GLAM Exposé: Kekayaan Mega Ranap Di Tangan Generasi Kedua - Glam Malaysia

GLAM Exposé: Kekayaan Mega Ranap Di Tangan Generasi Kedua

Kita sering mendengar orang tua-tua kita kalau melabel kekayaan golongan elit dengan perumpamaan, ‘tujuh keturunan pun tak habis makan.’ Ini untuk menerangkan betapa kayanya si polan itu. Tetapi benarkah kekayaan yang dimiliki hartawan itu mampu bertahan sehingga tujuh keturunan? Berapa ramai hartawan di Malaysia yang mewarisi perusahaan yang melibatkan keuntungan mega? Memang ramai hartawan di tanah air tetapi tidak semua mampu mengekalkan harta kekayaan peninggalan keluarga. Ya, hidup mereka sememangnya bergelumang dengan kemewahan seolah-olah mereka ini tidur di atas wang. Gaya hidup mereka bukan calang-calang. Kayanya mereka ini sehingga mampu memiliki kapal layar peribadi, jet peribadi, helikopter peribadi dan tentunya aset rumah persis istana di dalam dan luar negara. Dan ini belum termasuk lagi pelaburan saham mereka yang berbilion ringgit.

Bercerita mengenai harta yang diwarisi daripada keluarga memang biasa didengar. Sudah menjadi lumrah apabila memiliki aset perniagaan keluarga, waris keluargalah yang akan meneruskan perjuangan untuk meneruskan empayar perniagaan yang ditinggalkan. Ada yang bisa mengendali dengan baik tetapi ada yang hanya pandai menghabiskan dan menghancurkan empayar yang telah dibina orang tua mereka. Ada pepatah yang berbunyi, “First generation earn it, second generation spends it, and the third generation blows it.” Ini sebenarnya menggambarkan senario yang terjadi kepada beberapa keluarga hartawan.

Apa yang menjadi sebab kegagalan mengekalkan harta yang berjumlah berjuta-juta ringgit itu? Secara asasnya ia disebabkan kegagalan waris mengendalikan perniagaan. Waris gagal menguruskan ekonomi dengan membuat percaturan yang salah dalam pelaburan dan juga sikap boros, berjoli dengan harta yang ditinggalkan sehingga kekayaan yang ditinggalkan ranap di tangan generasi kedua dan ketiga.

Menurut Williams Group Wealth Consultancy, 70 peratus harta hilang di tangan generasi kedua, dan 90 peratus pula diranapkan oleh generasi ketiga. Sedih tetapi itulah yang terjadi. Duit yang berjuta-juta digunakan untuk berjoli. Mereka berfoya-foya dengan wanita, mabuk di kelab malam, berjudi dan menjalani kehidupan serba mewah tanpa batas. Duit umpama tiada nilai kerana bukan mereka yang bersusah payah membina empayar sehingga menghasilkan duit yang setinggi gunung.

Contoh hartawan negara barat yang gagal mengekalkan empayar yang dibina apabila jatuh kepada tangan waris mereka adalah keluarga Vanderbilt. Perusahaan Vanderbilt Corporation mengawal segala jalan laluan kereta api di Amerika Syarikat dan industri berat. Suatu ketika dahulu mereka pernah memonopoli ekonomi dunia hasil usaha Cornelius Vanderbilt. Perniagaan itu berjaya membolot keuntungan sehingga USD300 bilion. Sayang sekali apabila harta yang ditinggalkan dihabiskan ahli keluarga dengan membina rumah-rumah agam di seluruh Amerika Syarikat dan Eropah. Belum lagi duit dihabiskan dengan menaja vanity projects untuk mengangkat status sosial mereka sebagai sosialit berpengaruh di seantero dunia. At last look, not one Vanderbilt heirs have a single million to their name!

See also
GLAM Exposé: Mak Tiri Oh, Mak Tiri

Lain pula dengan keluarga bangsawan seperti Rothchild yang cukup dikenali dengan harta kekayaan mereka di Eropah. Mayer Amschel Rothschild yakni Pengasas bank Rothschild membina dinasti perbankan dari abad ke-19 yang bertahan kukuh hingga ke hari ini walau sudah ke generasi keenam.

Malaysia pernah dikhabarkan dengan berita sedih apabila Datuk dan Datin ini terlibat dalam nahas jalan raya. Anak-anak yang memang bermandikan wang ringgit sepertikan hilang arah dengan pemergian ibu bapa dalam sekelip mata. They lived like normal wealthy kids. They truly were the archetypal born with a silver spoon. Sayang sekali, pengurusan harta tidak dikendalikan dengan baik. Perusahaan Datuk Seri sedikit demi sedikit lenyap apabila anak-anak tidak mampu menguruskan ekonomi dengan baik sehingga syarikat mega milik orang tua mereka terlepas ke tangan orang lain. As there are no financial and succession planning the kids were left with not a single value to their name. Rumah-rumah agam milik Datuk dan Datin juga turut bertukar tangan dan jika adapun aset lain ia seakan tidak terjaga. Mereka juga tidak mampu membeli aset lain seperti arwah ibu bapa mereka.

