Korner Mak Datin: Datin Merana, Kahwin Datuk 'Tin Kosong'

Korner Mak Datin: Datin Merana, Kahwin Datuk ‘Tin Kosong’

DatinXNEW
 
*Seperti yang diceritakan kepada Marini Mat Zain
 
Pulang dari urusan bank, Datin Suria atau kini mahu dikenali Suria merengus di ruang tamu. Sudah hampir setahun bercerai dengan lelaki bergelar ‘Datuk Tin Kosong’. Sebal di hati tidak terkira kerana dia terpaksa mengeluarkan simpanan sendiri untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak.
 
Datin mencampak jaket meninggalkan gaun tulip H&M bersarung di tubuh. Kemudian menghempaskan tubuhnya di sofa. Tas tangan chain strap Chanel yang tidak bertukar sejak dua tahun itu dipandang sepi di atas meja kopi. Saat ini dia benci dengan nasib menimpa dirinya.
 
Suria berkenalan dengan suami 10 tahun lalu di sebuah majlis tertutup seorang teman. Dia ketika itu masih bujang sedang mencari pasangan hidup. Bertemu pula teruna idaman Malaya, seorang lelaki kacak berstatus Datuk. Bujang lagi! Datuk Furqaan menghulurkan salam perkenalan yang tak mempu ditolaknya. Pada saat itu dirasakan dirinya seorang wanita yang paling bertuah kerana menjadi pilihan lelaki berdarjat itu.
 
Tak lama berkawan mereka terus mengambil keputusan untuk berkahwin. Acara berlangsung gilang-gemilang di hotel terkemuka ibu kota. Konsep perkahwinan dalam taman menjadi pilihan kerana sudah diidam-idamkan sejak kecil. Tetamu yang hadir pula daripada golongan elit ibu kota; kerabat, Tan Sri, Puan Sri, Datuk, Datin dan seluruh sosialit serta artis popular menjadi saksi penyatuan mereka. Keluarga dan sahabat handai pula turut bangga dengan jodoh ditakdirkan buatnya.
 
Sejak itu digelar Datin Suria dan dia bangga dengan panggilan itu. Perkahwinan mereka pula mendapat liputan meluas di kaca TV, akhbar dan majalah-majalah paling top di Malaysia. Masakan tidak kerana Datuk Furqaan terlibat secara langsung dengan dunia hiburan. Selain memilik perniagaan, Datuk sangat gemar melabur dalam produksi drama dan filem. Tidak hairanlah artis popular tanah air sudi mendendangkan beberapa buah lagu di majlisnya itu.
 
Mereka meniti saat bahagia dan dia melahirkan dua zuriat, seorang anak lelaki yang kini berusia sembilan tahun dan anak perempuan berusia enam tahun. Sejak berkahwin Suria berhenti kerja sebagai pegawai bank. Apatah lagi setelah bergelar ibu kerana mahu fokus kepada anak-anak. Pada saat itu hidupnya aman kerana Datuk masih memberi kemewahan buat dirinya.
 
Setiap bulan dia akan menerima elaun di antara RM5,000 hingga RM10,000 buat belanja dirinya dan anak-anak. Suria tidak pernah berkira malah merasakan jumlah itu sudah terlalu banyak buatnya. Masuk usia enam tahun perkahwinan dia bergaul dengan Datin Laura yang kemewahannya berlipat kali ganda. Sangka dia pula itu untung nasib individu. Mungkin suaminya lebih kaya.
 
Namun sudah dua tiga orang Datin ditemuinya punya elaun lebih besar daripada apa yang diperolehnya. Pada saat itu dia tidak ambil pusing kerana bahagia dengan suami tercinta dan dua anak mereka. Bersyukur sahajalah dengan apa yang dikurniakan, cuma Suria pada saat itu bijak melabur wang diberikan mungkin kerana dirinya bekas pegawai bank.
 
Dia tidak pernah berbelanja besar sekadar menukar pakaian dan tas tangan pada jenama digemarinya, Chanel setiap ada keluaran baru. Kadang-kadang Datuk Furqaan yang belikan. Wang selebihnya dia menyimpan dan melabur. Memang ada niat di hati ketika itu mahu membuka bisnes sendiri setelah anak-anak membesar kelak. Mungkin perniagaan butik, salun dan spa atau kafe.
 
Namun kini semuanya hancur kerana simpanannya mulai susut. Datuk pula tidak memberi nafkah, hampir tiga tahun sebelum perkahwinan mereka berakhir. Malah Datuk mula mengintai wang simpanannya dan setiap kali itulah pergaduhan akan timbul. Mujur Suria berkeras enggan mengeluarkan wang simpanannya. Bukan mementingkan diri sendiri tetapi kerana dia mula mendengar macam-macam cerita mengenai suaminya.
 
