Datin X: Cinta Terhalang Kerana Berbeza Fahaman Politik

Datin X: Cinta Terhalang Kerana Berbeza Fahaman Politik

Datin X
 
Tak sangka banyak pula maklum balas yang Datin X terima mengenai kolum sebelum ini. Rupa-rupanya ramai yang tak puas hati bila Datin X sebut mengenai manusia yang suka tayang ‘keluarga bahagia’, lebih parah ramai yang marah bila Datin X sebut pasal alim copy paste! Kata mereka, lebih teruk lagi orang yang asyik update gambar-gambar sewaktu mengerjakan Umrah di Tanah Suci apabila motif utama sepatutnya mengabdikan diri pada yang Satu tapi nampaknya bila sudah show off di Facebook dan Instagram, orang lain jadi tak senang malah menuduh tukang post tu sebagai riak pula. Macam mana tu? “Iyalah, kalau dah nak menayang setiap kali buat ibadah, boleh ke concentrate kalau dalam kepala asyik sibuk nak cari angle gambar cantik? Lepas tu cepat-cepat upload bagi sedunia tengok. I rasa tak berapa elok lah macam tu!” ujar teman melepas geram.
 
Dalam pada sebilangan manusia yang meluahkan rasa tak puas hati, ada seseorang yang memberi sebabnya mengapa dia penuhkan setiap media sosial miliknya dengan gambar-gambar dia bersama suami dan keluarga – siang malam pagi petang tanpa henti! “I tahu ada dua tiga gadis muda ‘menaruh hati’ pada husband I. So I nak semua tahu yang Datuk sangat bahagia dengan kehidupannya sekarang. Dia ada isteri yang menjaganya, ada anak-anak yang menjadi pelengkap hidupnya. Tak perlu ada ‘ekstra’ untuk menghuru-harakan hidup kami. Mungkin orang nak cakap I paranoid but so what? Ini cara I, lebih baik berjaga-jaga dahulu sebelum nasi terus menjadi bubur!” Hmm… ada betulnya hujah Datin Nor. Padanlah dia antara cik puan-cik puan yang guna nama suami sebagai nama belakang (surname kononnya). Nak beritahu sekalian alam rupa-rupanya. Haih, dunia ini macam-macam!
 
Cinta Terhalang Kerana Berbeza Fahaman Politik
Kalau diikutkan cerita, seperti kisah cinta terlarang yang dibaca dalam novel atau filem dulu-dulu. Tapi ini cerita betul, bukan dibuat-buat. Di abad ke-21 ni, bukan darjat dan pangkat yang mampu memisahkan cinta sejati kerana apa ada pada darjat bila wang dan harta menjadi kayu pengukur kebahagiaan. Dan apa ada pada pangkat kerana kepercayaan juga boleh dibeli. Ini Datin X nak cerita, disebabkan fahaman politik, dua jiwa merana. Berbeza ideologi sebenarnya boleh merobohkan cinta sekuat mana sekali pun – itu pasti bila Datin X tengok sendiri.
 
Dua anak muda bercinta, kemudian ambil keputusan mahu berkahwin tapi ditentang kedua-dua belah pihak sebab masing-masing kuat mempertahankan ideologi politik masing-masing. Padahalnya, pasangan tersebut tidak pun ambil pusing mengenai kepentingan politik keluarga mereka. Namun ego keluarga melebihi segalanya. Kedua-dua belah pihak enggan kalah. Jadi pasangan bercinta ini menjadi mangsa. Pelbagai cara mereka mahu memisahkan kedua-duanya tapi ini bukan zaman Hang Tuah lagi. Pasangan tersebut tidak mengendahkan keluarga masing-masing dan terus keluar seperti biasa, masih degil mahu merancang majlis perkahwinan sendiri. Apalagi, makin panaslah hati keluarga kedua-dua belah.
 
Datin X di sini musykil. Kalau benar nak kenduri, bolehkah kedua-dua keluarga bersemuka di majlis nikah dan resepsi nanti? Lupakanlah seketika perkara yang menjauhkan diri dari darah daging sendiri. Lagi pun, susah payah nak bergaduh pasal ideologi, takkah buang masa dan tenaga saja? Mungkin Datin X fail kalau diajak berdebat mengenai politik, tapi Datin X yakin hubungan akan terjalin secara semula jadi sebaik ikatan nikah termeterai. Tunggulah bila sudah bercucu esok, lagilah erat silaturrahim antara keluarga. Bukankah lebih baik bersaudara dari berperang atas sebab yang kurang pasti?
 
 

See also
Himpunan Rutin Pagi 7 Wanita Berjaya Era Ini