Korner Mak Datin: Datin Caras Sahabat Baik - Glam Malaysia

Korner Mak Datin: Datin Caras Sahabat Baik

datin10 2
 
Seperti yang diceritakan kepada Anna Freda
 
Wajah cantik wanita berusia awal 30-an menghiasi ruangan usahawan di majalah. Satu persatu artikel mengenai wanita itu dibaca penuh penghayatan. Kisah kejayaan Lily mengendalikan  perniagaan aksesori dan pakaian secara online dipuji penulis. Kini Lily merancang melancarkan rangkaian sepatu pula. Terdapat beberapa gambar Lily cantik didandan. Diam-diam dia memuji penampilan Lily yang semakin bergaya.
 
Seminggu kemudian dia melihat Lily di dalam majalah lain pula. Kali ini wajahnya di muka depan majalah. Terdapat enam muka surat mengenai Lily di dalam majalah. Terdapat gambar menawan Lily didandan bergaya juga kisah kejayaan wanita itu lagi. Panas pula hati membacanya. Memang akhir-akhir ini jenama Semarak by Lily menjadi sebut-sebutan.
 
Asalnya Lily membeli aksesori sudah siap di Jakarta, Bandung, Hong Kong, Taiwan dan India. Kemudian, Lily balik memasarkan semua barangan di dalam Facebook Semarak by Lily. Siapa-siapa berminat boleh membuat pesanan dan dia akan menghantarnya sendiri. Ketika itu Lily belum melancarkan website kerana koleksi aksesori itu bukan rekaannya. Siapa-siapa boleh membelinya di luar negara dan balik menjualnya semula.
 
Setelah bersedia, Lily melancarkan rangkaian aksesori rekaannya tersendiri. Lebih eksklusif dan tersendiri. Lily tidak lagi ke luar negara untuk mencari barang-barang tetapi kalaupun berjalan jauh, sekadar mencari ilham untuk rekaan terbaru. Kemudian dia melancarkan koleksi pakaian pula. Semua rekaan pakaian disesuaikan dengan pemakaian aksesori.
 
Datin Ruby mencampak majalah muka depan Lily tadi ke dinding. Terperosok majalah itu jatuh di lantai. Datuk Ed terkejut merenung isterinya kehairanan. Datuk bingkas mendapatkan majalah tadi dan tersenyum sinis merenung muka depan majalah. Hmm… patutlah, katanya dalam hati.
 
“Kawan baik awak,” ujar Datuk Ed bersahaja. “Abang jangan nak naikkan darah saya,” tempik Datin Ruby. “Sayang ni dah kenapa? Saya tak berniat pun nak naikkan darah you.” “Abang tahu tak semua tu idea saya. Saya yang ajak dia berkongsi perniagaan fesyen secara online tu. Dia tak fikir sejenak pun terus tolak. Tiba-tiba dia buat sendiri.” “Semua orang dah buat benda yang sama. Mungkin dia menolak berkongsi dengan you tapi tak menolak idea tu bagus. Dia nak buat sendiri kut,” pujuk Datuk Ed lembut. “Tapi dia curi idea I!” tegas Datin Ruby. ” You keluarkan idea aje. Tak buat apa-apa pun. Dia buatlah.” “Saya akan buat! Saya akan mulakan bisnes online,” ujar Datin Ruby bersemangat. “Baguslah!”
 
Kata-kata DatukEd dirasakan bagaikan sindiran sahaja. Suami sendiri tidak yakin dengan kebolehannya. Memang dia sering dikatakan pandai cakap sahaja, tetapi pelaksanaan tiada. Tengoklah! Kali ini Datin Ruby akan membuka lembaran baharu. Dia sudah mencongak-congak rangka perniagaannya. Lalu diaturkan mesyuarat dengan beberapa orang kepercayaannya.
 
