Korner Mak Datin: Akibat derhaka, Anak Datuk Dilucut Harta Sehingga Papa

Korner Mak Datin: Akibat derhaka, Anak Datuk Dilucut Harta Sehingga Papa

505641Gambar: Arkib GLAM

 
*Seperti yang diceritakan kepada Nurul Syuhada
 
 
Sesi minum petang yang asalnya sebuah diskusi bisnes, akhirnya bertukar menjadi sesi gosip. Duduk melepak di Aseana Cafe sejak jam tiga petang kian berlarutan hingga ke senja. Semuanya kerana salah satu rakan niaga kami, Soraya terpaksa membatal satu perjanjian penting gara-gara konflik dalaman keluarganya. Pada mulanya saya sendiri garu kepala… apalah masalah sangat sehingga pertelingkahan keluarga pun boleh membawa kesan kepada perniagaan kami yang tiada kena-mengena? Cerita hangat yang dibawa Julia membuat kami ralit, order teh tarik tak putus dengan pisang goreng Bali sampai tiga kali serving!
 
You ada dengar tak… Soraya dah dua minggu tak masuk office? I pun apa lagi, sibuklah merisik pada stafnya di pejabat. Kata mereka, Soraya merajuk sebab ada gaduh besar dengan Datuk dan Datin (ibu bapanya). Sampaikan Datuk sendiri jadi moody sepanjang minggu. Tak ada siapa berani nak tegur. Semua orang menikus, senyap sunyi satu office!”
 
Kenyataan Julia disambut pula oleh Azhari. “Macam mana nak proceed dengan deal tu? Kalau dah akaun syarikatnya kena beku!”
 
Mata kemi semua saling berpandangan. ” What do you mean?” soal saya terkejut.
 
“Siapa lagi yang bekukan akaun kalau bukan bapanya! Nampaknya kali ini Datuk betul-betul marahkan Soraya. Entah apa lagi lah drama yang berlaku sampai Datuk ambil keputusan sekeras ini. Jangan sampai staf tak makan, sudahlah!”
 
Soalan demi soalan tidak terjawab. Namun selepas kejadian minggu lepas apabila Soraya ke pejabat dalam keadaan tergesa-gesa meminta setiausahanya membuat tempahan penerbangan untuk dia dan anaknya ke Bali, akhirnya sedikit sebanyak merungkai misteri yang selama ini menjadi teka-teki.
 
Petelingkahan  Soraya dan bapanya, Datuk Mazlan bukan perkara baru. Sejak kecil mereka memang tidak sebulu. Kalau nk dijadikan cerita, tiada seorang pun anak-anak Datuk Mazlan yang sekepala dengan bapa mereka. Kata orang, Datuk seorang yang serius, no nonsense kind of guy. Kalau dikatanya hitam, maka hitamlah. Jika putih, maka putihlah. Datuk Mazlan kerja kuat. Jadi bila orang buat kerja sambil lewa, dia boleh melenting tiba-tiba.
 
Walaupun ditakuti, namun Datuk Mazlan individu yang amat dihormati lebih-lebih lagi dikalangan orang korporat sendiri. Itulah resipi kejayaan empayar perniagaan Datuk Mazlan walhalnya sewaktu kecil dahulu hidupnya dirudung kemiskinan. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Berkat usaha dan disiplin, dia berjaya merubah takdir hidupnya. Janjinya, anak-anaknya tidak akan sesekali merasai kesusahan yang pernah dialaminya seperti mana dulu.
 
Sejak lahir lagi, Soraya dan adik-beradiknya yang lain disogok dengan kehidupan serba mewah, senang-lenang. Rumah penuh pembantu dan berdriver ke sana sini. Tak pernah buat kerja rumah dan tidak boleh susah sikit. Mentang-mentanglah ada safety net. Soraya dan adik-beradiknya tahu, walau apa pun terjadi, they will always have Daddy. Walau sekarang sudah beranak-pinak, Soraya tidak serius pegang tanggungjawab. Nama saja bos besar, tapi asyik di luar berbelanja bersuka-suka dengan kawan-kawan saja nampaknya. Tanyalah pada orang di pejabatnya. Soraya hanya masuk pejabat bila diperlukan. Kalau dirasakannya tak berapa penting, e-mel saja katanya.
 
Mungkin bapanya sudah tolong lebih dari yang sepatutnya apabila nama dia adik-beradik bukan sahaja diletakkan dalam barisan pengarah syarikat, tetapi turut diberikan syarikat-syarikat lain untuk sama ‘diuruskan’ oleh Soraya. Sudah mengantuk, disorongkan bantal pula. Anak bertuah. Pendek kata, Datuk Mazlan cuba sedaya upaya mengadakan segala yang tiada buat anak-anak kesayangannya. Sampaikan kediaman anak-anak pun dibina di dalam kawasan tanah estet keluarga yang berhektar-hektar luasnya yang terletak di pinggir Kuala Lumpur.
 
