Red Carpet Glory! - Glam Malaysia

Red Carpet Glory!

Teks: Aizat Aidid
 

g 164

Gmabar: Arkib GLAM


 
Melihat acara prestij Malaysia yang melibatkan selebriti, sangat payah untuk saya jatuh hati pada penggayaan mereka sehinggakan bagai sudah hilang kreadibiliti daya kreatif pereka lokal dalam menyajikan busana hebat untuk acara karpet merah. Apakah memang hilang taring atau pereka lokal sendiri tidak mahu berkarya lebih?
 
Adakah selera fesyen selebriti lokal kita masih pada tahap yang rendah? Mungkin soalan ini agak keras. Ya lah, kerana ramai “peminat” Malaysia ini meletakkan barisan selebriti lokal sebagai ikon fesyen mereka. Ada juga selebriti lokal yang megah berkata cukup mencintai fesyen. Jika salah gaya, mereka ini juga yang kecundang apabila melewati permaidani merah ketika hadir ke acara anugerah prestij kebangsaan. Atau mungkin bukan salah mereka, dosa fesyen diletakkan pada pereka fesyen lokal yang kononnya tidak punya selera fesyen yang bagus. Apa sahaja alasan yang dilontarkan, kini sudah tiba masa untuk selebriti lokal dan para cendekiawan fesyen untuk mula mengasah minda mereka. Jelak saya melihat rekaan yang kurang kemas dan memuaskan melintasi karpet merah.
 
Topik ini mungkin tidak pernah basi daripada perbualan semasa. Kerana kononnya, tatkala berlangsung acara anugerah peringkat global seperti Oscar atau Grammy, semua orang sibuk memberi komen mereka. Lagi-lagi pereka fesyen lokal yang kononnya cukup gah dan punya nama besar dalam arena fesyen lokal. Ini membuatkan saya tertunggu-tunggu hasil mereka namun, indah khabar daripada rupa. Mungkin ada yang tidak tahu, tetapi bagi saya acara karpet merah adalah momen penting untuk mengukuhkan nama pereka fesyen pada tahap yang lebih tinggi. Saya percaya yang ketika acara permaidani merah baru orang di luar bandar kenal pada nama-nama jenama lokal. Maka hubungan simbiosis antara para selebriti dan pereka fesyen amat penting.
 

See also
20 Stail Terbaik Selebriti Di Academy Museum Gala

SIMBIOSIS KELOMPOK FESYEN

Bercakap perihal simbiosis fesyen dengan pelbagai pihak mungkin akan menyebabkan banyak idea yang bercanggah. Perlu tahu, ini adalah kerja kumpulan yang perlu dilihat pada sudut yang lebih serius. Bukan kehendak selebriti itu sahaja perlu didengar. Malah, sejujurnya saya yakin yang pereka fesyen perlu mengekalkan identiti mereka tatkala menyiapkan busana red carpet worthy. Ada kala jika saya tanya pada sesetengah pereka fesyen lokal, kebanyakan selebriti besar kepala dan mahu pereka ikut kehendak mereka. Walhal ini adalah gelanggang buat pereka fesyen mempertaruhkan busana mereka. Ia juga boleh dilihat sebagai satu pertunjukan fesyen dan semangat pasukan perlu diterapkan. Barulah hasilnya semegah yang dimahukan.
 
Bukan senang untuk mendapatkan momen karpet merah yang unggul. Banyak perancangan yang perlu dititik beratkan. Mungkin golongan selebriti lokal hanya menuju terus ke pereka fesyen untuk mendapatkan baju. Percayalah bahawasanya, jika selebriti lokal ini bijak mereka pasti akan mendapatkan khidmat penata gaya dahulu. Kerana bagi saya, pereka fesyen dan selebriti melihat pada satu dimensi yang sama. Yakni baju cantik dan senang digayakan. Namun, penataan gaya karpet merah lebih daripada itu. Ia perlu dilihat daripada segi solekan hingga ke kasut apa yang perlu disarungkan. Dek kerana itu jika di Hollywood, penata gaya memikul tugasan paling berat dalam mencipta gaya hebat di permaidani merah.
 
Selebriti Hollywood punya banyak pilihan dalam mendapatkan khidmat penata gaya. Nama seperti Elizabeth Stewart yang punya klien seperti Cate Blanchett dan Frieda Pinto adalah ratu di kalangan penata gaya yang ada ketika ini. Ini kerana dia punya selebriti yang sering menang anugerah dan itu meletakkan namanya di puncak sekaligus menggantikan Leslie Fremar yang mengungguli carta pada 2013. Ini semua adalah permainan penting buat selebriti dan penata gaya mereka. Penata gaya melihat pada dimensi yang lebih luas. Paling penting adalah mendapatkan busana terbaik daripada setiap label fesyen terbaik dunia. Seperti rekaan eksklusif terbaru daripada Tom Ford atau Gucci Première.
 
Orang kata jangan samakan industri hiburan lokal dengan antarabangsa, kerana mereka punya kuasa yang lain. Namun, bukankah kehendak kita semuanya sama? Jika ada kemahuan untuk mendapatkan yang terbaik, pasti selebriti lokal boleh bahagikan masa untuk mendapatkan khidmat penata gaya. Mereka ini bagaikan broker fesyen yang perlu diambil berat dan tidak salah untuk selebriti menghabiskan duit agar nampak lebih bersiap cantik. Saya cukup tertarik dengan Noor Neelofa, Alyah dan Bront Palarae yang mengambil inisiatif mendapatkan khidmat penata gaya bagi merancang gaya mereka.
 
PUJANGGA DEWI HIBURAN

See also
Gadis-gadis Fitness Di Instagram Sebagai Inspirasi Anda

Mungkin banyak momen yang jelik daripada yang elok berlaku di acara permaidani merah. Jika dihitung tidak cukup jari! Namun begitu, masih ada juga selebriti yang semakin kembang laksana bunga seiring dengan kejayaan yang diraih oleh mereka. Contoh terbaik adalah bagaimana Cristina Suzanne yang tidak pernah kalah gaya apabila melewati karpet merah. Bakatnya sudah tidak dapat disangkal lagi. Biarpun punya karakter yang sedikit kelakian, namun itu tidak menghalang dia mendapatkan busana terbaik daripada Nurita Harith tatkala ke majlis berprestij tinggi. Bagaikan satu magis melihat kolaborasi Nurita Harith dan Cristina Suzanne! Tentu sekali saya cukup terpukau melihat Cristina sewaktu di Anugerah Skrin 2013 dalam persalinan Nurita Harithnya, cukup anggun laksana pelakon kelas A Hollywood.
 
Jika Nurita Harith menjadi pari-pari fesyen buat Cristina Suzanne, gelaran yang sama patut diberikan kepada Alia Bastamam yang cukup bijak mengubah rentak gaya Nabila Huda. Setelah senyap dan sibuk menghabiskan masa membesarkan anak tunggalnya, Nabila Huda melangkah keluar dari kepompong dalam busana Alia Bastamam ke Anugerah Blockbuster 2012. Biarpun diselar kerana terlalu menjolok mata, namun ia adalah momen penting Nabila Huda dalam dunia hiburan dan tempiasnya meletakkan dia sebagai orang baru yang perlu diberikan perhatian khusus dalam dunia fesyen. Sejak daripada anugerah tersebut terus gayanya dijaga rapi dan badan disaluti dengan jenama Alia Bastamam hingga ke Rizman Ruzaini.
 

See also
Karpet Merah Hollywood Film Awards 2015