Korner Mak Datin: Ketagih Surgeri ‘Buat Muka’, Datin Jadi Bahan Ketawa

Korner Mak Datin: Ketagih Surgeri ‘Buat Muka’, Datin Jadi Bahan Ketawa

Datin X___
 
Seorang pakar kecantikan sedang menyediakan satu sukatan suntikan kolagen. Ada tiga picagari kesemuanya. Datin Lara duduk di sofa tenang. Dia sudah biasa dengan jarum. Apa-apa sahaja berkaitan menegangkan muka, membuang garis halus pada wajah, dia pasti akan cuba. Wang bukan jadi halangan.
 
Datin Lara sejak remaja memang mementingkan kecantikan. Biarpun mengikuti perkembangan fesyen, perihal kecantikan lebih diutamakan. Dia sebenarnya takut menghampiri usia tua. Sememangnya Datin Lara dipuja kerana kejelitaannya dan menjadi rebutan di sekolah.
 
Bukan sekadar pelajar lelaki meminatinya, cikgu-cikgu juga sayangkan dia. Tidak hairan dia sering terpilih menjadi ketua darjah, pengawas dan wakil sekolah dalam pelbagai acara. Ibarat Datin Lara adalah duta sekolahnya.
 
Menginjak usia 20-an, dia mula memakai apa sahaja produk kecantikan. Wajahnya mendadak putih akibat hakisan. Merah-merah kulitnya senipis kulit bawang. Soalnya wajah lebih putih daripada leher, kulit tangan dan tubuh. Solekannya kelihatan tebal seinci. Bedak asas kadang-kadang lebih putih menyebabkan wajah berupa kelabu. Pemerah pipi pula merah jambu dan pembayang mata menjadikan dia kelihatan lebam. Konon-kononnya mengikut solekan artis pujaan, Jennifer Lopez.
 
Apabila sudah terbiasa dipuja, dia begitu taksub dengan rupa paras. Tidak mahu dilihat wajahnya kosong. Pasti ada calitan solekan pada muka walaupun sekadar keluar rumah mengambil barang seminit dua.  Tiada siapa pun yang pernah melihat Datin Lara tanpa solekan. Mandi juga berjam-jam dan kalau berdandan mahu sampai sejam dua.
 
Tebal atau tidak solekan, walaupun wajah sudah terhakis, Datin Lara terserlah penampilannya. Kehadirannya sentiasa disedari. Lalu dia telah berjaya menawan hati seorang hartawan lalu kini bergelar Datin. Bergaul pula dengan selebriti dan sosialit. Kehadirannya nyata mudah diterima golongan atasan ini. “Cantik Datin Lara ni, cuma solekan dia berlebih-lebih,” ujar Datin Mira mula bergosip.
 
Meniti kehidupan sebagai Datin, dia banyak terdedah dengan dunia kecantikan yang lebih mewah. Tiada lagi produk menipis kulit, malah lebih ekstrem. Datin Lara gemar jenama Estee Lauder, SK-II, Dermalogica dan sebagainya. Kosmetik Chanel, M.A.C dan Max Factor menjadi pilihan. Lama-kelamaan ada perubahan positif pada Datin.
 
Jikalau ada acara rasmi perlu dia ikut suami, dia pasti membayar mekap artis selebriti kesukaan. Solekan Datin Lara semakin cantik kerana dia banyak belajar daripada mekap artis profesional yang kini menjadi kenalan dalam kelompoknya. Ada ketika membeli alat solek pun dibawa mekap artis itu bersama. Membeli-belah semestinya di luar negara.
 
Memang Datin Lara tersohor di kalangan sosialit sebagai wanita paling jelita dan sangat bergaya. Lelaki semestinya ingin mendekati, manakala wanita pula mahu bersahabat dengannya. Media juga mula memburu Datin Lara mahu dijadikan wanita muka depan majalah, model atau sekadar diwawancara.
 
Dia merenung wajahnya setiap hari. Garis halus sudah mulai menjelma terutama di bahagian antara dua kening dan hujung mata. Masalah itu timbul setelah dia melahirkan anak. Dia juga merasai perubahan pada tubuh dan wajah. Datin Lara hamil ketika berusia 26 tahun dan 29 tahun. Katanya, cukuplah sepasang anak melengkapi hidup mereka berdua.
 
Masalah utama Datin Lara sebenarnya, berat badan yang semakin sukar dibuang. Hatinya mula merusuh melihat masalah yang tiba-tiba timbul. Lalu dia mencari alternatif memperbaiki diri. Melalui temannya Datin Sally, dia berkenalan dengan pakar kecantikan yang dipanggil Roxy. Meniti usia 30-an ini dirasakan diri perlu menerima suntikan.
 
