Datin X: Datuk Meninggal, Datin Kembali Ligat - Glam Malaysia

Datin X: Datuk Meninggal, Datin Kembali Ligat

Ini kisah seorang Datin yang sudah beberapa tahun kematian suami. Dahulunya isteri mithali, warak gaya cakapnya, bertudung litup dan begitu dihormati. Tapi jarak umur antara dia dan arwah suami jauh sekali. Bila Datuk meninggal, Datin ini umurnya baru sahaja menginjak usia lewat 30-an. Sedih bukan kepalang bila suami tempatnya menumpang kasih sudah pergi selama-lamanya. Datin ini memilih untuk memerap di rumah, tumpu sepenuhnya pada anak-anak yang masih membesar dan enggan lagi keluar bersosial seperti dulu.


Hari dan tahun silih berganti, Datin ini nampaknya semakin dilupai. Anggapan orang, mungkin dia sudah selesa hidup bersendiri dan mungkin hanya ke masjid untuk belajar mengikuti kelas mengaji. Tapi tekaan ramai rupa-rupanya jauh silap sama sekali. Datin tersebut sebenarnya banyak travel ke luar negara kerana anak sulungnya menuntut di universiti sana. Malah dia punya kehidupan baru di tempat asing. Kediaman baru, kawan baru, penampilan baru. Tiada lagi tudung bawal menutupi kepala, janggal sekali kalau dia berkurung apalagi berjubah. Sekarang dia tengah syok berskirt dan menayang dada, memang hebat macam tak sangka dia sudah punya anak tiga. Datin ini nampaknya benar-benar sedang menikmati kehidupan barunya. Kembali single dan kembali dalam dating scene di kota yang tiada siapa mengenalinya.

See also
Epidemik Coronavirus

Asyik bertukar teman lelaki Mat Salleh, takdir Tuhan, akhirnya Datin ini terpaut pada lelaki Melayu juga. Jejaka pilihan Datin ini bujang terlajak yang memang kacak orangnya, sedikit muda tapi secocok nampak gayanya. Kontrak bekerja si teman lelaki sudah tamat tempoh dan sekarang dia harus pulang ke Malaysia untuk meneruskan tugasnya di syarikat sama. Datin jadi tak keruan. Tapi atas sebab cinta, dia berjanji akan turut pulang ke tanah air supaya mereka boleh terus bersama.

Teman lelaki itu sudah sebulan settle down di pejabatnya di Malaysia, Datin pula kembali berseorangan biar hatinya penuh sangsi. Takutkan apa keluarganya kata, apa pula komen bekas mentua dan takut dikutuk kawan-kawan lama sebaik mereka semua ternampak akan perubahan dirinya. Hari pertama dia kembali ke rumah lagi, sanak saudara datang bertandang bertanya khabar dan berkongsi cerita. Datin masih boleh berpura-pura lagi sebab dalam rumah, bolehlah dia berbaju decent lagi.

Esok lusa, hati Datin sudah tidak tertahan mahu bertemu dengan kekasih hati yang sudah seminggu tidak ketemu. Nak ajak datang rumah, anak bongsu masih bersekolah dan tinggal bersamanya. Lagi pun Datin tak percayakan pembantu rumahnya yang sudah bekerja lama begitu rapat dengan keluarga bekas mentuanya. Nak jumpa di rumah si boyfriend, tak pernah dia dijemput datang, mungkin sebab lelaki itu pun kurang selesa sebab masih baru tinggal di sana. Lalu mereka bertemu di sebuah restoran eksklusif untuk makan malam. Oh, rindu sungguh kedua-duanya, menggenggam erat tangan sepanjang berjumpa. Seperti terlalu sayang mahu dilepaskan sampailah Datin tersentap terkejut mengingatkan dia ternampak kelibat salah seorang ahli keluarganya. Padahal, itu cuma perasaannya saja.

See also
GLAM Deko - Bersama Pengarah Urusan, Feruni Ceramiche

Datin tiba-tiba menjadi paranoid tak tentu pasal. Second date lebih parah. Teman lelakinya geleng kepala dan malu sendiri bila melihat Datin datang berselendang dan berkaca mata hitam. Buang tabiatkah? Soal si boyfriendnya. Jawab Datin, dia takut terserempak dengan orang yang dia kenal. Takut orang mengata dia janda berhias tergilakan anak muda. Nak dijadikan cerita, memang ada orang ternampak Datin dan teman lelakinya bersama. Kadang-kadang Datin berselendang, kadang-kadang berambut panjang berkepuk-kepuk pula. Bercinta macam orang muda satu hal, krisis identiti pula membuatkan orang lain menengoknya seperti perempuan mereng.

Kerana cinta, Datin pekakkan telinga. Kerana malu, si teman lelaki mula menjauhkan dirinya. Berbulan Datin cuba menyelamatkan hubungan mereka tetapi boyfriendnya nampak gaya sudah tawar hati. Sampaikan lelaki itu buat-buat tak kenal bila Datin tercegat di depan pintu pejabatnya, berselendang, berkaca mata hitam sambil menundukkan kepala takut-takut dilihat orang. Datin hampa dan kembali murung. Kali ini hatinya lebih terluka mengalahkan waktu arwah suami pergi meninggalkannya. Datin ambil keputusan untuk kembali menetap di luar negara. Hatinya lebih tenang tak perlu lagi dengar cacian orang, tak perlu lagi teringatkan kenangan bersama ex-boyfriend tersayang. Nampaknya hidup Datin kini back to square one.