Dia mengatur temu janji di Ben’s dengan Pegawai Serantau, Joven; Editor Fesyen, Eka dan Pereka Grafik, Rossa. Mereka disatukan Datin Ruby kerana percaya hasil kerja masing-masing. Joven akan mengetuai rancangannya, Rossa bakal melaksanakan susun atur laman web. manakala Eka sekadar memberi pandangan mengenai fesyen semasa. Konsultasi seorang ahli pakar fesyen begitu diperlukannya.
 
“Bagus Datin, banyak dah orang buak butik, salun. Ada yang dah gagal pun. Datin buat secara online ni saya rasa up-to-date sangat dengan era teknologi ni. Semuanya di hujung jari,” ujar Rossa sedikit mengampu. “Saya mahu produk saya lebih bagus. Lebih terkini daripada apa tu, Semerak? Semarak?”soal Datin Ruby menyindir. “Semarak by Lily maksud Datin?” soal Eka kembali mengerti kemarahan Datin. “Dahlan curi idea orang,” ujarnya mula membuka rahsia hati yang berbuku. “Eka, bolehlah share dengan kami apa yang terkini di pasaran,” ujar Joven yang butang bajunya di kancing sampai leher. “Tak ada masalah. Saya dah lama kenal Datin.” “Kalau boleh produk saya tu nampak international. Tak nak kekampungan,” ujar Datin Ruby. “Sudah tentu. Datin jangan risau,” celah Joven.
 
Selesai mesyuarat petang itu, selepas Eka dan Rossa pulang, Datin Ruby dan Joven meneruskan perbincangan mereka. Dia mahu tahu apakah rangka promosi perlu dijalankan? Berapa modal harus dikeluarkan dan berapa pula sasaran jualan dan harga bagi mengembalikan modal? Berniaga perlukan untung juga. Tetapi hati Datin Ruby melebihkan rasa dendamnya. Kalau boleh dia mahu mengatasi Semarak by Lily dengan cara apa sekalipun. Dia tidak kisah berapa perlu dibayar.
 
Iri sungguh hatinya melihat perhatian diberikan kepada Lily. Padahal perhatian itu sepatutnya menjadi miliknya. Dia apa kurangnya cantik dan berstatus. Dia berkahwin dengan Datuk sedangkan Lily memilih lelaki baisa sahaja. Datin Ruby berkira-kira dalam hati. Datin Ruby mengenali Lily ketika mereka sama-sama mengambil kursus pendek fesyen. Sejak itu mereka berkongsi minat yang sama.
 
Persahabatan berlangsung sehingga masing-masing berkeluarga. Walaupun memiliki minat sama namun cita rasa terhadap lelaki sangat berbeza. Lily memilih cinta abadi dan tidak memandang harta. Dia pula sangat memilih kerana mahu hidup senang lenang. Lalu Datuk Ed menjadi pilihan bukan kerana cinta abadi atau cinta sejati, lebih kepada kemewahan ditawarkan Datuk Ed. “I pakai konsep kahwin dulu baru bercinta. Macam orang dulu-dulu,” ujarnya berseloroh. “Tak apalah asalkan bahagia,” balas Lily.
 
Hubungan mereka terjejas  setelah Lily menolak untuk bergabung mengusahakan perniagaan secara online. Lily sebenarnya telah lama memasang niat melakukannya sendiri. Nama Semarak by Lily juga sudah didaftarkannya setahun lalu. Silapnya dia kerana tidak berterus-terang dengan Datin Ruby.
 
Lily terlalu sibuk untuk ambil kisah perasaan iri sahabatnya Datin Ruby. Bukan dia tak kenal sikap Datin Ruby, Lily berharap lama-kelamaan amarah Datin Ruby hilang. Lalu mereka kembali bersahabat seperti biasa. Sungguh dia dah lama merancang melahirkan Semarak by Lily. Hatinya punah ranap apabila Datin Ruby tergamak menuduhnya mencuri idea asalnya.
 