“Biasalah Lara, I dulu pun berdepan masalah sama. Memang peringkat usia kita, selepas hamil dan melahirkan anak akan alami semua ini,” ujar Datin Sally. “Tapi I tengok you okey saja. Steady! Dah anak tiga masih langsing, cantik, muka tegang. Tengok I, kalau makan nasi aje berat naik,” balas Datin Lara cemburu. “You tak tengok I dulu.” “Baguslah, akhirnya you dapat juga kembalikan shape asal,” ujar Datin Lara lagi. “Hmm… Bukan senang! Masalah I pun sama dengan you tapi ada jalannya. Jalan pintas untuk cepat berkesan,” ujar Datin Sally separuh berbisik. “Iya? Kongsilah, kalau sudi,” kata Datin Lara separuh menjerit penuh teruja.
 
Begitulah bermula semua obsesi terhadap jarum. Datin Sally tidak lokek berkongsi dengan Datin Lara. Hanya Datin Lara dia senang berkongsi pakar kecantikan. Berkawan dengan Datin Lara sangat menyenangkan dan bangga sekali rapat dengan orang lawa lagi popular.
 
“Kita perlu pandai mengawal. Jangan buat banyak-banyak kerana nanti ketara perubahan wajah,” pesan Datin Sally. Datin Lara gemar suntikan sheep placenta bagi menegangkan, menjernihkan dan membentuk semula struktur wajah. Kulit yang mula jatuh boleh jadi tegang semula. Selain itu ia memelihara kemulusan kulit dan memutihkan kulit seluruhnya. Tiada lagi kulit wajah tidak sekata dengan warna kulit tubuh badan,
 
Sheep placenta adalah kandungan suntikan paling digemari Datin Lara. Semestinya menegangkan, menjernihkan dan mampu membentuk struktur wajah mengikut suntikan. Pakar kecantikan yang hebat akan mencari titik-titik pada serata wajah untuk disuntik. Andai kata salah suntik, hasilnya tidak akan kelihatan sempurna.
 
Datin Lara mula pandai bermain dengan nama-nama seperti kolagen, glutathione, placenta, anti-aging, whitening dan sebagainya. Dia tidak lagi perlu melalui Datin Sally untuk mendapatkan khidmat pakar kecantikan, Roxy. Malah dia sudah pasang beberapa pakar kejelitaan peribadi.
 
Ternyata Datin Lara semakin cantik dan menafi keras dia menyuntik botox. Katanya, dia ambil banyak vitamin dan melakukan rawatan oksigen. Padahal diam-diam dia ke Singapura membuat pembedahan plastik. Tidak puas dengan pemberian Allah, dia kini lebih ekstrem bermain dengan pembedahan plastik. Padahal usia Datin belum masuk angka 40-an.
 
Mula-mula sedikit menaikkan ketinggian hidung, sebulan dua kemudian pergi lagi meninggikan tulang pipi, pergi lagi menebalkan bibir secara kekal. Kata Datin Lara, kalau suntikan perlu diperbaharui enam bulan sekali. Ini tak perlu buat apa-apa dah.
 
Ketika itu semakin rancak orang memuji. Dia pula semakin terdorong mahu lebih cantik lagi. Angkara mahu melarang obsesinya, Datin Sally dituduhnya cemburu. Datin Sally juga dituduh dengki melihat diri dia dipuja. Lama-kelamaan Datin Lara jadi angkuh dengan orang sekeliling. Dengan Datin Sally juga sudah tidak rapat seperti dahulu lagi.
 
I bimbang dengan you, Lara!” tegur Datin Sally “Tak perlulah hendak rungsing. Bukannya I pakai duit you pun,” balas Lara. “You dah cantik semula jadi. Tak perlu usik banyak-banyak. Dah cukuplah tu,” pujuk Datin Sally. Lama-kelamaan wajahnya ketara perubahannya. Masyarakat hari ini bukannya bodoh mahu menilai mana asli manakan tidak. Jelas terlihat hidung Datin Lara lebih runcing, bibir lebih munggil dan matanya pun sudah punya kelopak. Fasa pertama cantik lagi walaupun sudah banyak mulut berkata-kata.
 
Datin Lara belum cukup puas lalu melakukan lagi beberapa pembedahan. Kalau cantik tak apa, lama-kelamaan wajahnya jadi sudah aneh. Diri sendiri tidak lagi mengenal mana cantik dan mana yang jelik. Semakin lantang orang berkata. Dari memuji jadi mengeji.
 
“Kau tengok muka Datin Lara terbaru? Kelakar! Dah teruk tak ada rupa dia langsung,” ujar salah seorang sosialit. “Sayang! Padahal orangnya lawa. Muka dia dulu lebih lawa,” tambah seorang kerabat pula. “Dahlah sombong. Sekarang Datin Sally pun tidak ditegur lagi. Padahal teman baik sendiri.” “Datuk tak menegur ke?” soal si sosialista.
 
