Retorik: Trend Hijab yang Mengelirukan - oleh Salena Salehuddin

Retorik: Trend Hijab yang Mengelirukan

Most GLAM Arabian

Gambar: Arkib GLAM

 
OLEH: SALENA SALEHUDDIN
 
Bulan Syawal ini, seperti biasa jemputan ke rumah terbuka masuk tanpa henti. Ramai kawan yang sudah lama tidak ketemu, saya temui di rumah-rumah terbuka ini. Semua dah beranak-pinak. Yang dulu kurus, sekarang sudah berisi; yang dulu cukup happening, sekarang sudah tak seksi lagi. Maksud saya, boleh tahan ramai yang sudah pun mulai menutup aurat, mengenakan tudung. Alhamdulillah. Oh, tapi orang sekarang tak lagi menyebut tudung. Lebih ‘in’ lagi kalau kita menyebut hijab. Kata Melayu sekarang kan nak jadi Arab!
 
Ramai yang mengerumuni dan mengucapkan tahniah kepada yang sudah ‘berhijrah’. Masing-masing berkongsi ‘pengalaman’ bagaimana mereka ‘terbuka hati’ untuk mula berhijab. Saya yang masih free hair hanya duduk dan mendengar. Sesekali ada juga yang menegur, “You bila lagi?” Eh, pada saya orang yang menyoal sebegitu rupa agak kurang sopan lebih-lebih lagi bila dia menanya di khalayak ramai. Apa jawapan yang paling baik? Saya tidak bersedia? Belum sampai seru? Sah-sah lah ramai lagi yang akan masuk menyampuk untuk memberi nasihat.
 
Pada salah satu rumah terbuka, tiba-tiba saya dapati diri terperangkap dalam sebuah topik perbualan mengenai penghijrahan dan dengan tidak semena saya sedang ‘dinasihati’ oleh mereka yang suatu masa dulu sewaktu muda sungguh daring dan liar. Seorang tu pernah digelar conwoman tipu duit sana-sini dan seorang lagi siap pernah kena tangkap basah segala walhalnya masih lagi status bini orang… telinga ini berdesing, mata saya terkebil-kebil seperti tak dapat nak percaya. Has the world gone mad?
 
Minggu ini banyak benar status di akaun Facebook kawan-kawan yang membuatkan saya tersenyum sendiri dan ketawa di dalam hati. Nampaknya bukan saya saja yang ‘terkena’ tapi rupa-rupanya ramai lagi yang tak puas hati apabila ditegur, “Bila lagi?” Ramai yang menyelar ‘ustazah segera’ yang pantas benar menghukum tanpa usul periksa dan secara sengaja atau tidak, menyelak aib orang dengan jayanya. Ustazah sebenar tidak akan mengaibkan orang di depan orang lain. Lalu golongan yang baru sehari dua berhijab inilah yang akan berceramah, macamlah dia tahu luar dalam padahalnya ilmu agama masih cetek. Apakah kain yang menutup kepala itu mengangkat darjat mu sebagai insan terpilih dan menjadi tiket untuk menghentam orang lain?
 
Ada sebilangan yang saya kenal masih terkial-kial membaca Al Quran dari tulisan rumi, masih bergambar bersentuhan bertepuk-bertampar dengan bukan muhrim (gay atau tak, lelaki tetap lelaki!), masih mengunjungi restoran yang kita tidak pasti halal haramnya, masih menyarung baju menurut tubuh, masih lagi bersolek tebal seinci yang mengundang perhatian orang ramai… ah, banyak lagi kalau nak disenaraikan! I personally think they all missed the plot.
 
Tidakkah mereka tahu yang berhijrah dengan berhijab menuntut kesederhanaan? Mengapa perlu berbaju lebih ketat dan bermekap lebih tebal dari orang yang tidak berhijab? Mentang-mentanglah artis semua sudah bertudung, maka apakah mereka secara luar sedar melihat ini semua sebagai suatu trend? Sebab dari pemerhatian saya, ada sebilangan artis yang ‘berhijab’ itu masih keliru apabila mereka masih lagi bergambar di dada-dada majalah dalam aksi berani seperti buka kaki dan sebagainya yang saya rasa tidak begitu ‘Islamik’.
 
Satu hari di bulan Syawal, saya pergi ke sebuah majlis tahlil. Tak semena beberapa orang teman (yang tidak seberapa mesra) datang dan mengucapkan syukur kerana saya sudah berubah. Oh, apakah maksudnya itu? Adakah selama ini memang mereka memandang saya sebagai manusia jahat? Lalu saya pun menerangkan kepada semua yang saya mengenakan selendang sebab ini majlis tahlil dan saya sekadar menghormati majlis, walau hakikatnya di luar, saya belum pun lagi bertudung litup.
 
Dan walau tidak menutup kepala, tidak pula saya berpakaian seperti tak cukup kain. Kain dan lengan baju sentiasa labuh, asalkan sopan. Bila saya memberi penjelasan, air muka kawan-kawan tadi terus berubah. Datang yang lebih tua, saya mula diberi ceramah agama mengenai dosa dan pahala. Saya hanya buat-buat dengar sebagai tanda hormat kepada yang lebih tua. Ikutkan hati, mahu saja saya jawab yang hijab itu bukan hanya di kepala, tapi di mulut juga!
 
Pertama sekali, usia saya pun dah nak masuk setengah abad. Saya tahu hukum-hakam agama, mungkin lebih tahu dari kawan-kawan yang baru setahun dua ‘berhijrah’ tu. Tapi hanya Allah S.W.T dan diri kita saja yang tahu akan apa kita simpan dalam hati. Saya tidak bongkak mahu kata kubur masing-masing, tapi saya percaya setiap seorang dari kita ada kisah sendiri. Kerana secara rasionalnya, setiap manusia mahukan pengakhiran yang baik. Saya suka pada kata-kata sang filosofis, Plato. “Be kind. Everyone you meet is in the midst of a great struggle.” Benar sekali.
 
SALENA SALEHUDDIN YANG BERKELAYAKAN DALAM BIDANG KOMUNIKASI ANTARABANGSA INI PERNAH BERTUGAS DALAM ARENA KORPORAT DAN KINI MENYUMBANG TENAGANYA DALAM SEKTOR KERAJAAN.
 
*Dipetik dari GLAM Oktober 2015
 
 

See also
Datin X: Datin Sanggup Beli Cinta Namun Tetap Gersang