GLAM Exposé: A DAY IN THE LIFE OF A WEALTHY PEOPLE…

Gaya Hidup

GLAM Exposé: A DAY IN THE LIFE OF A WEALTHY PEOPLE…

292

Dikongsi Oleh: Yong Sufia

Orang kaya raya yang tidur atas duit, yang mampu beli apa sahaja sebenarnya rasa bahagia atau keseronokan mereka itu sekejap sahaja hinggap di hati. Sekejap saja barang yang dibeli baru beberapa bulan itu sudah jelak dilihatnya dan perlukan ganti untuk menggembirakan hati. Saya percaya orang seperti saya dan ramai lagi yang lainnya kalau dapat sesuatu barang berharga tentulah saya akan senyum hingga telinga, dan amat menghargainya sampai bila-bila. Ada saya terfikir, bagaimana rasanya jadi orang yang berduit ini, dan perasaan ingin tahu saya terjawab apabila saya mendapat bos yang memang ada ada orangnya. Urut dada jugalah melihat bekas bos saya ini berbelanja. Masuk di butik hanya tunjuk tas mana yang dia mahu, “Saya mahu itu, itu ,itu dan ini,” pekerja butik bagaikan sembah ratu pada bekas bos saya ini, dituruti sahaja fiil bos saya. Yang pelik satu tas berharga puluhan ribu ringgit tetapi sedikitpun dia tidak membelek. Hanya sekadar tunjuk dan bayar. Yang jinjit paper bag shopping pembantu rumahnya.

 

Sudah menjadi fitrah ibu bapa mahu menyediakan yang terbaik buat anak-anak. Ibu bapa sanggup berkorban apa juga untuk anak mereka. Beruntunglah anak-anak yang lahir di dalam keluarga yang kaya. Ya, celik saja mata di muka bumi the baby is ensured the best quality of living. Kalau si ibu boleh bergaya dengan helaian Burberry, Dior, Versace dan lain lain lagi jenama mewah si anak turut digayakan dengan pakaian jenama mewah sejak bayi lagi. Bersaing dengan anak-anak golongan atasan lain terlalu banyak protokol yang perlu diikuti. Oh tentunya persaingan tidak sampai di situ sahaja, ia berlanjutan kepada gaya hidup termasuklah di mana mahu menyekolahkan anak. Dan sejak lahir lagi ibu bapa sudah sediakan trust fund untuk perbelanjaan pendidikan anak-anak mereka hingga ke peringkat universiti. Sebagai ibu bapa dan kebetulan kaya mereka mahu menghantar anak-anak mereka bersekolah yang menyediakan sistem pembelajaran yang terbaik dan bertaraf antarabangsa yang mencecah RM40,000 hingga RM85,000 untuk setahun bagi seorang anak. Kalau lima anaknya? Darab lah jumlahnya. Mahu masuk Yale, Stanford atau mana-mana universiti terkenal di sana? Namakan sahaja! Tiada masalah, when you have all the money in the world why not splurge on your kids’ education.

 

Saya ada kenal dengan Datin Seri yang satu ini. Orangnya pemakan. Dan dia akan tetapkan tukang masaknya kan masak lauk yang berlainan dalam sebulan. Dalam sebulan menu lauk di rumahnya akan bertukar-tukar. Ya lah dia bayar tukang masaknya bukan calang-calang kerana ada pangkat chef. Dia mengambil tukang masak dari hotel terkemuka ibu kota untuk bekerja di rumahnya. Jadi kalau singgah ke rumah Datin Seri ini memang tak putus dengan aneka makanan dihidangkan, memang patutlah murah rezeki Datin Seri ini kerana dia suka menjamu orang makan.

 

Percayakah anda yang kehidupan golongan atasan penuh dengan 1001 satu misteri? Terkadang itu saya sendiri sepertikan tidak percaya apa yang saya nampak dengan mata kepala saya sendiri. Ya lah apabila duit terlalu banyak, banyak perkara aneh yang boleh dibuat. Pernah saya diundang untuk majlis hari jadi sosialit ini, urut dada dibuatnya, pole dancers bersepah- sepah menari dengan tiang masing-masing. Saya geleng kepala melihat gaya hidup orang ada-ada di Malaysia setaraf dengan kehidupan barat. Namun harus saya tegaskan di sini, bukan semua ya, masih ramai golongan bangsawan yang menjaga adab sebagai orang Timur dengan keperibadian yang terpuji.

 

Biarpun berstatus tinggi, berpendidikan, berketurunan golongan bangsawan, namun ada antara sosialit yang menurunkan martabat diri dengan membabitkan diri dengan dadah. Tetapi apa yang peliknya sekarang dadah bukan lagi menjadi hamba kepada golongan sosio ekonomi rendah tetapi menjadi permainan baharu kepada yang berstatus tinggi. Malah sudah semakin ramai golongan VIP yang berjinak-jinak dengan pengambilan dadah. Mungkin awalnya mereka sekadar mencari keseronokan dengan dadah tetapi tanpa disedari dadah mula menjerat diri. Menurut sosialit ini, dadah mampu melarikan mereka daripada masalah dan memberi kebahagiaan serta merta kepada mereka. Dan dadah mereka bukan calang-calang dadah kerana ia mencecah harga ribuan ringgit.

