Dunia Kristal Swarovski - Glam Malaysia

Dunia Kristal Swarovski

Swarovski Kristallwelten yang dibina pada 1995 menjadi lokasi untuk pencinta Swarovski menikmati satu pengalaman indah untuk mengenali jenama yang ditubuhkan pada 1895 oleh Daniel Swarovski. GLAM terbang ke Wattens, Austria untuk menjejak kaki ke tanah bertuah ini lantas membukukan pengalaman penuh ilmu dalam cara yang cukup kreatif.

 

Kapal terbang membawa kami terbang dari Kuala Lumpur dan mendarat ke Munich. Kemudian perjalanan diteruskan dengan menaiki van bertemankan panorama gunung-ganang yang berselimut salju dan sungai yang dingin airnya. Kami Tiba di Wattens yakni sebuah kota yang terletak di Tyrol, Austria. Sepanjang perjalanan itu banyak informasi menarik yang dikongsi bersama mengenai kota-kota kecil yang kami lalui. Perjalanan kami adalah di atas undangan Swarovski untuk melihat sendiri Swarovski Kristallwelten yang menjadi ikon penting bandar Wattens. Di sini adalah lokasi penting buat batu kristal dan Swarovski yang menjadi pemangkin dalam membangunkan kota Wattens.

 

Sejuk angin malam menyambut kami di Swarovski Kristallwalten. Perkarangan luas muzim dunia kristal ini begitu indah dengan instalasi menarik dan salah satunya adalah lampu yang menyerupai awan. Crystal Cloud ini indah bercahaya memancarkan kerlipan Swarovski dan ia dibina di atas lapangan cermin hitam yang diberi nama Mirror Pool. Uniknya mengenai awan ini adalah setiap kristal akan memancarkan rona yang berbeza-beza mengikut cuaca. Crystal Cloud ini direka oleh Andy Coa dan Xavier Perrot dengan menggunakan 800,000 butir kristal Swarovski dan keindahannya memanah pesona pada semua yang bertamu ke Swarovski Kristallwelten. Ini adalah salah satu cara Swarovski untuk memberikan cara interaktif yang kreatif bagi pencinta label itu dan lebih menghargai seni artis moden.

See also
4 Peraturan Sarapan Mudah Turunkan Berat Badan

 

Setiap artis dan pereka fesyen mampu menterjemahkan Swarovski dalam cara yang berbeza-beza. Atas kerana itulah wujudnya lokasi ini yang menempatkan idea kreatif oleh insan seni untuk berkarya dengan menggunakan Swarovski sebagai elemen utama. Melangkah masuk ke balai seni kreatif ini pasti semua akan kagum dengan dinding yang dipenuhi dengan kerlipan kristal biru Klien Blue, rona penting buat mendiang Yves Saint Laurent. Pada ruang utama ini hasil seni karya Salvador Dali, Andy Warhol dan John Brekke turut dipertontonkan. Dan yang paling gah adalah sebutir batu kristal terbesar di dunia yang menjadi penyeri dan bertindak sebagai simbol ulang tahun ke-100 Swarovski pada 1995.

 

Bilik lain menempatkan daya tersendiri termasuklah The Crystal Dome yang telah mendapat inspirasi daripada Geodesic Dome rekaan Sir Richard Buckminster Fuller. Kubah Crystal ini diindahkan dengan 595 cermin dan memberikan pengalaman kepada manusia bagaimana hidup di dalam kristal. Terdapat sembilan cermin dikenali sebagai ‘spy mirrors’ dan runut muzik bilik cermin ini adalah daripada gubahan Brian Eno. Pemuzik asal Britain ini juga diberi penghargaan menghasilkan satu bilik yang diberi nama 55 Million Crystals. Eno mahu memperlihatkan bagaimana hubungan sintesis di antara muzik, cahaya dan gambar yang dilukis tangan. Rahsia bilik ini adalah setiap mata akan dapat melihat corak serta kerlipan yang berbeza.

See also
Sajian - Fiesta Rasa Ili Sulaiman

 

Silent Night adalah bilik yang direka oleh Tord Boontje dan ruang tengah bilik yang seakan dalam musim salji itu dihiasi dengan pokok Krismas hasil rekaan mendiang Alexander McQueen. Pereka fesyen itu menggunakan 150,000 butir kristal untuk menghiasi pokok Krismas itu. Fabrizio Plessi pula mencipta Crystal Forest yang mana menyaksikan gabungan material kayu asli bersama teknologi video sekarang. Kayu yang digantung pada siling membiaskan kerlipan kristal. Elemen api, air dan cahaya menjadi simbol utama penghasilan setiap butir kristal.