Sembang Fesyen: Harvee Kok

Sembang Fesyen: Harvee Kok

Harvee Kok
 
Pereka muda, Harvee Kok terkenal dengan hasil sentuhan rekaan moden, futuristik dan mempunyai unsur seni bina. Nama Harvee Kok pernah dijulang apabila memenangi Anugerah Harper Bazaar Asia New Generation Fashion Designer pada 2013 di Bangkok telah membuatkan dia terus bernyawa dalam arena fesyen tempatan.
 
Permulaan pertama ketika menghasilkan koleksi?
Sudah menjadi resam rasmi bagi setiap pereka. Pasti mereka memulakan terlebih dahulu dengan mencari sumber inspirasi. Kemudian diikuti pula dengan deretan mood board, malah sudah tentunya pencarian fabrik dan item perincian antara yang dijadikan asas. Yang terakhir adalah lakaran bagi bakal himpunan saya.
 
Perkembangan terbaru?
Saya sememangnya dahagakan ilmu pengetahuan terutamanya dalam bidang fesyen. Bagi saya, ia suatu kerugian yang amat besar. Oleh itu, saya bakal meninggalkan negara tercinta demi menyambung pengajian, lalu berbakti dan menaikkan label saya ke peringkat antarabangsa.
 
Bagaimana anda mendapat inspirasi?
Apa yang terlintas di benak fikiran atau perkara yang berlaku di persekitaran saya samada secara peribadi atau pada teman-teman itu yang secara tidak langsung menjadi sumber inspirasi saya.
 
Pencapaian terbaik?
Sudah tentu apabila memenangi tempat pertama di pertandingan Harper’s Bazaar Asia New Generation Fashion Designer 2013 dan terpilih sebagai duta kempen Johnnie Walker “Keep Walking”.
 
Gaya signature?
Saya sering membuat eksperimen dalam setiap aspek antaranya dari segi teknik pemotongan fabrik, susunan pola pakaian atau gabungan material berbeza agar mencipta satu visual yang penuh dengan unsur seni bina dan mendapatkan siluet yang moden. Malah, setiap rekaan yang dilakukan adalam pembiasan daripada gaya identiti saya.
 
Siapakah yang mendorong anda untuk menempah nama di persada fesyen?
Rasanya tiada sesiapapun yang mendorong saya untuk menempah nama di persada fesyen kerana sejak masih di bangku sekolah saya amat meminati dunia fesyen. Malah, mula menjinakkan diri melalui lukisan figura wanita.
 
Pereka kegemaran?
Pereka terkenal, Phoebe Philo sentiasa menjadi kegemaran dan idola saya dalam arena fesyen. Kredibiliti dia dalam menghasilkan himpunan amatlah luar biasa. Sentuhan magis serta ideologi doa dalam bermain fabrik, warna dan teknik terlalu mendambakan. Mungkin suatu hari nanti, saya bakal menempah nama seperti dia?
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi Januari 2015
 
 
 

See also
Florence Pugh, Ratu Trend Fesyen Jarang Hollywood