Korner Mak Datin: Isteri Kedua Makan Hati bila Datuk Rancak Tambah Bini

Korner Mak Datin: Isteri Kedua Makan Hati bila Datuk Rancak Tambah Bini

suzana9Gambar: Arkib GLAM

 
Pagi itu saya bertemu dengan Datin Ros untuk sarapan bersama di kediamannya. Memanglah santai di tepi kolam di halaman vila Datin Ros dan Datuk Zin cukup yang menenangkan. Datin Ros memang sudah train pembantunya untuk mahirkan diri dengan pelbagai hidangan dan kali ini saya berpeluang bersantap nasi dagang dan kuih muih selera Kelantan. Manis-manis semuanya, tapi itu juga menceriakan pagi kami itu.
 
“Jemput makan ya Datin. Kalau kuih ni tak habis, you bawa balik sikit ya. Si Mia ni buat banyak sangat, maklumlah baru belajar buat Jala Mas dengan Puteri Mandi ni,” ujar Datin Ros tenang seraut wajah manisnya itu.
 
Ketenangannya mungkin berkat kesabarannya melalui pelbagai suka duka juga. Walaupun hidup dalam kesenangan, soal hati hanya simpan dalam diri. Suaminya Datuk Z orangnya hebat, hartanya melimpah, kereta mewahnya berderet. Dikurniakan seorang isteri yang bagi saya sangat baik orangnya. Hebat dalam hal urusan rumahtangga, Datin juga rajin menghadiri acara-acara agama dan aktif dalam melakukan kerja-kerja amalnya. Allah sesungguhnya lebih mengetahui kemampuan setiap hambaNya. Bagi Datin Ros dia sememangnya isteri yang sangat patuh, taat dan saya katakan dia hampir sempurna. Walau ada pembantu rumah, pemandu peribadi dan tukang kebun dia tidak betah duduk diam, masak makan untuk seisi rumah dilakukan sendiri. Sebut sahaja apa jenama yang tiada di geroboknya, emas berlian dan permatanya, tidak terhitung lagi!
 
Jadi bila ada vila tersergam begitu, wang dalam gengaman, yang memandang diluar jadi bernafsu untuk memiliki apa yang Datin ada! Datuk ahli perniagaan terkenal, sebut sahaja namanya semua orang tahu. Ramai wanita diluar mula menghimpit cuba mencuri hati Datuk dan jika boleh mahu masuk carta sebagai isteri tak kisah nombor yang ke berapa! Datin menceritakan pada saya bagaimana Datuk tewas di tangan seorang wanita yang akhirnya disunting menjadi isteri keduanya. Datin mula merasa pahitnya rumahtangga bila mula dimadukan. Segalanya sudah harus diterima, berbagi masa dan malam untuk tidur, berbagi segala harta masih tidak dirasai tapi berkongsi kasih itu memang yang perit.
 
Lalu bermulalah chapter baru dalam hidup Datuk dan Datin bila sudah punya insan ketiga dalam keluarga. Perkahwinan yang selama ini dibina hampir 15 tahun kini melalui satu fasa baru. Bagi Datin akhirnya dia redha dan percaya penuh pada qada dan qadha ketentuan Allah. Dia merelakan diri berkongsi segalanya.
 
Tidak pernah bersua muka dengan isteri yang baru memasuki carta, tapi Datin tahu madunya itu pada awalnya mempunyai keluarga yang sempurna. Apabila bertemu Datuk dia sudah mabuk pada harta dan kekayaan Datuk dan perniagaan Leena, si isteri baru itu sedang menghadapi masalah kewangan jadi Datuk ialah bank ekspres dan jalan keluar yang terbaik dalam menyelesaikan masalah.
 
Dikhabarkan Leena mohon tuntutan cerai dari suami yang dulu atas alasan kerana suaminya sakit dan tidak lagi berdaya untuk memberikan nafkah zahir dan batin. Selesai kes mereka terus berkahwin. Dari latarbelakang Leena sebagai ahli perniagaan pastilah dia jauh lebih arif tentang wang ringgit dan bagaimana mahu mengokong dan mengaut wang ringgit Datuk. Kata Datin, Datuk jadi dungu berkeping-keping cek ratusan ribu ringgit melayang pada Leena. Datin tidak kuasa mahu bising atau mahu bergaduh dengan Datuk kerana jumpa pun sudah sesekali sahaja jadi tak daya mahu mencari pasal bila Datuk muncul di vila.
 
Datuk memang sayang pada Datin dan dari perkahwinan ini mereka ada zuriat yang ramai, anak-anak jua sudah besar panjang. Namun dia sudah terjebak dalam gengaman Leena. Malahan cerita Datin Leena ini kuat benar berpegang pada benda-benda yang syirik, pelbagai benda-benda pelik yang dilalui Datin. Namun Datin tidak gentar, dia orangnya memang kuat agama. Jadi apa pun yang dihantar kepadanya dia hanya bergantung pada Allah dan yakin sepenuhnya bahawa dia akan dilindungi. Cuma kasihan Datuk kerana semakin hari semakin bodoh jadinya.
 
