Korner Mak Datin: Datin Syok Berparti, Anak Terbiar, Suami Angkat Kaki

Korner Mak Datin: Datin Syok Berparti, Anak Terbiar, Suami Angkat Kaki

DatinX8
 
*Seperti yang diceritakan kepada Anna Freda
 
 
Menerusi bual berkumpulan di WhatsApp, kisah mengenai Datin Kat sedang hangat dibicarakan sekumpulan sosialit. Datin-datin senior yang sedang berdandan di salun terkemuka ibu kota pun memperkatakan mengenai Datin Kat. Sekumpulan media dari majalah glossy juga mengulas perihal sama. Tanpa diduga dua Datuk sedang bermain golf sudah pandai bergosip. Kebetulan agaknya kerana topik bicara mereka lebih kepada Datuk Zul, suami Datin Kat.
 
Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, Datin Kat yang dahulunya lepas laku kini tidak kelihatan di mana-mana. Wanita gemar bersosial itu hilang dari senario kehidupan kelas atasan tiba-tiba. Kemudian tersebar pula berita Datin Kat sedang berduka kerana keletah suami dan anak-anak. Soalnya salah siapa?
 
Datin Kat menjalani kehidupan diimpikan semua wanita. Punya suami berharta dan berpangkat Datuk. Dikurniakan sepasang anak perempuan dan lelaki yang sedang meningkat dewasa. Pada usia awal 40-an sudah miliki perusahaan berjaya (maaf kami perlu rahsiakan jenis perniagaannya).
 
Datin Kat bertuah kerana punya adik yang pintar menguruskan perniagaan. Membuat dirinya punya banyak waktu untuk diri sendiri. Wang bisnes bukan sumber utama kerana pemberian Datuk Zul setiap bulan lebih daripada mencukupi. Waktu Datin Kat banyak berhabis di salun, membeli-belah, bercuti, berpesta, menghadiri acara fesyen dan berparti bersama teman baik. Kiranya Datin akan muncul di mana-mana dalam dan luar negera.
 
Tengku E: “Kasihan…”
 
Sally: “Memang patut pun dia kena macam tu. Kalau tak Datin takkan sedar diri.”
 
Datin Ain: “Dah lama dia abaikan keluarga. Kasihan kat keluarga dia.”
 
Tengku E: “Tapi kira wake up call untuk kita semua juga.”
 
Datin Ain: “Kenapa pula kena mengena dengan kita?”
 
Sally: “Dah! Jangan sebab tu kita pula bermusuh.”
 
Dari perbualan di laman sosial, semakin panas perihal Datin Kat dibahaskan. Ada yang bersimpati dan ada juga yang mengeji. Itu lumrah dalam kehidupan. Padahal dahulunya Datin Ain paling akrab dengan Datin Kat. Alih-alih Tengku Eli pula yang mengucap simpati. Datin Kat sudah lama tidak menegur Tengku Eli. Apa sebabnya pun Tengku Eli tak tahu.
 
Kehidupan Datin Kat sungguh bebas dan di luar kawalan. Dia lebih utamakan gaya hidup sosial daripada segala-galanya. Anak-anak dijadikan boneka pelengkap hidup. Ibarat aksesori untuk tayangan umum sahaja. Kala mengandung dia tampil penuh gaya. Baju Pucci melekat di tubuh. Mahu kelihatan secantik mungkin di depan khalayak atasan walaupun perut sudah memboyot. Selepas bersalin seboleh mungkin tubuh kembali pada bentuk asal. Sesekali bersiar-siar sekeluarga pasti mahu dilihat keluarganya cukup sempurna. Datin Kat bangga diri dilihat seperti Victoria Beckham dan keluarga bahagianya.
 
Masakan tidak, dia memang wanita tercantik. Suami pula segak dan anak-anak sangat comel. Cuma sayangnya suami dan anak-anak lebih banyak ditinggalkan. Malah anak-anak lebih mesra dengan pembantu rumah berbanding dirinya. Tetapi Datin Kat tidak pernah peduli. Lebih mudah baginya melepaskan diri berliburan bersama teman-teman.
 
Apa lebih utama adalah penampilan diri. Setiap masa Datin Kat mahu dilihat tampil berbeza. Dia rajin menyusun pakaian perlu dipakai setiap hari. Seandainya pakaian habis (dirasakan habis kerana jarang dia ulang pakai semula pakaian sama dalam waktu terdekat), pasti dia membawa teman stylist atau personal shopper membeli-belah. Jenama besar pilihannya termasuk Gucci, Chanel, Christian Dior, Donna Karan, Marc Jacobs, Michael Kors dan semestinya Victoria Beckham.
 
Lokasi beli-belah semestinya di tempat asal butik itu sendiri – London, Paris, Itali, New York dan lain-lain. Kalau terdesak sahaja barulah dibeli di Kuala Lumpur. Itu pun dia akan minta orang kedai hantar terus ke rumah. Lantas namanya sering jadi tamu acara-acara terbesar jenama itu sama ada di Kuala Lumpur atau luar negara. Datin Kat takkan pernah terlepas menghadirinya. Dia cukup gembira pabila pereka itu menitipkan hadiah pakaian rekaan terbaru mereka buatnya.
 