“Apa dah jadi dengan bisnes abang? Suria dah cakap fokus dengan satu, satu perniagaan. Abang sibuk nak melabur ke produksi,” ujar Suria tidak puas hati. Pihak media kecoh memperkatakan seorang pelakon popular sedang dibuai cinta asmara dengan Datuk F. Pada saat itu Suria sudah dapat menelah kerana pelakon itu sedang terlibat dengan produksi suaminya. Apabila diterjah, Datuk bermati-matian mengatakan ia hanya gosip semata. Adat dunia hiburan katanya cuba menutup mata hati Suria yang tidaklah sebodoh isteri-isteri lain.
 
“Maaf Datin kami mengajak Datin bertemu di sini,” ujar Akmal kakitangan produksi Datuk yang datang bertiga dengan Azlan dan Nura, juga pekerja Datuk. “Tak apalah Akmal. Kalau dapat saya bantu, apa salahnya.”
 
Sejak semalam dia dihubungi Akmal mewakili teman-temannya yang lain. Mereka bertiga adalah pekerja tetap Datuk yang menguruskan syarikat produksi Datuk. Mereka ini makan gaji dengan Datuk sejak dua tahun lalu.
 
“Maaf! Kami tak tahu nak meluahkan kepada siapa. Harap-harap Datin boleh pujuk Datuk,” ujarnya bernada rendah masih hormat pada dirinya. “Kenapa Akmal, cuba ceritakan apa masalah di pejabat?” “Kami sudah tak menerima gaji hampir enam bulan. Tetapi kami masih teruskan kerja kerana nampak potensi produksi Datuk.”
 
Hati Suria mulai rasa tidak sedap. Perasaan belas menyeliputi dirinya kerana enam bulan tidak bergaji, apalah dilakukan tiga sekawan ini untuk teruskan kehidupan di ibu kota yang serba mahal. Wang bayaran rumah dan kenderaan perlu disediakan  setiap bulan. Makan dan minum bagaimana? Kesal kerana Datuk tidak pernah berkongsi mengenainya.
 
Disebabkan kasihan dengan tiga sekawan itu lalu meminta mereka mengikutnya ke bank. Dikeluarkan wang dan diberikan setiap seorang tiga ribu. Hanya itu mampu diberikan kepada mereka. Suria menasihati Akmal dan dua temannya itu mencari pekerjaan lain yang lebih terjamin. “Jangan tunggu. Fikirlah masa depan kamu.”
 
Pulang ke rumah dia tidak tunggu lama, terus bersemuka dengan Datuk. Mereka perang besar buat kali pertama dalam sejarah perkahwinan mereka.
 
“Saya tak kisah kalau saya tidak diberi nafkah kerana sudah punya tempat berlindung. Tetapi jangan buat orang terutama kakitangan abang. Mereka juga perlukan wang untuk belanja hidup. Mereka setia dengan abang.” “Oh, patutlah masing-masing letak jawatan. Semuanya mendengar hasutan awak?” tengking Datuk Furqaan. “Memang patut mereka berhenti kalau enam tujuh bulan gaji tak berbayar. Abang ingat duduk di Kuala Lumpur mudah? Mereka makan gaji, tak ada gaji tak ada wang saku untuk belanja sara hidup. Sanggup abang tengok mereka makan pasir?” “Awak apa tahu fasal bisnes. Kalau filem tu laris, mereka juga yang untung nanti.” “Nanti tu bila? Tak ada pun saya lihat produksi berjalan? Kalau tak ada modal jangan berangan nak buat filem. Ada pelabur, tapi awak ‘makan’ mereka. Kalau pelabur-pelabur abang tahu duit itu digunakan untuk peribadi, bagaimana?” soal saya cuba menakut-nakutkan Datuk.
 
Dia tidak sangka perangai Datuk Furqaan seburuk itu. Setelah disiasat barulah Suria tahu yang perniagaan lama Datuk sudah diabaikannya kerana percaya syarikat produksinya akan maju. Tetapi filem pertama tidak mendapat sambutan lalu pulangan modal tidak seberapa. Pusing sana, pusing sini Datuk mengalami kerugian besar.
 
“Itulah jangan tamak, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Duit banyak-banyak bayar bil pelakon popular tu. Abang ingat saya ni tunggul kayu kat rumah? Saya ni pegawai bank dulu. Jangan ingat saya dah tak ada kaki,” ujar Suria geram.
 