Datin Lara terus dibenci kerana terlalu bongkak dengan kecantikan palsu dimiliki. Disebabkan obses dengan pembedahan dan botox, perbuatannya tak dapat dihentikan sesiapa. Ada sahaja yang menentang malah menegur seperti Datin Sally pasti dipulaunya orang itu.
 
Lama kelamaan dia tidak lagi menjadi tumpuan media. Golongan sosialit juga tidak mengaguminya lagi. Mereka kalau memandang wajahnya pasti merenung tajam. Dia berasa tidak senang lagi. Saat merenung diri dalam majalah, baharu disedari wajahnya semakin plastik. Disangkanya orang memandang kerana memujanya seperti dulu, padahal di belakang orang mentertawakannya.
 
Datuk juga mula bersuara dan malu dengan rupa parasnya kini. Kalau dulu Datuk bangga memimpin isteri ke majlis-majlis rasmi atau sosial, sekarang jangankan kata hendak bawa, pelawa pun Datuk bagaikan tak sudi. Dia rasa malu kerana kawan-kawannya kerap menegur, malah ada yang memerli dirinya. Tergugat juga egonya sebagai suami. Jadi, mahu tak mahu Datuk kena bersuara, kena hentikan obsesi isterinya dan senjatanya “berhenti atau Datin diceraikan.”
 
Menurut Datuk, Datin Lara bukan lagi orang yang sama dia cintai 18 tahun lalu. Wajah Datin Lara sekarang cukup berbeza dengan wanita yang dia cintai. Datuk rasa dia seolah-olah berkahwin dengan orang lain, paling teruk dia rasa seperti ditipu.
 
You tak pernah minta izin I saat mahu mengubah rupa. You pandai-pandai buat sendiri, you rasa cantik sangat ke ubah wajah tu,” ujar Datuk. “Tapi I buat semua ini demi you?” “Jangan nak bohong. Lagi pun ada I merungut? Sedangkan I sudah beritahu menerima you seadanya masa muda atau tua esok,” marah Datuk tidak boleh ditahan-tahan lagi. Datuk sedar dia sangat cintakan Datin Lara, tapi dia tidak dapat menerima perbuatan isterinya yang taksub dengan surgery ‘buat muka’. Marahnya juga bukan kerana benci, tapi demi kebaikan rumah tangga mereka dan demi kebaikan isteri tercinta.
 
Menyesal tiada gunanya lagi. Wajahnya kini sudah 80 peratus ditukar. Soalnya jadi tak cantik. Nak marahkan doktor, sudah dinasihati. Cuma dia sahaja yang degil tak mendengar nasihat. Baik nasihat doktor, mahupun Datin Sally.
 
Dia mahu memulihkan semula tetapi sudah terlambat. Mana yang kolagen bolehlah dibuang tetapi setiap pembedahan plastik dilakukan tak mampu dikembalikan pada bentuk asal lagi. Dia merayu doktor agar dikembalikan wajah asal. Namun doktor hanya dapat berbuat sedaya mampunya.
 
Kini jarang lagi Datin mahu keluar rumah. Dia menyesali diri dan memohon kemaafan daripada Datin Sally. Mujurlah temannya itu sangat baik hati mahu menerimanya kembali. Begitulah berakhirnya keangkuhan seorang Datin muda yang obses dèngan kecantikan dan tidak menghargai hari tuanya.
 
Menyesal tiada gunanya lagi. Mujur Datuk masih setia. Sahabat baik juga kembali. Tak adalah jiwanya terusik. Datin Sally pasti memberi sokongan dan meminta pakar kecantikannya berbuat sesuatu. Walaupun wajah asal tidak dapat dikembalikan lagi, tetapi keanehan rupanya yang plastik dapat dikurangkan.
 
“Terima kasih Sally kerana masih bersama I. Walaupun macam-macam I buat kat you,” ujarnya kesal. “Lara, saya dari dulu pun tidak jujur berkawan dengan you. Bangga kerana berkawan dengan orang cantik. Tetapi I sedar, kita harus jujur dalam bersahabat. I juga mohon maaf,” balas Datin Sally. “I tak ada masalah itu. I yang lebih teruk membuang you,” balasnya perlahan. “Dahlah. Yang penting kita sudah bersahabat semula.”
 
Kini mereka berdua jarang muncul di acara sosialit. Mereka lebih senang menempuh ketenangan meniti hari-hari mendatang dalam keberkatan. Datin Lara telah berhijrah. Mereka lebih dekat kepada Tuhan. Datuk sendiri senang dengan perubahan Datin Lara yang kini berhijab. Cara pemakaian juga lebih sopan. Kata Datin, dia mahu bertaubat kerana telah mengubah kejadian Allah.
 
 

See also
Trend - Warna UltraViolet untuk 2018