Datuk Mazlan membina rumah agam buat setiap seorang anaknya dengan harapan dia dan anak-anak sentiasa rapat dan senang juga buatnya untuk menjenguk cucu-cucu yang semakin membesar. Walaupun begitu, usaha Datuk Mazlan nampaknya seakan sia-sia. Lagi dicuba, lagi anak-anaknya menjauhkan diri. Khabarnya susah betul dia mahu bertemu anak-anak mahupun cucu sendiri. Mungkin rumah mereka terletak berhampiran, tapi kalau ke luar negara pun bukannya nak beritahu dulu. Ini membuatkan Datuk khasnya Datin, agak kecil hati.
 
Soraya memang dikenali dengan sifat spoiled brat. Perkataan terbaik untuknya adalah mengada tak bertempat. Perkara serius boleh dibawa main-main. Walau dalam hal perniagaan mahupun rumahtangga. Soraya sudah hampir 10 tahun berkahwin. Anak seorang. Suaminya orang kebiasaan saja tetapi sudah diberikan pangkat untuk menguruskan salah satu syarikat Datuk Mazlan. Sikap kurang komitmen Soraya terhadap keluarga kecilnya sudah lama ditegur suami. Dia lebih pentingkan kawan-kawan dari keluarga sendiri. Pantang ada yang ajak makan, ajak bercuti, Soraya sentiasa okey. Sampaikan anak-anak nak sekolah pun terpaksa ambil cuti gara-gara ibunya mahu pergi bersuka-ria bersama teman-teman, bermalasan di vila mereka di Bali.
 
Juita yang sudah mengenali suami Soraya sejak zaman kolej, rupa-rupa sudah lama tahu akan pergolakan rumahtangga mereka. Kononnya cerita yang berlegar mengatakan keduanya sudah berpisah secara senyap. Soraya yang berkeras mahu dilepaskan. Katanya, suaminya itu kolot. Tak tahu nak enjoy life katanya. “I sebenarnya malaslah nak sebut-sebut fasal rumahtangga orang. Tapi rupa-rupanya memang betul Soraya dah bercerai tanpa pengetahuan Datuk dan Datin. Cuma baru-baru ini saja baru pecah rahsianya. Apalagi, mengamuklah Datuk kita itu!” Sudahlah suami Soraya itu menantu kesayangan Datuk, bila keluar cerita begini, luluhlah hatinya.
 
Rupa-rupanya Datuk Mazlan sendiri sudah lama tahu mengenai kisah kemelut rumah tangga Soraya. Dia dan isteri banyak kali cuba ‘menyelamatkan’ hubungan mereka. Bila suami Soraya mulai rasa tertekan, Datuk Mazlan mula mengumpannya dengan pelbagai business proposal bagi ‘menceriakan’ kembali suasana. Oh, siapa tidak kenal Soraya? Bukan ramai orang tahan dengannya. Apalagi untuk hidup bersamanya!
 
Tapi nampaknya kali ini suami Soraya sudah redha dengan takdir yang mana perkahwinannya kini sudah menemui titik noktah. Akhirnya dia nekad mahu keluar terus dari rumah. Apa sahaja usaha Datuk Mazlan mahu memujuk menantunya itu sudah tidah berkesan. Soraya sendiri kerap memarahi ayahnya yang selalu menyebelahi menantunya itu. Bak kata Datin, bertuahlah lelaki itu mahu kahwin dengan kamu. Wanita tinggi ego semua lelaki tidak mahu!
 
Sebaik keluar berita penceraian itu, Soraya seperti menghilangkan diri. Walau keluarga mereka tinggal di satu kawasan, batang hidung Soraya tak nampak langsung. Kerana tidak puas hati, Datuk Mazlan dan isterinya bertanggak di luar banglo Soraya menanti anaknya pulang. Semuanya gara-gara telefon tak berangkat. Audi baru Soraya menjalar masuk ke perkarangan lobi rumah.
 
Terus Datuk berdiri cekak pinggang di depan pintu kereta. Soraya yang baru sahaja melangkah keluar, terus diserang bertalu-talu dengan pelbagai soalan oleh Datuk Mazlan dalam keadaan separa menjerit. Muka acuh tak acuh Soraya seperti ingin menepis nyamuk yang mengiang di tepi telinga. Soraya terus menapak masuk ke dalam rumah, menyeret sekali anak tunggalnya yang masih berbaju sekolah, tanpa mengendahkan ibu bapanya di luar rumah. Sikapnya membuatkan Datuk semakin panas hati.
 
“What’s wrong with you?! You got divorced without telling us?” Datuk Mazlan mengherdik anaknya. Balas Soraya spontan, “My marriage is none of your concern, Daddy!” Maka bermulalah perang mulut antara kedua beranak ini. Datin hanya mampu menyaksikan sahaja drama di depan matanya sambil memeluk erat cucu kesayangannya.
 