Ketika itu banyaklah teman sosialit dan bukan sosialit menghimpit. Datin Kat tidak pernah loket dengan teman-teman. Sesiapa saja yang dibawa bertuah dapat menemaninya. Datuk Zul pun ditinggalkan di rumah. Bertuah sangatlah teman-teman Datin.
 
“Daddy, I ke Zurich seminggu bawa Sally berjalan. Katanya seronok ke Switzerland. Jadi I dah janji nak merasa keseronokan di sana,” ujar Datin Kat suatu malam.
 
Datuk Zul sekadar angguk dan meneruskan bacaannya menerusi telefon pintar. Datin bukannya meminta izin tetapi sekadar update aktivitinya minggu depan. Cakap pun tak guna. Keadaan itu berlanjutan sehingga anak-anak meningkat remaja. Si kakak sudah berusia 16 tahun manakala si abang berusia 14 tahun. Namun kedua-dua anak ini fizikalnya tinggi malah lebih besar dari usianya ikut baka si ayah berketurunan Arab.
 
Seminggu Datin Kat tiada di rumah, seminggu itu juga Datuk Zul menghilang. Kalau dua minggu Datin tak ada pun sama, cuma dia akan sesekali pulang menjenguk anak. Banyak yang mengetahui Datuk Zul dah lama pasang dua. Namun tiada siapa yang berani menyampaikan cerita kepada Datin. Atau mungkin juga Datin pura-pura tidak tahu.
 
Anak-anak kasihan menjadi mangsa keadaan. Mereka cukup segala-galanya kecuali kasih sayang. Dua beradik ini bersekolah di sekolah antarabangsa. Ketika menginjak usia 15 tahun Liyana dihantar ke sekolah berasrama di luar negara. Tinggallah Sufri sendirian. Hubungan dua beradik itu sendiri menjauh. Boleh dikatakan sejak kecil mereka hidup berdikari dan bebas melakukan apa sahaja tanpa pengawasan.
 
Hari perayaan disambut di luar negara sahaja. Datin Kat hanya mementingkan gambaran orang. Bagaimana kehidupannya dilihat. Muat turun gambar lebih penting terlihat kemesraan dan bahagia. Sebaliknya masing-masing melakukan rutin sendiri. Seorang ke Utara, seorang ke Selatan, seorang ke Timur dan Barat.
Emak borek, anak rintik. Semua dikejutkan dengan gambar-gambar berani Liyana dimuat turun di Facebook. Setahun di Barat perubahan besar terjadi. Tinggal pula di asrama keseluruhannya perempuan. Liyana mula berambut pendek dan berpakaian lelaki. “Hm, Liyana memang tomboy sejak kecil,” ujar Datin Kat memberi alasan.
 
Kemudian timbul kisah Sufri si anak bongsu Datin Kat. Mulai kelihatan mengenakan solekan. Pakaiannya juga semakin kewanitaan. Sehinggalah perubahan ketara pada wajahnya. Sufri juga sudah berhenti sekolah. Datin Kat pada mulanya tunjuk sporting dengan pilihan hidup anak-anak. Namun kepincangan keluarga mulai dirasakan.
 
Datin Kat kuat menegaskan zaman ini lebih terbuka. Dan kononnya dia mengikut arus zaman menerima keadaan anak-anak. Secara diam-diam dia mula menghangatkan semula hubungan dengan anak-anak. Sedikit terlambat tetapi Datin Kat positif mencuba.
Media mula memainkan peranan terutama blogger gosip. Hebah diceritakan kisah keluarga rosak akhlak Datin Kat. Lengkap dengan gambar-gambar sosial dirinya. Gambar anak-anaknya bersosial juga ada. Keadaan itu membuatkan hatinya dirusuh gerhana. Terutama ibunya di kampung mulai mengesan keadaan huru hara keluarganya.
 
“Kau biarkan anak sampai buat sesuka hati,” kata ibu Datin Kat yang masih berpegang kuat pada agama. “Mak, saya dah sediakan cukup lengkap. Tetapi budak zaman ini sukar dibentuk. Zaman berubah,” ujar Datin Kat membela diri. “Banyak lagi keluarga lain hidup di era ini masih berpegang adat, budaya dan agama kita. Kau tu selalu tinggal-tinggalkan mereka.”
 
Paling baru apabila Sufri sudah berubah rupa menjadi gadis jelmaan. Rupa paras langsung tiada rupa Sufri. Kening dibentuk runcing menyerlahkan mata bundar. Rambut ditambah panjang paras pinggang. Bibir terjuih dan dagu agak runcing dibantu dengan suntikan kecantikan. Dadanya lebih segar dari dada Liyana dan ibunya sendiri.
 
