Datin X: Suami Berang Isteri Diberi Pangkat Datuk - Glam Malaysia

Datin X: Suami Berang Isteri Diberi Pangkat Datuk

Kali ini Datin X dapat cerita daripada teman karib Datin X. Kisahnya Datuk Zubaidah dan Zainal yang bercinta sejak daripada bangku sekolah lagi. Dulu selalu juga Datin X bertegur sapa dengan Datuk Zubaidah di majlis-majlis tapi yang hairannya batang hidung lakinya tak pernah pula nampak. Selepas SPM Zainal berjaya dapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke London School of Economics and Political Science daripada syarikat gergasi Malaysia. Zubaidah pula hanya dapat melanjutkan pelajarannya di Universiti Malaya.

Sebelum terbang ke London, orang tua Zubaidah ada bincang-bincang mahu nikahkan saja mereka berdua. Yalah belajar di negara orang putih, takut-takut nanti Zainal dikebas orang! Tetapi Zubaidah dan Zainal dua-dua berkeras tidak mahu, katanya biarlah tunggu sudah dapat kerja dulu. Jadi mereka sekadar bertunang.

 

Lima tahun berlalu Zainal pulang ke tanah air. Belum sempat habis lelah dari penerbangan 12 jam, Zainal sudah mendapat tawaran bekerja dari syarikat tajaannya. Cukup sebulan dapat gaji pertama terus majlis pernikahan Zubaidah dan Zainal dilangsungkan. Lain pula dengan Zubaidah yang sudah setahun tamat belajar tapi masih menganggur. Gaji Zainal pun lumayan, fresh graduate seperti dia dibayar RM3,000. Kira Zubaidah goyang kaki sajalah. Dalam pada itu sibuk juga dia mencari kerja.

Akhirnya Zubaidah menerima tawaran bekerja di syarikat minyak. Khabar berita gembira itu direstui Zainal. Mulalah kembara Zubaidah sebagai career woman. Dua-dua pun memang kuat bekerja dan bercita-cita tinggi. Rumah tangga mereka bertambah bahagia. Tetapi ibu Zainal tidak suka perempuan yang bekerja. Katanya tak reti jaga laki. Setiap kali ke rumah mereka ada saja silap Zubaidah dicarinya. Peti ais tidak ada makananlah, jarang masaklah, kain baju kenapa basuh di dobi, dan panjang lebar lagi leterannya. Diherdiknya Zubaidah masak tidak sedap kerana jarang ke dapur. Hampir tersedak Zubaidah di meja makan ketika mereka sedang makan bersama. Zainal yang sememangnya anak emak hanya diam membatu sahaja. Pernah satu hari dia masak kari ayam dan ibu mertuanya langsung buang seperiuk kari ayam ke tong sampah! Saja mahu hina kononnya masakan Zubaidah tak sedap langsung. Datin X memang naik hantu kalau kena macam tu. Tapi Zubaidah masak kari baru!

See also
Kolaborasi "At Home With" Pertama H&M Home bersama Poppy Delevingne

Selepas bersalin anak kedua, sekali lagi mak mertua Zubaidah berkeras mahu dia berhenti kerja dan jaga suami serta anak-anak di rumah. Dalam dilema, dia dinaikkan pangkat. Kata orang rezeki tak baik ditolak. Gajinya pun sudah melebihi Zainal. Tanggungan rumah juga dibahagikan sama rata dengan Zainal. Yuran sekolah anak-anak ditanggung sepenuhnya oleh Zubaidah. Zainal tak ingin bayar yuran mahal-mahal di sekolah swasta. Zainal pula aktif dengan politik dan jadi orang kuat salah seorang menteri yang dah tak jadi menteri sekarang ni! Ibu Zainal pun naik tocang, setiap bulan minta ribuan ringgit. “Bini kau kan gaji besar, tak payah bagi duit dekat dia, bagi dekat mak je!” Perli ibu mertuanya depan Zubaidah. Zainal memang sering berada dalam situasi ditelan mati emak, diluah mati bapa. Boleh kata Zubaidah memang banyak melabur untuk keluarganya dan dia telan saja segala hinaan ibu mertuanya.

Memang sudah lama Zubaidah teringin mahu berkereta sport. Kereta Peugeot yang dibelikan Zainal untuknya dijual dan diganti dengan Audi R8 warna merah. Mulalah Zainal rasa tercabar dengan isterinya. Dia hanya pandu Harrier. Rumah tangga Zainal dan Zubaidah mula bergolak. Zainal bertukar jadi baran, lagi-lagi apabila ‘dibakar’ ibunya. Kalau Zubaidah beli tas tangan mewah puluhan ribu ringgit dikatanya Zubaidah berlagak tak sedar diri. Duit gaji Zubaidah dia mahu kawal. Zubaidah juga sering terbang ke luar negara menghadiri mesyuarat berbanding Zainal. Pantang Zubaidah ada kerja di luar negara dia akan menghalangnya pergi. Pernah dilempang muka Zubaidah apabila memujuk rayu suaminya untuk membenarkan dia pergi.

See also
Filem Baru Cara Delevingne: The Face of an Angel

Pada usia 42, Zubaidah diberi gelaran Datuk! Maruahnya tercabar lebih-lebih lagi apabila ke majlis isterinya diperkenalkan sebagai Datuk Zubaidah dan dirinya sebagai Encik Zainal saja. Balik saja dari majlis Zainal akan memaki hamun Zubaidah. “Kau memang saja mahu aku malu, kau memang nak hina aku kan bodoh!” Pantang betul dia dengar orang panggil isterinya Datuk dan seakan menghormati Zubaidah lebih daripada dirinya. Majlis penghargaan buat Zubaidah langsung tidak dihadiri Zainal. Anak-anak yang bangga kerana ibu mereka bergelar Datuk membuatkan Zainal berasa meluat. Dia beritahu anak-anak, Zubaidah beli gelaran Datuk.

Entah gila apa, sewaktu Zubaidah ke luar negara, si Zainal bernikah dengan sepupunya sendiri hasil pilihan ibunya. Lebih kejam bini nombor dua pun tinggal dalam satu rumah bersama Zubaidah dan anak-anak! Luluh jantung Zubaidah pulang ke rumah berjumpa madunya. Bukan dia tidak kenal Anita, sepupu Zainal. Peritnya hati apabila tinggal sebumbung dengan madu. Emak Zainal pun tiba-tiba pindah dari Kedah dan tinggal di rumah mereka. Anak-anak mahu tinggal rumah lain, tapi Zainal tak izinkan. Enam bulan selepas dimadukan Zubaidah minta diceraikan. Zainal buat keras tidak mahu ceraikan Zubaidah. Kata teman Datin X, Datuk Zubaidah melarikan diri bersama anak-anak ke luar negara. Dia mungkin malu orang tahu masalahnya dengan suami.

See also
Datin X: Risau Anak Perempuan Tak Laku-Laku

Perkahwinan mereka tergantung seperti itu saja. Dengar cerita si Zainal sudah jatuh muflis. Yalah bini muda pun sibuk mahu jinjing Chanel macam Datuk Zubaidah. Teman Datin X terserempak dengan Datuk Zubaidah di London baru-baru ini. Dengan linangan air mata dia ceritakan segala-galanya. Di akhir ayatnya,“There’s a lot of bitterness in our marriage but in the end I still love him dearly.” Kalau Datin X tak payahlah nak kasihankan lelaki keparat macam tu! Baik Datuk Zubaidah kahwin baru lagi bagus.