GLAM Life: Emmy Diana

GLAM Life: Emmy Diana

[soliloquy id="46052"]

 
Setelah 15 tahun menabur bakti dalam dunia korporat, Emmy Diana kini menumpukan sepenuh perhatian pada seni dan wanita ini kini melangkah berani mengolah karya seninya yang tersendiri.
 
Kediaman pilihan kali ini mengambil lokasi di lot kondominium mewah yang berlatarbelakangkan hutan konkrit kota raya. Emmy Diana, 38, bergelar artis sepenuh masa. Dia mengambil keputusan berhenti kerja setelah berkhidmat dalam bidang korporat sejak berusia 22 tahun lagi. Wanita dengan personaliti menarik ini memiliki dua puteri, Aina Maisarah, 15, dan Sarah Amanina, 14 hasil perkongsian hidupnya dengan suami terdahulu. Dia kini mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hati seorang warga Inggeris. Berada di ruang tamu kediaman Emmy seperti berada di sebuah galeri seni. Karya seni olahannya bergantungan indah di segenap dinding rumah. Garapan seninya ada yang bersifat abstrak dan juga figura indah wanita.
 
SENI CINTA ABADI
Wanita kelahiran Kuala Lumpur ini adalah pencinta seni kontemporari tegar. Sewaktu masih belajar di SMK Covent Jalan Peel, Emmy disarankan guru seninya untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang seni halus ataupun seni reka. “I had the highest score in art during school,” dia mula bertutur. “Saya diberi sijil penghargaan kerana aktif dalam subjek seni di sekolah.” Melihat akan bakatnya, guru mencadangkan dia melanjutkan pelajaran dalam kursus seni halus tetapi hasratnya waktu itu tidak mendapat restu keluarga. “Kala itu kedua orang tua saya berpendapat seni tidak menjanjikan masa depan yang cerah meskipun dibayar lumayan. Mereka mahu saya menekuni bidang sekretariat dan kemudian meneruskan pengajian di bidang pembangunan perniagaan untuk sarjana muda. Tamat belajar saya bekerja di institusi kewangan dan yang terakhir berkhidmat dalam bidang korporat untuk sebuah syarikat minyak sebelum mengambil keputusan berhenti kerja.”
 
Seni dipelajari atas usahanya menimba ilmu sendiri. Bakat seninya pula dipersembahkan dalam seni kontemporari. “Saya mula melukis dan menghasilkan karya pertama sekitar tahun 2003. Semuanya bermula kala saya bertandang ke studio rakan. Waktu itu dia masih menuntut dalam bidang seni halus. Saya menyibukkan diri dengan menggunakan kelengkapan seni milik teman. Kemudian terdetik di hati, mengapa tidak dibeli sahaja easel, kanvas, cat minyak dan berus sendiri? Bakat seni dirangsang daripada persekitaran. It came naturally to me.”
 
Emmy kini melanjutkan pelajaran secara sambilan di Sotheby’s Institute of Art dan mahu mengembangkan kerjaya seninya. “Bukan keuntungan yang dicari, menjana pendapatan dari penjualan lukisan bukanlah masalah. Seni itu kena ada penelitian dan hubung kait. Jika dibayar mahal sekalipun, kalau pembeli tidak dapat mengaitkan dirinya dengan lukisan atau emosi yang hendak diterjemahkan, tidak ada guna saya menjualnya.”
 
KEMBARA SENI
Selain seni, wanita ini gemar mengembara. “Percutian terbaru adalah kembara saya ke kawasan desa di United Kingdom. Kembara banyak memberi idea dan mengalirkan inspirasi kreatif. Banyak ilham saya dicedok daripada pemandangan dan pulau-pulau indah tatkala berlibur. Dengan mengembara juga saya dapat berjumpa dan mengenali artis luar negara. Boleh dikatakan saya sering terbang ke UK untuk meneliti seni kontemporari. Setiap kali ingin memulakan projek terbaru, saya akan mengembara untuk mengutip memori. Tunang saya banyak mendorong usaha seni selain menjadi pembakar semangat. Saya juga dapat melihat anak pertama saya punya bakat yang sama.”
 
Dia kini punya lebih masa dan tumpuan diberi sepenuhnya pada dunia seni dan keluarga. Saya mulakan hari dengan senaman yoga memandangkan faktor usia. Usai beryoga dan berehat seketika saya akan mengambil anak di sekolah dan kami langsung makan tengah hari bersama. Jika tiada acara atau aktiviti Persatuan Wanita Bumiputra Dalam Perniagaan Profesion Malaysia (Peniagawati), saya akan berkarya. Hujung minggu saya adalah untuk diluangkan bersama famili.” Berbicara mengenai kediamannya, Emmy menghias sendiri rumahnya. “Saya menyenangi kediaman yang moden dengan pencahayaan natural bagi mengimbangi hierarki ruang, saya tampilkan karya lukisan saya seperti berada di dalam galeri,” tutur Emmy menutup bicara.
 
Oleh: Zuhairie Sahrom
Arahan seni: Afiq Khairudin
Gambar: Shahrui Azhar
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi November 2015
 
 

See also
Retorik: The Ageless Woman!