Ya, ada pula seorang Datuk yang cukup disegani dengan kehebatannya di gelanggang korporat. Terkenal dengan ketegasan dan dedikasi dalam hal perniagaan. Justeru, dia selayaknya menjadi hartawan tersohor di tanah air. Selepas Datuk menghembuskan nafas terakhir, perusahaan syarikat diuruskan oleh waris-warisnya yang boleh dikatakan bijak juga dalam selok-belok perniagaan. Dunia kini berubah. Media sosial menjadi medium untuk semua orang menayangkan kekayaan masing-masing. Naik pesawat kelas pertama, pergi ke destinasi percutian mewah, kereta silih berganti, anak-anak mendapat pendidikan terbaik di institusi luar negara dan banyak lagi. Ia menjadi ketagihan apabila ramai yang mengagumi gaya hidup mewah yang dipaparkan. Ya, bukan semua mampu menikmati kehidupan mewah sebegitu. Mungkin masing-masing masih muda, jadi mereka tenggelam dengan nafsu menjalani gaya hidup yang terlalu extravagant dan seronok mengecap status sosial membuatkan kelekaan ini menelan banyak belanja dan sekali gus menjejaskan perniagaan mereka. Pekerja-pekerjalah yang paling terseksa kerana sudah bertahun-tahun tiada kenaikan gaji apatah lagi bonus. Dan gaji yang dibayar sangat rendah tidak sepadan dengan jawatan yang disandang. Mereka menggelar, ‘boss kedekut’. Tetapi adik-beradik ini cukup suka berbelanja besar untuk majlis amal dan wajib menjemput media untuk liputan. Ramai menganggarkan perniagaan mereka ini boleh bertahan hingga ke generasi ketiga sahaja jika mereka tidak berubah.

See also
Herlitz 2016: Si Cilik Bergaya & Selesa!

Bisnes perusahaan makanan pasangan ini mendatangkan keuntungan yang berlipat ganda suatu masa dulu. Benar kata orang bisnes paling cepat buat duit adalah bisnes makan. Pihak istana juga sering menempah makanan dari mereka sekiranya ada majlis berlangsung di istana. Keluarga menteri-menteri juga umpama kawan baik pasangan ini kerana selalu berurusan untuk khidmat catering. Anak-anak memang dari kecil sudah didedahkan dengan selok-belok perniagaan ini. Keluarga ini turut menternak ayam, lembu dan kambing sendiri khas untuk dimasak sebagai lauk kenduri dan dijual. Bayangkan mereka mempunyai rumah di London yang menjadi persinggahan mereka setiap tahun. Tiga tahun pertama selepas mengambil alih perniagaan ini, lima beradik ini mengendalikan perniagaan keluarga  dengan cemerlang. Masuk tahun keempat mereka bergaduh sesama sendiri berkaitan hal pengurusan harta peninggalan yang baru selesai. Pergolakan itu membuatkan mereka menjual perniagaan makanan itu termasuk ladang-ladang. Kononnya masing-masing sudah jemu dengan bisnes makan dan mahu mencuba bisnes lain. Hasilnya ada yang jatuh bankrap dan menjual goreng pisang sebagai sumber pendapatan. Ada yang cukup-cukup makan dan mungkin kakak sulung bernasib baik kerana baik dengan keluarga istana, jadi adalah projek masuk sikit-sikit. Kalau dulu anak-anak semua disekolahkan di sekolah Antarabangsa, sekarang semua sudah bersekolah kerajaan. Dan tiada lagi acara tahunan bercuti ke London. Rumah di sana pun sudah dilelong.

See also
GLAM #GirlSquad: Cristina, Nadia, Sharifah Amani & Ruzana

Satu keluarga ini pula mendominasi perniagaan balak. Keuntungan yang dikaut Tan Sri bukan sekadar di Malaysia malah di negara-negara jiran yang turut mengimport bahan mentah dari keluarga ini. Kalau datang ke rumah Tan Sri, dada dinding penuh dengan pingat keusahawanan yang dianugerahkan kepadanya. Waris tunggal lelaki Tan Sri gagal mengelola perniagaan ini kerana pengaruh alkohol dan berparti seperti tiada penghujungnya. Menghabiskan duit berbelanja pada wanita yang bersilih ganti dan mengumpul kereta mewah sports. Perniagaan Tan Sri akhirnya berjaya disaingi oleh dua tiga lagi syarikat lain yang lebih konsisten membuatkan klien ramai yang tidak menyambung kontrak dengan syarikat peninggalan Tan Sri. Menurut akauntan syarikat itu, legasi perniagaan ini hanya boleh bertahan sehingga empat ke lima tahun lagi sahaja sekiranya dia tidak berubah.

It’s how the heritance handle the wealth is the key to sustainable wealth. Kerana itu kebijaksanaan dalam mengelola perniagaan harus dirancang dengan serius oleh pewaris agar perniagaan akan terus berjalan walau dengan ketiadaan mereka. Saya ambil contoh usahawan seperti Tan Sri Dr. Francis Yeoh Sock Ping anak sulung kepada billionaire negara, Tan Sri Dr. Yeoh Tiong Lay yang berjaya mengangkat empayar YTL Corporations dengan cemerlang sekali. Tan Sri Francis Yeoh menyandang jawatan selaku Pengarah Urusan YTL Corporation sejak 1988 dan empayar YTL semakin teguh melebarkan sayapnya hari demi hari. Selain itu Rita Sosilawati juga mampu mengembalikan legasi arwah Datuk Sosilawati yakni Nouvelles Visages yang masih kukuh di pasaran selama 22 tahun di Malaysia. Bayangkan jika ramai usahawan Malaysia yang berjaya mengekalkan kehebatan mereka di gelanggang perniagaan ianya pasti memberi impak besar pada ekonomi negara. Pun begitu ada juga hartawan dunia yang tidak mewariskan harta mereka kepada generasi kedua sebaliknya menderma hampir 80 peratus harta mereka untuk tujuan kebajikan. Antaranya adalah Steve Jobs, Bill Gates, Warren Buffet, dan Mark Zuckerberg. Kerana bagi mereka, anak-anak juga perlu bekerja keras untuk berjaya setanding mereka dan tidak tamak membolot harta peninggalan. Nothing is free nowadays.

Teks: Tengku Ashley Hassan

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu Mac 2017