Perbalahan yang berlangsung selama 30 minit itu berakhir dengan Soraya menarik masuk anak ke dalam rumah lalu terus menghempas pintu masuk utama. Datuk dan Datin tergamam kerana terkejut. “Budak ni memang sudah keterlaluan. Kurang ajar!” Itu antara kata-kata yang tersembur dari mulut Datuk Mazlan. Jenuh isterinya cuba menenangkan suaminya itu agar tidak mengambil keuptusan terburu.
 
Minggu itu, anak Soraya tidak lagi datang berkunjung ke rumah Tok dan Opahnya untuk bersarapan seperti selalu. Kalau tidak, setiap hari selepas sarapan, Datin sendiri menghantar cucunya ke sekolah dan mengambilnya semula apabila pulang. Bila rutin harian ini lari, Datin jadi susah hati. Akibat rindu, Datin mengadu pada suaminya agar pujuk kembali Soraya yang dikatakan sedang merajuk.
 
Telefon banyak kali tidak berangkat. Datuk Mazlan memeriksa dengan setiausaha Soraya di pejabat, kemudian dapat tahu Soraya ada urusan kerja di Hong Kong dan membawa bersama anaknya itu sehingga sanggup menyuruh anaknya itu ponteng sekolah. Bila Datuk menelefon hotel yang dikatakan didiami oleh Soraya dan anaknya, kebetulan Soraya menjawab. Maka bermulalah satu lagi perang mulut. Paling menyakitkan hati Datuk apabila Soraya bersumpah tidak akan bagi anaknya berjumpa dengan datuk dan neneknya sampai bila-bila. Datuk tersentak.
 
Datuk Mazlan menghabiskan masa semalaman berjaga kerana berfikir. Datin longlai satu badan kerana rindukan cucunya. Esok pagi-pagi, Datuk memujuk isterinya supaya jangan risau kerana dia ada jalannya.
 
Soraya sepatutnya sudah pulang ke Kuala Lumpur selepas lima hari di Hong Kong. Tapi rupa-rupanya dia memanjangkan lagi ‘percutiannya’ bersama anaknya sehingga dua minggu. Agaknya dia malas ingin bersemuka dengan ibu bapanya selepas apa yang berlaku antara mereka.
 
Selepas dua minggu, terbit dalam hati Soraya akan rasa peliknya apabila tiada lagi panggilan atau mesej dari ibu bapanya. Dalam kelegaan, dia juga rasa tak sedap hati. Apalah agaknya yang sedang dirancang bapanya.
 
Pada hari akhir Soraya dan anaknya di Hong Kong, mimpi ngeri Soraya akhirnya menjadi kenyataan. Kad kredit syarikat yang sering digunakannya tiba-tiba tidak lepas. Jantungnya berdegup cepat memikirkan apakah bapanya yang blok kad kreditnya. Tapi resah itu cepat-cepat ditepis. Terpaksalah dia menggunakan cash untuk kegunaan sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur.
 
Kapal terbang touch down malam. Sampai di perkarangan rumahnya, jam hampir menunjukkan tengah malam. Soraya pelik kenapa tiada seorang pun pembantu rumah membuka pintu menyambutnya. Semua kuncinya tidak berfungsi, sepertikan kunci rumah sudah bertukar. Soraya jadi gelisah, terus menapak ke banglo ibu bapanya.
 
Tanpa bagi salam, terus diserangnya Datuk Mazlan dan disuruh membuka balik pintu rumahnya. Jawab Datuk selamba, “Itu rumah aku. I can do whatever I want. Awak tu menumpang saja.” Walau digertak beberapa kali, Soraya masih gagal menakut-nakutkan bapanya. Lalu dia membawa diri ke kediaman adiknya bersama anaknya untuk menumpang tidur.
 
Keesokannya, Soraya memulakan kerja. Pagi yang cerah terus bertukar mendung apabila Soraya diberitahu yang banyak transaksi syarikat tergendala akibat akaun syarikat disekat Datuk Mazlan. Terduduk Soraya apabila mengetahui ‘hartanya’ disekat.
 
Akibat bertelingkah dengan Datuk Mazlan, barulah Soraya tahu langit itu tinggi atau rendah. Dia terus mengarahkan setiausahanya menempah tiket ke Bali secepat mungkin. Khabarnya Soraya kini ‘menyembunyikan’ diri di vilanya di Bali, menggunakan semua wangnya yang tinggal demi ego tidak mahu kalah dengan bapanya. Sampai bila Soraya boleh bertahan disebalik kesombongannya yang tak bertempat!
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi September 2014
 
 

See also
Datin X: Sanggup Derita Menagih Cinta Lelaki Muda