“Apa nak jadi dengan kau ni…?” soal Datin Kat. “Lah! Hari tu ibu kata okey sebab zaman sudah berubah. Su hanya ikut kata naluri Su,” ujar Sufri yang kini senang dipanggil Su. “Awak tengok anak kita tu,” adu Datin Kat kepada Datuk Zul yang diam sejak tadi. “Biarlah! Ada awak peduli mereka dulu? Kenapa awak nak kisah hari ini apa mereka nak jadi?” tempelak Datuk Zul tiba-tiba.
 
Apa lebih menggemparkan lagi apabila dikhabarkan Datuk Zul memang telah menduakan Datin Kat. Benar dia punya kekasih gelap sejak dahulu lagi. Gambar Datuk Zul dan kekasihnya telah tersebar di khalayak sosial atasan. Sudah sampai juga kepada media dan khalayak umum. Maklum sahajalah Datin Kat terkenal sebagai selebriti sosialit dan gambar-gambarnya sering ada di mana-mana majalah. Kiranya dia ikon fesyen golongan wanita kelas atasan.
 
Semestinya perihal Datin Kat menjadi bahan hangat dibicarakan. Terutama kelibat Datuk Zul dalam gambar dilihat mesra dengan seorang lelaki muda beraut wajah polos. Orang kata pretty boy atau anak ikan. Semua orang terkejut besar dengan pendedahan itu. Tidak menyangka selera Datuk Zul sebegitu rupa.
 
Banyak mengetahui Datuk Zul punya kekasih gelap. Malah apabila diusik tanya Datuk Zul tak pernah menafikannya. Dia akan tersenyum simpul dan mengakuinya. Cuma tiada siapa yang berani menyampaikan perihal itu kepada Datin. Semua teman-teman yang bertanya pula anggap kekasih gelapnya itu seorang wanita muda jelita lagi seksi. Rupa-rupanya…
 
“Memalukan. Patutlah awak tak kisah Dengan perubahan Sufri dan Liyana. Sebab awak pun sama!” amuk Datin Kat kecewa. “Awak punya kehidupan sendiri. Saya juga punya cara hidup saya sendiri. Apa nak dimalukan. Awak malu sebab mahu jaga status sosial awak kan? Saya peduli apa?” “Kenapa? Kenapa? Kalau perempuan saya tak kisah,” ujarnya masih sebal. “Betul awak tak kisah? Sebab kalau perempuan tak memalukan awak sangat kan?” “Tak guna cakap dengan awak. Selama ini semua salahkan saya pabila anak-anak jadi macam tu. Rupa-rupanya semua ambil contoh daripada awak.” “Masih hendak lepaskan diri. Awak jangan menuding jari kepada saya atau masyarakat atau zaman. Awak cuba kira berapa hari dalam sebulan, hm, berapa hari dalam setahun awak bersama kami? Okeylah, bersama anak-anak. Kala bersama pula, apa aktiviti awak buat? Ada awak berkomunikasi dengan mereka selain melayan telefon bimbit awak tu? Awak lebih banyak menghabiskan waktu dengan kawan-kawan, pereka fesyen dan stylist awak tu.”
 
Terpana Datin dengan kenyataan diberikan Datuk Zul. Punah sudah imejan keluarga sempurna diciptanya sendiri. Datin Kat tak kisah dengan pilihan hidup anak-anak tetapi dia cukup malu dengan kelakuan Datuk Zul. Betapa dia tidak menyangka sama sekali pilihan Datuk Zul adalah lelaki. Dia tak pernah mendapat isyarat itu daripada suaminya selama ini. Padanya Datuk Zul terbukti kelelakiannya atau sudah sekian lama keintiman mereka tiada jadi dia terlepas pandang selera baru Datuk Zul.
 
“Mak tak salahkan orang lain. Mak salahkan kau Katijah. Kau lupa asal usul pabila sudah berharta. Agaknya orang kampung kalau jadi kaya begitulah, lupa. Orang yang sudah biasa dengan kemewahan takkan jadi macam kau ni,” bebel emak Datin Kat ketika dia lari balik kampung melepaskan lemas di dada.
Tiga bulan sudah dia berada di kampung halaman. Itu pun tidak keluar rumah dek malu dengan jiran tetangga. Harapkan emak yang masih mahu menerima baik buruk dirinya. Begitulah berakhirnya dunia glamor Datin Kat sekelip mata. Dia bukan tidak suka meneruskan kehidupannya cuma terlampau malu dengan suami.
 
Sesekali dia ada ke bandar menjenguk perniagaannya. Jemputan masih diterima tetapi dia sering menghantar wakil, pengurus peribadi melunaskan tugas-tugas PR demi bisnes dan kontrak. Apakah Datin Kat akan kembali ke dunia glamornya semula membuat come back? Datin tak sabar menanti!
 
*Dipetik dari GLAM Ogos 2013
 
 

See also
Wonder Woman Mendominasi Dunia Dengan RM951 juta