Dia duduk di rumah Leena jadi tidak dapat dibayangkan apa yang Leena berikan pada Datuk. Sampai satu masa pemandu sudah tidak tahan dia mengadu pada Datin secara diam-diam bila terlihat pelbagai benda-benda pelik di rumah Leena. Tidak cukup dengan itu kata pemandunya lagi, Leena minta wang yang sangat banyak, Datuk pula bagai lembu dicucuk hidung menurut sahaja jumlah yang diminta. Datin berendam air mata melihat suami dah jadi bodoh dikerjakan Leena. Jadi Datin pun atur strategi, anak-anak mula main peranan. Diajak ayah ke sana sini bercuti satu keluarga, diminta wang belajar yang mesti dimasukkan ke akaun setiap bulan.
 
Datin juga sudah mula terbang ke sana sini menghibur hati bersama teman-teman. Tidak lagi mahu menunggu setiap hari depan pintu kepulangan Datuk. Buat apa mahu susahkan hati sedangkan Leena senang mengaut harta dan mengikis Datuk habis-habisan. Bagi Datin pedulikan Datuk hendak buat apa dan dimana dengan Leena. Lantaklah jika Datuk tidak lagi mengikut jadual bergilir-gilir bersamanya, atau mahu melebih-lebihkan Leena. Pada dia jika suaminya pulang dia akan menjalankan tugasnya sebagai isteri seperti biasa seperti yang Datuk kenali dari hari pertama berkahwin. Kasih Datin Ros pada Datuk mungkin tidak sama lagi, cuma sebagai isteri dia tahu hukum hakam dan tanggungjawab pada si suami.
 
Pendekkan cerita, Leena semakin sakit hatinya, kerana jika boleh dia mahu jadi yang pertama di carta. Datin orangnya tidak pernah mencari gaduh. Sifat sabar yang ada pada Datin itu semakin menyakitkan hati Leena. Datuk kemudiaannya membina sebuah vila lengkap dengan kolam renang buat isteri pertama di kawasan elit negeri itu.
Lagilah Leena jadi tidak menentu, lalu dia paksa Datuk dan mahu jugak berpindah ke rumah dan bidang tanah yang jauh lebih besar. Bila Datuk tukarkan kereta Datin Ros yang terbaru di pasaran Leena juga mahu yang sama. Leena tidak mahu berada di carta kedua dalam apapun. Dia mahu mengungguli dan berada di atas!
 
Datuk sering dilihat teman-teman Datin dengan seorang wanita lain. Dan ramai tahu itu bukan Leena, sudah ramai yang menjadi wartawan tidak rasmi pada Datin Ros. Datin orangnya memang cool tidak mudah melatah. Satu hari di vila Datin menerima kunjungan teman Datuk yang bernama Qaira. Qaira ini memang dikenali ramai kerana dia adalah ejen insurans dan secara sambilan juga memasarkan kain-kain berkualiti tinggi yang dibawa dari luar negara. Jadi perkenalan Datin dan Qiara pun bermula senja itu.
 
Qaira difahamkan dahulunya berkhidmat di sebuah syarikat insuran antarabangsa. Punya suami dan anak seramai 6 orang. Jadi kini suaminya bekerja biasa-biasa sahaja maka kerana itu dia perlu berusaha keras menjalankan perniagaan kerana membantu keluarga. Kemudiannya Datuk memaklumkan pada Datin bahawa dia melantik Qaira untuk membantu segala urusan kewangan dan pelaburan-pelaburannya kerana percaya pada bakat Qaira yang bijak berurus niaga. Datin menerima dengan hati terbuka malahan Datin juga semakin rapat dengan Qaira yang cukup yakin dan jelas tegas dalam soal kerja.
 
Suatu hari teman baik Datin Ros, Datin Nora menyampaikan kepadanya bahawa dia sering bertembung dengan Datuk dan Qaira agak kerap, Datin terus membetulkan tanggapan dan memaklumkan yang Qaira adalah pekerja Datuk. Bukan hanya Datin Nora, malah beberapa lagi teman dari yayasan kebajikan yang dinaungi oleh Datin turut bertanya sejauh mana hubungan Qaira dengan Datuk tetapi tak berani pula nak soal jika Qaira memang sedang menggoda Datuk.
 
Begitulah luhurnya hati Datin. Namun akhirnya seorang teman yang memang mengenali Qaira agak rapat memberitahu Datin supaya lebih berhati-hati kerana Qaira memang cepat mesra dengan lelaki dan dia kadangkala agak berlebih-lebih dengan sesiapa saja lelaki yang berurusan dengannya.
 
Datin Nora tidak bertemu Datin hampir berbulan lamanya. Jadi bila dia kembali ke Malaysia, dia merencana pertemuan dengan Datin Ros semula. Pada pertemuan itu Datin Ros memaklumkan bahawa Datuk sudah berkahwin dengan Qiara! Dan lebih memeranjatkan lagi Datuk dipaksa ceraikan Leena untuk Qaira memasuki carta sebagai yang kedua! Kata Datin memang dia sendiri benar-benar terkejut dengan apa yang sudah berlaku.
 