Sanggup Datuk menghabiskan wang buat keluarga dan perempuan simpanannya dari menjaga pekerja-pekerjanya yang sudah enam bulan tidak bergaji. Adakah demi menjaga status atau apa? Takut kekasih hati lari mencari lelaki lain? Bukankah bodoh seorang lelaki sanggup menampung kehidupan perempuan murahan seperti itu? Sebab kecantikannya?
 
Sejak itu mereka tak tinggal sebumbung lagi. Suria menyuruh Datuk tinggal di pangsapuri lama milik Datuk. Ataupun tinggal sahaja dengan perempuan murahan itu, ujarnya berani. Dia sudah tak kisah lagi. Hatinya hancur dengan perbuatan Datuk. Selama ini dia cuba dipengaruhi Datin-Datin lain kerana elaun yang diberikan kepadanya sedikit tetapi dia cuba menepis semua. Rupa-rupanya perbelanjaan isteri telah dibahagi dua dengan perempuan murahan itu.
 
Beberapa bulan kemudian dia meminta cerai daripada suami kerana sudah tidak tertahan lagi. Rumah diduduki menjadi miliknya dan juga anak-anak. Datuk masih tinggal di pangsapuri itu. Setiap bulan juga dia berperang dengan Datuk kerana tidak mampu membayar nafkah anak-anak. Suria pun kini terpaksa membuka perniagaan dengan wang simpanan dan pelaburan dibuat sebelum ini. Dia juga meminjam wang memulakan perniagaan.
 
Setelah difikir-fikir, baik dia membuka perniagaan yang lebih dekat dengan pengetahuannya. Suria pandai memasak dan resipinya memang sering mendapat pujian. Lalu dipraktikkan dalam kafenya. Selain itu kafenya juga ada ruang untuk jualan pakaian. Satu rak di satu sudut adalah untuk jualan pakaian dan aksesori. Lukisan yang bergantung di dinding juga boleh dibeli pengunjung.
 
Suria memang bijak menguruskan perniagaan hingga dalam tempoh dua tahun dia sudah berani membuka satu lagi cawangan. Konsep diketengahkan mendapat sambutan. Selain menjamu makanan, pelanggannya boleh bermesyuarat kerana ada kemudahan wifi dan komputer riba. Kemudian mereka juga boleh membeli-belah di situ; Pakaian, aksesori, sepatu mahupun barang dekorasi rumah.
 
Walaupun kewangannya semakin kukuh tetapi Suria tetap mahukan Datuk bertanggungjawab. Kebajikan anak-anak perlu dilunaskan seorang ayah. Bukankah itu kewajipan seorang bapa memberi nafkah buat anak-anak. Suria tidak pernah meminta banyak, tetapi apa yang termampu buat bekas suami walaupun RM200, dia akan terima.
 
Hari ini dia ke bank lagi menguruskan wang perbelanjaan anak-anak akan memasuki persekolahan. Datuk Furqaan nampaknya tidak mampu menghulurkan walaupun satu sen. Paling menghangatkan hatinya, Datuk Furqaan ada hati minta pinjam wang beberapa ratus ribu. Muka tak malu!
 
Suria enggan menjadi perempuan bodoh yang hidup membelanjakan lelaki. Walapun mereka pernah duduk sebumbung bergelar suami isteri tetapi dia tak mahu memuakan bekas suami.
 
Suria juga dengar Datuk Furqaan bakal diseret ke mahkamah oleh pelabur-pelaburnya. Wang sudah diberi tetapi lesap begitu sahaja. Memang Suria tak akan masuk campur. Tanggunglah sendiri natijah perbuatan buruk melayan pekerja seburuk itu. Akmal dan teman-temannya kini sudah bekerja di syarikat penerbitan lain. Suria tahu mereka itu pekerja yang hebat tetapi dipersia-siakan sahaja bekas suaminya.
 
Tiba-tiba Suria didatangi dua anaknya di sofa. Kenangan silam hilang begitu sahaja melihatkan empat mata di hadapannya. Walaupun punya bapa tidak bertanggungjawab tetapi Suria tidak pernah memburuk-burukkan Datuk Furqaan. Di mata anak-anaknya, mereka punya abah yang terhebat. Biarlah ia kekal begitu.
 
Walaupun lelah baru pulang dari bank belum hilang dia perlu melayan kerenah dua anaknya. Baju sekolah belum dibeli, beg, kasut dan buku latihan. Esok dia sudah mula sibuk kerana seorang lagi pelabur akan membeli francais kafenya. Dia bersyukur dengan rezeki dikurniakan. Kalau dahulu dia sekadar bergelar Datin yang jadi perhiasan rumah, kini dia bangga punya perniagaan sendiri yang semakin meluas.
 
 

See also
Datin X: Anak Boros Habiskan Harta Arwah Bapa