Datin Ruby sekali lagi bertemu Joven dan kali ini lelaki itu hadir dengan pereka fesyen, Akmal. Mereka bertemu di tingkat dua Alexis, Bangsar kerana lebih privasi. Sebenarnya Akmal adalah pereka fesyen yang bekerjasama dengan Lily selama ini. Joven bagi pihak Datin Ruby berjaya menawarkan harga lumayan untuk Akmal berpaling berpihak kepadanya.
 
Sanggup seorang sahabat memperlakukan perkara sebegitu. Kalau sudah rasa iri bermaharajalela, kebaikan seseorang yang pernah dekat dengan diri sudah dilupakan. Datin Ruby berikrar mahu mengambil semula apa yang telah dirampas daripadanya. Sekurang-kurangnya itulah yang dirasakan kini.
 
“Akmal, bila saya boleh lihat rekaan untuk jenama saya ni?” soal Datin Ruby kurang sabar. “Macam ni Datin, hari ini Datin beritahu saya apa tema, konsep dan golongan sasar dan semua sekalilah dalam fikiran Datin. Saya sudah dapat info trend semasa daripada Eka. Beri saya dua minggu untuk hasilkan lakaran.” “Seminggu,” potong Datin Ruby. “Okey, seminggu lagi saya akan bentangkan rekaan koleksi Datin. Apa jenama Datin?”
 
Datin Ruby menelan liur kerana tidak terfikirkan hal satu itu. Dia menjeling Joven yang tak pernah menyuarakn soal itu. Betapa malunya dia rasakan di hadapan Akmal tetapi Datin berlagak selamba. Dia mencari akal mahu menutup rasa gemuruhnya.
 
“Itulah! Ada beberapa nama tetapi I belum pilih mana satu nak guna. Nanti Joven akan e-mel you logonya sekali,” ujarnya yakin. “Tak apa Datin. Nanti e-mel saya ya Joven,”ujar Akmal mengalih pandangan kepada Joven.
 
Setelah Akmal pulang barulah Datin Ruby bertanyakan penjenamaan produknya. Setelah berbincang dan berfikir panjang, dia memilih namanya sendiri mewakili dirinya, Ruby! Warna ruby menjadi warna logo. Dia menyuruh Rossa menghasilkan logo dan konsep jenama barunya itu.
 
Seminggu kemudian dia mengadakan pertemuan dengan semua orang untuk melihat rekaan jenama Ruby yang dilakarkan Akmal. Kehadiran Eka membuatkan jiwa Datin Ruby agak tenteram. Dia risau juga kerana bimbang segala perancangannya selama ini gagal. Dia berpuas hati dengan rekaan dipersembahkan Akmal. Ada beberapa perubahan tetapi minima sahaja.
 
Jenama Ruby kini telah sedia untuk dipasarkan. Himpunan koleksinya juga mendapat pujian daripada Eka. Sesi fotografi berlangsung untuk dibuat katalog dan poster iklan. Datin Ruby berpuas hati dengan laman web yang di susun atur Rossa. Dia bersemangat mahu melihat hasilnya kelak.
 
“Bukan main lagi awak. Siap buka laman web. Ada fotografi. Ni awak nak buat majlis pelancaran pula?” soal Datuk Ed. “I bukan maam Lily, perancangan tak ada. Dah setahun baru orang nak kenal jenama dia. bukan barangan sendiri pulak tu,” ejek Datin Ruby. “You jangan nak riak dulu. Jenama you pun belum pun dipasarkan lagi,” “I yakin jenama I ni boleh pergi jauh.”
 
“Insya-Allah! Harap-harap begitulah. Tapi bersaing biar secara sihat, yang. I dengar you ambil pereka fesyen dia,” ujar Datuk Ed kurang setuju. “Sayang, I tak paksa Akmal tu. Dah kita tawarkan harga terbaik. Dia pula setuju. Kira okeylah,” terang Datin Ruby. “Tapi you dah tahu kan Akmal tu pereka Lily,” ujar Datuk Ed sekadar mengingatkan. “I tak rasa salah, Kita tak paksa sesiapa. Dia datang secara sukerela,”
 
Datuk Ed geleng kepala di atas kedegilan isterinya. Entah apa merasuk fikiran Datin Ruby. Dibiarkan sahaja kerana sudah masak dengan fiil isteri yang tidak boleh ditegur. Semoga perbuatan Datin Ruby setakat itu sahaja. Jangan pula berlarutan kepada tindakan-tindakan lain.
 
