OBSESI GLAM: Suraya Sharifuddin - Glam Malaysia

OBSESI GLAM: Suraya Sharifuddin

Pengasas Sakura Malaysia, Suraya Sharifuddin julang fabrik lokal.
 
suraya

Bagaimana bermulanya kisah Sakura Malaysia?
Ianya bermula apabila saya menghasilkan beg buat projek antara Dina Nadzir dan Estee Lauder menggunakan kain batik yang diperturunkan oleh ibu mertua. Selepas itu, minat dan hobi bercambah lantas saya cuba bermain dengan kain batik itu untuk menghasilkan satu koleksi beg tangan sebagai satu perniagaan. Kerana saya cukup cintakan fabrik lokal seperti batik dan kain songket. Kini ia cukup membanggakan kerana dapat diterima ramai dan ada juga pihak yang menjadikannya sebagai cenderamata buat tetamu antarabangsa.
 
Dimana mendapatkan fabrik lokal?
Pada asalnya, saya mahu menghasilkan batik sendiri namun ia bukanlah mudah. Kerana sekarang ia cukup susah untuk mendapatkan batik cap yang mempunyai kualiti yang bagus. Lalu, saya membuat keputusan untuk membeli batik daripada pembuatan batik sendiri. Saya akan terbang ke Kelantan hingga ke Sabah untuk membeli batik. Paling penting saya akan membelek setiap batik yang dibeli kerana ingin mendapatkan material yang berkualiti serta corak yang cukup klasik. Kadang kala sampai berjam-jam duduk di dalam kedai batik.
 

Beg Tekad

Beg Tekad

Apa pula kisah tekad yang dihasilkan oleh Sakura Malaysia?
Selepas puas menyelami material batik hingga ke material pua, saya terbuka hati untuk mengangkat seni tekad yang menjadi legasi budaya buat negari Perak. Lantas saya ke Perak untuk mendapatkan khidmat pembuat tekad, dia ini antara yang masih mengajar orang muda dalam seni tekad. Hasil seninya digunakan oleh golongan diraja. Lalu, dia adalah orang terbaik dalam menghasilkan tekad untuk Sakura Malaysia.
 
Kenapa memilih untuk menggunakan fabrik tradisional?
Sejak kecil saya sudah mencintai fabrik sebegini, lebih-lebih lagi pelamin tekad serta songket yang nilainya cukup mahal. Setelah berbincang dengan suami, keputusan dibuat untuk menjulang fabrik lokal sebagai asas utama Sakura Malaysia. Selain itu, saya rasa kosong kerana tiada sesiapa yang mahu menjulang material lokal atau yang ada mungkin tidak buat sepenuh hati. Saya mahu mendukung barang Malaysia ini perlu menggunakan fabrik lokal dan dibuat di tanah air sendiri. Barulah ia melambangkan budaya Malaysia.
 
Apa teknologi baru yang disertakan pada beg Sakura Malaysia?
Sekarang ini saya sebok dalam hal menyempurnakan koleksi baru yang mana di dalam beg akan mempunyai power-bank. Ia adalah satu inovasi baru Sakura Malaysia dalam memberikan gaya dan praktikaliti. Maka, anda boleh cas telefon mobil di dalam beg. Ia akan hadir dalam enam rekaan yang berbeza dan boleh dilekatkan pada mana-mana beg kerana datang bersamanya adalah kutang. Misi saya adalah untuk menghasilkan cas serta beg yang ringan agar mudah buat pengguna.

See also
Future Princess Meghan Markle Telah Memilih Pereka Gaun Perkahwinannya