Datin X: Affair Di Hujung Usia - Glam Malaysia

Datin X: Affair Di Hujung Usia

Walau hidup di zaman yang serba moden, pemikiran pula janganlah terlebih moden. Usah galak sangat berkiblatkan Barat sampai adat dan adab Timur dipinggirkan. Ya, media sosial membongkar kehidupan kita untuk tatapan umum. Tapi ada sesetengah perkara kita tidak boleh nak ‘open’ sangat. Contohnya hubungan sulit.

Pasangan korporat yang agak berusia ini sudah lebih 10 tahun bercinta. Masalahnya, yang lelaki suami orang walaupun yang perempuannya sudah janda. Dan masing-masing sudah ada anak dewasa. Hubungan mereka bukannya rahsia, bahkan keluarga kedua-dua belah pihak saling mengetahui.

Isteri lelaki tersebut macam dah tak kuasa nak mengamuk lagi. Sebab kalau ada kenduri kendara pun, pasangan ini cukup selamba hadirkan diri untuk duduk di meja sama. Power couple katakan. Siapa berani tegur. Lagi pun pasangan ini ibarat lubuk duit buat sanak-saudara. Bila ditaburkan duit, diamlah mereka.

Ceritanya, pertengahan bulan lepas warga korporat mula bergosip sesama sendiri bila ada sebilangan di antara mereka menerima kad undangan perkahwinan. Kata seorang teman Datin X, macam tak percaya akhirnya mereka memilih jalan untuk berkahwin setelah sekian lama berada dalam open relationship. Beritahunya, majlis yang bakal diadakan tentu sekali mewah tetapi jemputan hanya ahli keluarga dan rakan terdekat sahaja.

See also
Datin X: Isteri Rancang Kerjaya Politik

Alkisah, beberapa hari sebelum menjelangnya hari bersejarah, tiba-tiba bakal pengantin lelaki rebah diserang sakit jantung. Alhamdulillah ada saksi yang melihat dan cepat-cepat membawanya ke hospital. Bayangkan kalau tak sempat? Takut tak sempat nak menebus dosa berselingkuh bertahun-tahun lamanya.

Disebabkan ini, perkahwinan ditangguhkan padahalnya semua sudah booking, semua on standby, malah dekorasi untuk resepsi juga yang sudah separuh jalan terpaksa dihentikan serta-merta. Sekarang lelaki tersebut sudah kembali sihat, bagai diberi peluang kedua untuk hidup. Datin X ingatkan dah bertaubat, tapi jelas sekali sangkaan Datin X meleset.

Affair masih berjalan seperti biasa. Masih meneguk arak, masih hisap rokok berkotak-kotak. Gaya hidup tetap seperti dulu bagaikan episod serangan jantung tidak pernah berlaku. Dan entah kenapa akad nikah masih ditangguhkan lagi. Rumah kata pergi, kubur kata mari…masih tidak sedar-sedarkah? Datin X betul-betul tak faham!

Baru-baru ini di Instagram, Datin X ternampak gambar keduanya bersama ahli keluarga duduk di meja makan potong turkey, meraikan Thanksgiving. Bukan niat mahu memanjangkan isu tetapi apa yang pasti Datin X memang boleh sahkan yang pasangan ini Islam. Eh, bukan ramai ke orang Melayu liberal sekarang hias pokok Krismas setiap kali masuk Disember? Pelik tapi benar atau mungkin Datin X yang berfikiran kolot.

See also
Destinasi Wajib Lawat Sekitar Pulau Pinang