Sementara itu Lily bagaikan pegun dengan tindakan Datin Ruby itu. Dirinya ibarat disabotaj sahabat baik sendiri. Lily tidak menghalang Akmal untuk pergi kerna tawaran diberikan Datin Ruby ternyata lumayan. Hampir dua kali ganda dengan apa dibayarnya. Ketika Akmal datang memberitahu keadaan serba salahnya, dia dengan berat hati melepaskan Akmal. Walaupun Akmal masih setia bersamanya.
 
“Kenapa you baik hati sangat,” rungut suaminya, Sham. “I tak nak menyekat rezeki orang. Biarlah Akmal pergi tolong Ruby,” ujar Lily bersahaja walaupunhatinya sedikit terkilan. “Habis tu you macam mana?” “Jangan risau. Saya sedang mencari pereka baru yang lebih hebat. Tidak pun saya buat sendiri. Mungkin tiba masanya saya menguji diri.” “Apa-apa sahaja keputusan you buat, I akan sokong you seratus peratus okey. Kalau ada masalah, beritahu I,” ujar suaminya bangga. “Terima kasih!” sahut Lily bahagia dengan restu suami.
 
Setelah dilancarkan ternyata jenama Ruby tidak mendapat sambutan. Bukan nak kata koleksi fesyennya tidak cantik kerana Datin menggunakan khidmat Akmal. pereka sama untuk Semarak by Lily. Cita rasa Datin juga bukanlah buruk sangat. Entah di manakah silapnya pun tak tahulah. Mungkinkah niat Datin Ruby menjadi punca sebenar?
 
Sementara itu Lily semakin maju ke depan. Dia kini telah membuka butik di beberapa lokasi. Semuanya di atas permintaan orang ramai. Namun, laman webnya masih lagi beroperasi. Jenamanya bukan sahaja terhad kepada aksesori dan pakaian. Dia telah berjaya menghasilkan sepatu dan tas tangan juga. Sambutannya bukan sekadar di Lembah Klang dan Wilayah Persekutuan. Malah meluas ke seluruh Malaysia. Tidak mustahil dia mahu membuka cawangan di seluruh tempat.
 
Datin Ruby pula mengalami kerugian besar. Datuk langsung enggan membantu menampung perbelanjaan label fesyen Ruby ini. Terpaksalah Datin Ruby menggunakan simpanan sendiri. Sehinggalah dia tak mampu menampungnya lagi, jenama Ruby begitu perlahan hendak berkembang. Dia tidak menghasilkan produk baharu kerana barang lama masih belum terjual.
 
Apabila Akmal mahu meninggalkannya, dia redha. Betapa malu setelah mengetahui Lily yang menyuruh Akmal datang kepadanya. Betapa dia kesal di atas perbuatan sendiri. Tetapi ego telah mengatasi segala-galanya. Untuk mengakui kesalahannya di depan orang ramai dengan berbaik-baik semula dengan Lily, mungkin tidak.
 
Semua orang berhenti. Joven dan Rossa juga meninggalkannya. Sementelah dia tidak dibenarkan Datuk untuk membayar gaji mereka lagi. Datin Ruby begitu berang apabila terbaca kritikan di ruangan fesyen sebuah majalah. Sampai hati Eka mengutuknya scara terang-terangan di dalam ruangan editor. Sahabat apakah begini? Ketika inilah dia terkenang-kenangkan persahabatannya dengan Lily. Sayang sekali semuanya punah akibat rasa iri hati dalam diri.

See also
Marc Jacobs Dihentam Kerana Gaya Rambut Dreadlocks di Minggu Fesyen New York