
Adakah anda bersama pasangan secocok? Adakah dia jodoh kamu yang sebenarnya?
 
Setiap perhubungan ada kitarannya. Permulaannya, anda jatuh cinta dengan pasangan. Menunggu setiap masa panggilannya, rindu sentuhannya. Segalanya indah. Jatuh cinta bukan susah sangat. Ia naluri normal, fitrah manusia dan berlaku spontan secara semulajadi. Anda tak payah lakukan apa-apa. Itu sebab ia dinamakan jatuh cinta.
 
Orang yang jatuh cinta kadang-kala menggambarkan rasanya seperti terbang di awangan. Gambarkan dan fahami bak kata itu. Tanpa melakukan apa apa, tanpa diduga, tetiba sesuatu indah berlaku pada anda. Jatuh cinta adalah pengalaman yang pasif tetapi spontan. Akan tetapi selepas beberapa bulan atau beberapa tahun bersama. Kehebatan cinta itu mula pudar. Ia adalah kitaran biasa dalam perhubungan. Lambat laun, panggilan telefon menjadi satu gangguan (itu pun kalau ada panggilan daripada si dia), bila disentuh terasa jelek dan apa jua kerenah pasangan nampak menjengkelkan. Jauh berbeza dari dulu. Peringkat simtom ini berbeza dalam setiap perhubungan. Anda akan perasan perbezaan ketara antara peringkat pertama masa anda jatuh cinta kepada peringkat kemudian yang sangat membosankan, kadangkala membangkitkan kemarahan lalu tercetus pergaduhan.
 
Pada saat ini, anda dan pasangan akan mula menyoal diri masing-masing, “Adakah pasangan saya secocok dan adakah dia jodoh yang sebenar-benarnya?” Juga apabila anda mula mengimbas kembali kehebatan cinta anda terdahulu, keinginan untuk mengalami semula kehangatan cinta bersama orang lain akan timbul. Pada ketika ini perhubungan antara anda berdua mulai retak.
 
Kunci kejayaan dalam sesuatu perhubungan sebenarnya bukan mengenai mencari pasangan secocok tapi mempelajari memupuk cinta bersama pasangan anda. Ramai orang menyalahkan pasangan masing-masing bila hubungan hambar, lalu mula mencari kegembiraan diluar untuk kepuasan hidup. Perhubungan terlarang mencipta konflik baru dan tentu sekali membuatkan situasi sedia ada lebih parah.
 
Kecurangan bukan suatu yang asing. Adakalanya salah seorang daripada pasangan itu akan mula memberi tumpuan lebih pada kerja, hobi baru, kawan-kawan, ketagihan marathon televisyen atau pengambilan dadah eksotik. Jawapan penyelesaian sebenarnya kepada dilema ini bukan diluar perhubungan ini tapi di dalam perhubungan itu sendiri.
 
Saya tak kata anda tak boleh jatuh cinta dengan orang lain selepas pasangan anda. Anda boleh tapi anda hanya akan rasa bagus buat sementara saja kerana anda tetap akan balik pada kitaran sama dalam beberapa tahun kemudian. Kunci kejayaan dalam sesuatu perhubungan cinta bukan dengan mencari pasangan secocok tapi belajar memupuk percintaan dengan pasangan anda dan menerima ketidaksempurnaan si dia dengan seadanya. Mengekalkan cinta diusahakan setiap hari. Ia mengambil masa, tenaga dan kesabaran. Paling penting, ia memerlukan kebijaksanaan untuk mengendalikannya. Anda harus tahu apa yang harus dilakukan untuk pastikan ia berjaya, mencari X factor itu. Jangan buat kesilapan dalam perkara ini.
 
Cinta itu bukan misteri. Ada beberapa perkara spesifik, tertentu yang boleh anda lakukan (bersama atau tanpa pasangan anda). Seperti mana hukum alam, ada juga hukum untuk perhubungan cinta. Jika anda tahu menggunakannya, hasilnya boleh diramalkan.
 
Maka cinta itu bukan satu keputusan, bukan satu perasaan sahaja. Cinta itu pelbagai. Cinta itu bukan satu kelemahan malah ia satu kekuatan. Pasangan paling cantik adalah yang mengenali penderitaan, kekalahan, kehilangan. Perlu tahu ada sikap saling menghargai, sensitif dan sefahaman dalam menempuh kehidupan bersama. Dari cinta, mereka menjadi definisi sebenar kepada pasangan sehati sejiwa, justeru kawan baik, mencintai hingga ke akhir akhirat.
 
Tuhan menentukan siapa yang bakal hadir dalam hidup anda. Ia terpulang pada anda siapa yang anda lepaskan, siapa yang anda kekalkan dan siapa yang anda tidak akan membenarkan pergi.
 
Oleh: Warren Fernandez
 
 
Dipetik dari GLAM Mac 2014
 
 

See also
GLAM Deko Destinasi - Antik & Vintaj di House of Hazienda