“I’m so sorry Ros, I bukan nak reka-reka cerita tapi memang I sendiri yang nampak dan tegur Datuk. Tapi Datuk senyum saja dan terus keluar dari kafe tu,” cerita Datin Nora yang mulanya cukup ralat nak khabarkan berita mengejutkan ini kepada Datin Ros.
 
Dia mempercayai Qaira dan tidak pernah beranggapan yang tidak baik terhadap wanita itu malahan menerima Qaira seperti adiknya sendiri. Jika sebelum ini dia merasakan Leena seorang yang tidak berhati-perut rupanya Qaira lebih dahsyat dari itu. Qaira memberikan syarat buat Datuk jika dia masuk carta maka Leena harus keluar dari carta!
Qaira orangnya lebih gila dalam setiap tindakannya. Dan bagi Leena mungkin kini dia baru tersedar bagaimana dia sering menganiayai Datin Ros, madunya yang berlaku baik padanya. Kini dia merayu dan mahu memiliki Datuk sama seperti lima tahun Datuk hadir dalam hidupnya, Datuk sudah tidak pandang pada dia, Datuk sudah jatuh cinta pada Qaira! Apa yang Qaira mahu, apa yang Qaira suruh Datuk ikut bulat-bulat.
 
Leena pulak semakin desperate, pernah dia datang ke vila merayu-rayu pada Datin agak menyebelahinya, dia juga mahu supaya Datin Ros menasihatkan Datuk jangan berkahwin dengan Qaira. Datin diheret sama masuk ke keretanya dan dia bawa Datin ke rumah Qaira. Qaira tidak mahu keluar rumah hanya nampak kelibatnya berdiri dibelakang langsir. Leena yang dulu menggugat keluarga bahagia Datin kini melutut merayu dari Datin Ros untuk masuk campur dan menasihatkan Datuk untuk mengekalkan dia sebagai isteri kedua. Walaupun dengan semua yang berlaku Datuk menafikan yang dia akan mengahwini Qaira, jadi Datin Ros tidak ambil pusing lagi.
 
Satu hari Qaira datang ke vila Datin Ros dan memberitahu dengan angkuhnya bahawa dia kini sah bergelar isteri kepada Datuk. Datin Ros menyuruh Qaira pergi dan jangan sesekali lagi memijak kaki di vilanya. Qaira boleh ambil dan buat apa yang dia mahu dari Datuk asalkan jangan mengganggu dia dan anak-anak. Bagi Datin, Qaira seorang wanita yang sangat tidak beradab. Dilayan Datin sebaiknya tapi dia membawa racun dan virus baru dalam keluarga Datin Ros. Datuk merahsiakan hampir dua bulan perkahwinannya dengan Qaira.
 
Kali ini hati Datin Ros benar-benar remuk dan kecewa. Dia jadi pelik kenapa suaminya sibuk mahu bernikah dengan isteri orang dan ibu kepada anak-anak yang ramai. Jika yang dikahwini itu anak dara atau yang muda-muda masuk juga akalnya.
 
Sekembali Datuk di vila, Datin Ros bertanyakan tentang perkahwinan itu. Datuk mengangguk diam dan mohon maaf. Maaf untuk apa lagi kata Datin, hatinya kali ini sudah lemas dan tidak mampu lagi bernafas. Sesak memikirkan apa yang kurang pada dirinya sebagai isteri hingga tidak boleh melengkapi suami. Bagaimana pula mahu berhadapan dengan anak-anak bila mereka tahu ayah mereka begini lakunya.
 
Datin Ros hanya mahu meneruskan kehidupan seperti biasa, demi anak-anak yang sudah biasa senang. Tidak mungkin sanggup meragut kebahagiaan anak-anak demi mahu memerdekakan jiwa sendiri. Namun yang jelas Datin Ros sudah lebih banyak diam dari bicara pabila Datuk pulang ke vila. Jiwa dan kasihnya pada Datuk tidak semanis yang dulu lagi. Walaupun dipendam, jauh di sudut hatinya sentiasa berdoa suaminya akan sedar akan kelakunya yang mencalar keharmonian rumahtangga mereka.
 
Terbaru ini, khabar Datin, Qaira sedang menggila menuntut dari Datuk rumah besar, kereta baru sudah ditukar dan dia gayanya lebih dari Datin sebenarnya. Bekas suami masih bersedih kerana tidak menyangka Qaira boleh jadi segila ini. Anak yang enam itu ditinggalkan pergi. Pelik hati berfikir bagaimana naluri dia sebagai ibu, tidak sedihkah meninggalkan anak-anak.
 
Sekarang mungkin bahagia kerana usia masih muda, masih punya banyak tenaga, bagaimana jika suatu masa Allah ambil semua kembali nikmat yang diberikan? Pada ketika itu carta kita mungkin berada jauh dibawah pandangan dan rahmat Allah, jauh dari kasih sayang anak-anak.
 
 

See also
GLAM OKTOBER 2016