Retorik: Warisan Dan Budaya, Di Mana Aset Nilainya?

Retorik: Warisan Dan Budaya, Di Mana Aset Nilainya? – oleh Syomir Izwa

SyomirIzwaGambar: Arkib GLAM

 
Oleh: Syomir Izwa
 
Sebagai orang seni, tentu sekali memiliki keterujaan dan peka terhadap perkara-perkara di sekeliling kita yang mungkin dipandang ringan oleh sesetengah golongan. Salah satu perkara yang membuat saya belajar tentang kehidupan adalah cara manusia berinteraksi, sejarah dan budaya melalui pelancongan. Dari situ kita dapat lihat betapa tingginya kecintaan terhadap budaya dan sejarah mereka. Secara amnya, terdapat kebenaran dan kesahihan dalam semua perkara sehingga sekecil-kecil subjek dapat dilihat nilai-nilainya.
 
Kebanyakan mereka yang suka melancong adalah seorang yang peka dan tahu menilai aset sejarah yang tinggi. Contohnya, di Eropah yang memang terkenal dengan muzium-muzium terbaik di dunia dan bangunan beratusan tahun turut menyimpan kostum yang berabad lama dan masih dijaga baik. Some to the extend of still having the same pebbles on the street since god knows when. Ia boleh membuatkan kita rasa bangga dan teruja dengan keunikan warisan yang bukan kita miliki. Terlintas di fikiran bagaimana dengan negara kita sendiri? Kita sering meuar-uarkan negara kita kaya dengan adat, budaya, seni dan sejarah tetapi adakah itu sudah memadai? Adakah kita melaksanakan dengan sepenuhnya atau sekadar pameran sarkas untuk menarik perhatian pelancong semata-mata?
 
Kunjungan saya ke Pulau Pinang dan Bali baru-baru ini telah membuka mata dan minda. Kebanggaan dalam memelihara warisan sejarah dan budaya membuatkan saya marah terhadap negara sendiri. Begitu kecilnya penghargaan kita terhadap nilai-nilai itu yang dianggap begitu ringan. Kita perlu tahu betapa pentingnya nilai aset kebudayaan dan warisan negara kita. Kerana itu, kebanyakan orang tempatan mudah jatuh cinta kepada budaya asing. Dengan alasan ‘apakah sebenarnya budaya kita dan di mana nilainya? Ia berlaku kerana sejak kecil lagi kita tidak dididik atau menerapkan nilai-nilai kemasyhuran negara sendiri. Malah kita diajar dari kecil bahawa apa yang lama dianggap ketinggalan dek zaman dan tiada nilainya. Bahkan disogokkan dengan pemikiran yang baru dan lebih moden!
 
Saya percaya semua perkara ini bermula dari rumah dan paling penting pemimpin negara harus menunjukkan kepada para cendekiawan dan pendidik. Jika benar cintakan budaya dan bangga terhadap sejarah negara, buktikan! Kita boleh meuar-uarkan apa juga perkara tetapi rakyat mahu melihat hasilnya. Didiklah kami, didiklah anak-anak muda. Tarik hati mereka dengan pendekatan warisan dan budaya asli. Contohnya, benda-benda vintaj yang semakin mendapat tempat di hati mereka. Saya percaya anak-anak muda ini amat menagihkan keaslian dan ramai juga yang saya percaya mahu mendalami dan ingin tahu dengan lebih banyak lagi tentang budaya dan sejarah yang dimiliki.
 
Kalau kita lihat di sekeliling juga kehidupan seharian, there’s no connection to the history and anything that is pure anymore. Bangunan-bangunan indah dengan karya seni dan sejarah yang tinggi nilainya diruntuh sewenang-wenangnya hanya kerana mahu mengaut keuntungan. Tarian-tarian Melayu di restoran-restoran terkemuka sudah di ‘fusion‘ kan dengan tarian pop, fabrik labuci dan poliester murah. Muka yang sawo matang dianggap tidak cantik dan disogokkan dengan idea kulit cerah, mata berwarna biru dan hijau adalah cantik. Muzium dan bilik pameran dipersembahkan dalam gaya paling sederhana seperti tidak ada semangatnya. Sesetengahnya, boleh diklasifikasikan seperti pameran sekolah menengah. Amat memalukan. Di mana letaknya nilai penghargaan kita terhadap budaya dan sejarah yang dipelihara dangan penuh kasih sayang dan mendalam oleh generasi kita sebelum ini?
 
Saya percaya warisan dan kebudayaan seni dan sejarah amat penting untuk orang seni, khususnya pereka fesyen. Bagaimanapun, seni dan sejarah ini akan lebih bermakna jika ia asli. Saya percaya, pemahaman dalam seni reka dan estetikanya akan lebih tinggi nilai jika sikap orang yang terlibat berubah. Anak-anak seni juga mesti ada sifat ingin tahu lebih lanjut  dalam apa yang mereka perjuangkan. Negara kita akan dapat menghasilkan, karya-karya yang lebih agung dan tinggi nilai seninya. Bayangkan betapa indah dan gahnya hasil kerja penulis, pelukis, arkitek, penulis lirik, pembikin filem dan pereka jika perkara-perkara sepenting ini diambil kira. Di dalam industri seni rujukan adalah amat penting. Rujukan yang hebat dan bagus akan membantu sesuatu karya untuk menjadi lebih bermakna dan bernilai. Dari situ juga hasil kerja yang dihasilkan boleh menarik orang ramai yang meminati lantas membeli. But a reference will only be good if the understanding and authenticity is there.
 
Graduan fesyen Raffles Institute pada 1997, Syomir Izwa menggilap minat fesyennya sebaik meninggalkan bangku sekolah. Identiti rekaannya elegan dan minimal walaupun gemar mempraktikkan manipulasi rumit seperti lipatan. 
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi Julai 2013
 
 

See also
Sazzy Falak, The It-Woman