 

Kisah satu-satunya anak hartawan ternama yang bernikah di kota London secara tertutup cukup membuatkan saya terkedu. Keluarga terdekat dan teman rapat diterbangkan ke Kota London menginap di Bvlgari Hotel, London. Hyde Park menjadi destinasi garden wedding. Udara nyaman di taman pada musim bunga, angsa girang berenang di tasik menyaksikan betapa meriah majlis tertutup yang dihadiri 200 jemputan ini. Taman Hyde Park menjadi saksi pertukaran hantaran kedua mempelai ini yakni salah satu hantaran berupa kunci kereta Aston Martin! Dan di sebelah malam pula pengantin diraikan di hotel terkemuka Bvlgari, London. Semua impian si anak dikotakan termasuklah dress kahwin Elie Saab yang menelan belanja puluhan ribu ringgit! Oh belum lagi belanja bunga segar yang kosnya hingga cecah juta ringgit!

 

Datin sangat bijak, biar dia isteri kepada orang ternama tetapi dia tidak berjoli sakan seperti sesetengah isteri orang kaya yang lain. Kalau beli berlian itu cukuplah ada dua tiga set. Tak perlulah nak setiap tahun. Datin bijak kerana dia akan berbelanja dengan membeli hartanah. Rumah kedai, rumah-rumah, tanah lot kosong. Kalau harijadinya dia kan meminta hadiah berbentuk hartanah. Ya lah, kalau beli berlian berjuta pun bukan ada nilainya, tetapi dengan harga berjuta itu kalau beli rumah kan ada hasilnya. Datin dapat duit nafkah dari Datuk secara bulanan dan masa sama tanpa perlu bekerja, duit-duit sewa rumahnya terus masuk ke koceknya setiap bulan. Datin kalau berbelanja mewah dapat dilihat daripada percutiannya. Dia lebih suka menghargai tempat percutiaan yang eksotik dan eksklusif daripada membazir asyik membeli tas tangan dan baju couture. Bijak percaturan Datin!

 

Teringat saya dengan Datin yang satu ini, iya lah fahamlah setelah enam tahun mencuba untuk dapatkan anak, akhirnya berjaya mengandung melalui rawatan IVF. Celik sahaja mata bayi perempuan di dunia, dia dihidangkan dengan kemewahan. Kamar bayi ini direka khas oleh pereka tersohor yang menelan belanja 100k untuk rekaan dalam kamar bayi ini. Lengkap dengan zirafah dan beberapa binatang lagi. Di kamar ini juga ada disediakan sound system untuk memainkan muzik-muzik indah buat bayi ini. Kalau melihat kamar bayi ini, ia sepertikan syurga buat kanak-kanak. Datin juga sediakan beberapa katil untuk anaknya mengajak teman-teman tidur ke rumah seperti pyjamas party apabila dia sudah besar sedikit kelak. Semuanya lengkap serba serbi.

 

Cerita pasal baju, di bilik bayi perempuan ini sudah tersedia walk-in closet yang menempatkan baju daripada jenama mewah. Dari umur bayi hinggalah ke 4 tahun. Sepatu-sepatu berjenama juga tersusun kemas di walk-in-closetnya. Memang segala persiapan Datin dan Datuk bagaikan mahu menyambut puteri raja. Dan dengar cerita trust fund untuk persekolahannya sudah disediakan semenjak dia masih di dalam kandungan lagi. Di hari bayi ini membesar menjadi anak yang bias menabur bakti kepada orang tuanya. Kerana dia ditatang bagaikan minyak yang penuh sejak dia di dalam kandungan Datin lagi

 

Kisah mogul usahawan ini seringkali dipaparkan di akhbar begitu juga dengan ahli keluarga. Kalau sambutan harijadi keluarganya mereka akan menggesa pekerja perhubungan awam di syarikat mereka untuk merayu-rayu membuat liputan majlis yang diadakan. Lagi-lagi dari majalah berprestij tanahair. Sudah menjadi tradisi setiap anak yang mencecah usia 16 tahun akan dihadiahkan kereta Ferrari. Empat tahun lepas abang sulung mendapat kereta Ferrari dan sekarang giliran si adik perempuan pula menyambut ulang tahun sweet sixteen maka sebuah lagi kereta Ferrari di hadiahkan kepada anaknya. Majlis juga diadakan di hotel bertaraf lima bintang. Ucapan si ayah pada majlis itu yang dihadiri teman-teman anaknya berbunyi, “Whoever wants to drive a Ferrari you are welcome to our house!” Ucapannya disambut bingit dengan sorakan teman-teman si anak.

 

Adanya kuasa duit di tangan ia boleh memberi kesan positif atau negatif. Semuanya bergantung pada diri kita dengan membuat keputusan bagaimana mahu membelanjakan wang itu. Sekiranya kita diberi peluang untuk memiliki duit yang menimbun? Apa yang akan kita lakukan…Tepuk dada, tanya selera.

 

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu Ogos 2018

Your email address will not be published. Required fields are marked *